Friday, November 27, 2009

Eid Adha di Dandenong

Hari ini Hari Raya Haji @ Eid Adha. Hari nan mulia disambut di serata dunia. Berkebetulan pula pada hari Jumaat, hari penuh barakah, dikatakan ganjarannya Haji Akbar (maaf, tersilap faham - bukannya Haji Akbar kerana wukufnya pada hari Khamis - TK Kak WanMalaya atas info yang amat berguna). Moga mereka dikurniakan Haji Mabrur. Ameen.
Berita hujan lebat dan banjir kilat di Mekah sehari dua sebelumnya benar-benar menginsafkan. Bukan senang untuk mengejar Haji Mabrur. Itu baru sedikit dugaan dariNya.
Meredah hujan di Mekah (Foto dari blog Sdr Azlie @ Mekah)
Kami, rakyat Malaysia di Dandenong mengerjakan solat sunat Eid Adha di Masjid Emir Sultan, Dandenong. Tidak seperti solat sunat Eid Fitr yang dilaksanakan di Monash University di Clayton. Bukannya tiada di sana tetapi lebih selesa untuk bersolat di qariah sendiri.

Solat sunat Eid Adha di Masjid Emir Sultan dilakukan kira-kira jam 6:50 pagi, sejam selepas terbitnya matahari. Anak-anak yang bersekolah pun dapat turut sama mengerjakannya. Izzuddin pun tidak terkecuali. Begitu juga bagi yang bekerja. Masih ada masa.

Majoriti jemaah masjid adalah warga Turki bermazhab Hanafi. Perlaksanaan solat dan takbir rayanya sedikit berbeza dari kebiasaan kita bermazhab Shafie. Perbezaan yang tidak mencacatkan solat dan sambutannya tetapi membuka minda.

Takbir sunat di rakaat pertama solat hanya 3 kali, selepas doa iftitah. Begitu juga pada rakaat kedua, 3 kali takbir selepas bacaan surah sebelum rukuk. Lafaz takbir raya pula sama sahaja. Bezanya ia dilafazkan bersama-sama tanpa ada tukang takbir dan tiada takbir raya penutup (takbir al ahzab).

Oleh kerana Eid Adha nya jatuh pada hari Jumaat, terdapat pandangan yang menggugurkan kewajiban bersolat Jumaat termasuk di kalangan ulama mazhab Shafie. Cukup sekadar solat zohor sahaja. Namun tiada masalah jika ingin mengerjakannya.
Di Masjid Emir Sultan, solat Jumaatnya dikerjakan seperti biasa. Secara peribadi, adalah lebih baik untuk ke masjid dan tunaikan secara berjemaah. Lebih afdhal.. sama-sama berjemaah, menceduk ilmu dari khutbah dan berukhwah sesama Muslim. Menoleh ke belakang, kelihatan banyak saf kosong di bahagian belakang, tidak seperti solat Jumaat setiap minggu. Mungkin itulah pegangan mereka, lebih mudah terutama bagi yang bekerja.

Masjid Emir Sultan, Dandenong (asalnya gereja)
Walaupun hari raya, bagi yang bekerja tetap bekerja seperti biasa. Bagi yang bersekolah pun serupa. Bercuti dibenarkan terutama untuk para pelajar sekolah tetapi permohonan rasmi perlu dibuat oleh ibu bapa atau penjaga. Mereka menghormati hari perayaan komuniti lain walaupun berbeza kepercayaan.
Di kalangan warga Turki, ramai anak-anak sekolah yang bercuti. Namun bagi kami, rakyat Malaysia, anak-anak ke sekolah seperti biasa. Cukuplah mereka merasai kemeriahannya ketika di masjid; bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji Allah SWT. Jika bercuti di rumah pun tidak ke mana perginya.

Teringatkan akan suasana kemeriahan sambutan Eid Adha di tanah air. Selepas solat raya, maka bermulalah aktiviti penyembelihan korban di masjid atau di belakang rumah, melapah, memasak dan menjamu para tetamu. Berhari-hari tidak makan di rumah, ada sahaja jemputannya dari pagi hinggalah ke malam. Jika di Terengganu, masakan gulai kawah adalah hidangan utama. Amat menyelerakan. Tidak jemu dimakan walaupun hampir setiap rumah menyediakan masakan yang serupa.

Salam Eid Adha dari kami sekeluarga di Dandenong, Victoria, Australia.

3 comments:

Anonymous said...

Salaam,
Akak dah lama jadi silent reader blog En Ropidi.Kali ini tergerak nak comment sebab rasanya ER silap faham tentang haji akbar.Sebenarnya wukuf ialah pada 9 zulhijjah, hari raya haji ialah pada 10 zulhijjah.Wukuf tahun ini ialah pada hari khamis bukan jumaat.

Anonymous said...

Salaam,
Nak sambung sikit lagi komen di atas. Bagi orang yang tidak mengerjakan haji, sunat berpuasa pada hari wukuf iaitu 9 zulhijjah.Bagi orang yang mengerjakan haji, tidak boleh berpuasa pada hari wukuf.Saje nak share info.
Ikhlas dari,
Kak Wanmalaya

ropidi 'n laili said...

Salaam Kak Wan,

Berbanyak terima kasih Kak Wan. Info yang amat berguna. Tanpa disedari saya tersilap faham.