Friday, December 28, 2007

Menyelami Perlombongan Emas di Ballarat

Hari ketiga, dari Peterborough kami meneruskan perjalanan ke Ballarat untuk melihat kesan-kesan sejarah perlombongan emas yang terkenal di Australia.

Koleksi gambar disertakan di sebelah kiri web page.

Hari Isnin (24/12/2007)

Berbanding hari-hari sebelum ini, cuaca pada hari ini agak baik, panas tanpa hujan. Kami meninggalkan motel penginapan di Peterborough kira-kira jam 10:00 pagi menuju ke Ballarat melalui Cobden dan Camperdown, seterusnya melalui Lismore kearah Glenelg Hwy di Scarsdale dan terus ke Ballarat City. Kami tiba di sana kira-kira jam 1:00 petang.

Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan pinggir bandar dan desa dan sesekali melalui pekan-pekan kecil. Yang kelihatan hanyalah padang rumput yang perang rumputnya, adakala kelihatan ketulan-ketulan rumput jerami (hay) yang bergulung kemas (mungkin simpanan untuk musim sejuk) dan juga lembu serta biri-biri bebas meragut rumput.

Ballarat adalah inland city terbesar di Victoria, terkenal sebagai kawasan bersejarah perlombongan emas terbesar di Australia. Awalnya Ballarat (Ballaarat dari dialek Aboriginal bermaksud “tempat berehat”) sekadar kawasan perkampungan, bertukar begitu drastik menjadi bandar yang amat sibuk sejak emas ditemui pada September, 1851 dengan limpahan pendatang termasuk dari England, China dll. Terdapat banyak bangunan dibina terutama di sekitar Lydiard Street dan Sturt Streets, dan kini masih tersergam megah, antaranya Her Majesty’s Theatre (1875), Craig’s Royal Hotel (1859), Mining Exchange (1888), bank-bank dan banyak lagi.

"Murid-murid" bergambar bersama "guru-guru" mereka di hadapan National School
Pada 3 Disember 1854, berlaku satu pemberontakan besar-besaran para pelombong apabila kerajaan cuba mengenakan bayaran lesen yang tinggi ke atas mereka. Dengan mudah mereka dikalahkan di mana 22 nyawa pelombong melayang. Namun kerajaan berlembut, hanya mengenakan “Miner’s Right” dengan bayaran 1 pound setahun dan hak mengundi untuk pelombong. Peristiwa bersejarah ini dikenali Eureka Stockade atau lebih tepat lagi Eureka Rebellion di mana pentomennya, “Blood on the Southern Cross” boleh disaksikan di sebelah malam di Sovereign Hill.

Terdapat pelbagai kaedah perlombongan emas yang dipraktikkan sejak penemuannya, bermula dengan panning dan cradling, bertukar kepada horse-powered puddling machines, larger scale quartz reef mining dan crushing batteries.

Bergambar di hadapan bangunan-bangunan bersejarah
Manifestasi kehidupan era perebutan emas (atau lebih tepat “gold rush”) di Ballarat telah diadaptasi dengan pembinaan muzium di Sovereign Hill, lebih dikenali sebagai “a living museum”. Bandar emas Sovereign Hill seluas 25 hektar adalah tapak asal perlombongan emas dilengkapi lebih 60 bangunan bersejarah pelbagai bentuk, antaranya Blacksmith, Milliners, Confectionery store, Victoria Theatre, Hope Bakery, United States Hotel (saloon), Potters, Furniture Makers, Wheelwright, Tinsmith, cottages, gold diggings dan pelbagai lagi.

Kami mula melangkah masuk ke muzium kira-kira jam 2:00 petang selepas menjamu selera berhadapan tempat letak kereta bersama-sama keluarga Yusof dan Mariana. Tiketnya agak mahal, seorang dewasa sahaja berharga AUD 45.00, manakala family ticket pula berharga AUD 90.00 (dah pasti family ticket jadi pilhan).

Di hadapan rumah lama (kiri) dan bersama penduduk bandar (kanan)
Melangkah masuk sahaja kami terus terpisah secara total dari kehidupan moden di luar. Yang ada hanyalah bangunan kayu, khemah dan jika ada bangunan batu pun dengan konsep kolonial. Bandarnya seperti bandar koboi yang biasa ditonton. Baunya hapak dan hancing, tahi kuda dan kencing kuda dapat dilihat di merata tempat.“Penduduknya” berpakaian era 1850an dan dikatakan amat mudah ditemui di merata tempat terutama di kedai-kedai, tempat kerja dan di rumah-rumah residen dengan pelbagai aktiviti semasa zaman tersebut. Malangnya tidak banyak yang dapat kami terokai kerana ramai penduduknya bercuti Hari Krismas keesokan harinya. Rumah-rumah residen pelbagai bentuk dan konsep yang dilengkapi perabut dan perkakasan lama tiada tuan rumahnya, sekolah kebangsaan pula ditutup tanpa guru dan tidak ramai penduduknya mundar-mandir.

Salah satu pengalaman yang amat menarik yang sempat kami terokai adalah Red Hill Mine Tour di mana kami dibawa menjelajah terowong bawah tanah yang digunakan oleh pelombong dengan suara latar perlombongan dan tayangan holographic penemuan emas terbesar di bawah cahaya lampu yang suram. Anak-anak ketakutan kerana suasananya yang gelap dan adakala kedengaran bunyian yang menakutkan.

Mendulang emas di alur kecil
Kami juga sempat merasai bagaimana caranya mendulang emas di alur sungai kecil yang mengalir lemah di tengah bandar. Dan tidak terkecuali, mengambil gambar berpakaian era 1850an dengan warna foto keperang-perangan, seolah-olah gambar zaman kolonial. Harganya agak mahal AUD 70.00 untuk sekeping gambar berukuran 18cm x 10cm tanpa negatif. Tak mengapalah, sebagai kenang-kenangan.

Kepada yang berkesempatan ke sana, rancanglah penerokaan sebaik mungkin agar berbaloi dengan harga tiket yang mahal. Sebaiknya pergi dari awal pagi ketika cuaca yang baik tanpa hujan di musim panas, akhir musim bunga atau awal musim luruh. Jarak dari Melbourne City tak jauh, kira-kira 100 km, adalah 1 ½ jam perjalanan sahaja.
Tempat pertama yang perlu dituju adalah Red Hill Photographic Rooms kerana perlu buat temujanji terlebih dahulu untuk mengambil gambar era 1850an. Usah terlepas beberapa pertunjukan secara langsung yang dilangsungkan mengikut jadual seperti Redcoat Soldiers, Street Theatre, Candle Making, Wheelwrigting dll. Begitu juga dengan tour samada percuma atau berbayar, antaranya Red Hill Mine, Gold Mine, Chinese Goldfields dll. Selebihnya boleh rujuk pamplet yang diberikan di pintu masuk.

Sebelum pulang, kami sempat meninjau rentetan sejarah perlombongan emas dan kehidupan masyarakat pribuminya di Gold Muzium yang terletak bersebelahan Sovereign Hill.

Kami bertolak pulang kira-kira jam 06:00 petang, singgah di Turkish & Cyprus Islamic Centre (Masjid) yang terletak di Sunshine (di pinggir Melbourne City) untuk solat jamak. Malangnya kereta kami, Mitsubishi Nimbus menghadapi masalah dengan transmission (menurut kata petugas RACV – sama macam AAM di Malaysia) dan terpaksa ditarik balik ke Dandenong. Kami sampai di rumah agak lewat, kira-kira jam 10:30 malam.

1 comment:

Hidayah said...

Bestnya tengok bejalan ke Ballarat.. Blog Salam Monash ni memang selalu saya baca, nanti kalo saya nak berjalan senang lps ni.. Dah ada panduan detail..hehe..
Selamat hari raya Haji yer dari Bundoora (ucapan awal dari tarikh)

Yg benar
Hidayah, Fairuz & Aisyah