Tuesday, August 31, 2010

Bazaar Ramadhan Di Perantauan

Setiap kali tibanya bulan puasa, Bazaar Ramadhan mula dikerumuni oleh setiap lapisan masyarakat. Para penjual dengan pelbagai hasil jualannya, manakala pengunjung/ pembeli pula dengan carian mereka terutama juadah berbuka yang jarang-jarang ditemui.

Kemeriahan Bazaar Ramadhan di Malaysia sememangnya tidak dinafikan. Kerap kali ianya menjadi bahan bualan dan menggamit kerinduan bagi perantau di negara orang. Ekoran daripada itu, di mana-mana sahaja yang mempunyai ramai rakyat Malaysia pasti bazaar seumpamanya akan diadakan.
Tidak terkecuali di Melbourne ini. Cuma bezanya, ianya hanya diadakan di hujung minggu sahaja kerana kekangan pengajian dan tugasan harian. Apa nak buat, para penjualnya terdiri dari kalangan pelajar dan pekerja.
Bagi komuniti rakyat Malaysia di sebelah selatan Melbourne, Bazaar Ramadhan turut diadakan secara bergiliran di halaman rumah-rumah tertentu. Lokasinya di Clayton, bersebelahan Monash University.

Pada tahun ini program tersebut sedikit terlewat diadakan. Dua kali hujung minggu berlalu tanpa bazaar. Hanya pada hari Sabtu baru-baru ini ianya mula diadakan bertempat di rumah Sdr Azwardi-Syada.

Kami turut sama menyertainya, bukan sahaja sebagai pembeli tetapi juga sebagai penjual. Hasil jualan kami adalah dendeng dan dodol . Kedua-duanya adalah trade mark kami. Lain-lain jualan dari rakan sekampung di Dandenong, antaranya nasi hujan panas, kueh ketayap dan kueh raya dan roti jalan.

Di samping gerai kami, beberapa gerai lagi turut meriah dengan hasil jualan mereka tersendiri seperti ikan bakar, nasi kerabu, nasi dagang, murtabak, ayam/ikan percik, rojak dan bermacam-macam lagi termasuk pelbagai jenis kueh-mueh tradisional Melayu. Emm, semuanya amat menyelerakan...

Sambutan para pembeli amat menggalakkan terutama dari kalangan adik-adik pelajar undergraduates. Inilah masanya mereka dapat merasai makanan yang diidamkan.

AlhamduliLlah, jualan kami laku keras. Malah hampir 10 paket dendeng diborong oleh seorang pembeli sahaja. Terima kasih Shara..8) Lain-lain bahan jualan juga mendapat perhatian para pengunjung.

Umumnya kami merasa amat seronok sekali. Bukan sahaja kerana hasil jualan habis tetapi seronok dapat berjumpa rakan-rakan dan turut mendapat kenalan baru.

Dari pemerhatian kami, kesemua gerai jualan bukannya menjadikan keuntungan sebagai motif utama tetapi atas dasar kepuasan kerana dapat menyediakan kepelbagaian makanan untuk dikongsi bersama. Komen dari para pembeli sendiri membuktikannya. Itulah antara keunikan bermasyarakat di perantauan.

Sunday, August 29, 2010

Iftar Dandy : Rumah Huzaizi

Program Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh mingguan Kg Dandy malam tadi telah diadakan di rumah Huzaizi/Zainah di Suzanne St, Dandenong. Setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan rumah. Moga sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.
Sebahagian foto program terdapat di Album Foto Kami (Iftar @ Rumah Huzaizi).

AlhamduliLlah, program berjalan lancar. Ruang belakang bersebelahan dapur dikhususkan untuk hidangan juadah pot luck. Deretan pelbagai jenis lauk pauk disusun kemas agar mudah diambil. Meja bulat pula dipenuhi bermacam-macam jenis kueh mueh serta kurma sebagai hidangan ringan berbuka sebelum solat Maghrib berjemaah di ruang tamu rumah.

Kehadiran ahli keluarga Kg Dandy amat memuaskan. Lebih menggembirakan dengan pertambahan ahli keluarga baru, Dr. Azhar dan Dr. Afidah berserta anak perempuan mereka yang baru berusia 9 minggu. Rupa-rupanya mereka telah lama tinggal di Gladstone Rd, Dandenong tetapi tidak pernah berjumpa. Baru petang semalam bersua di Bazaar Ramadhan @ Clayton, terus dijemput ke majlis berkenaan.

Turut sama menyerikan majlis adalah Ustaz Hasnizul dari Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) Melbourne serta isteri, Ustazah Hafilah dan anak mereka, Idris.
Tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Ustaz Zul tentang keperluan mengamalkan ajaran Al-Quran sebagai manual kehidupan. Al-Quran adalah daripada Allah SWT dan kita semua adalah hambaNya. Sudah selayaknya kita melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Ustaz Zul juga adalah Ketua Amil Zakat Fitrah yang mewakili Tabung Amal Zakat MSD. Kesempatan ini telah diambil oleh sebahagian ahli keluarga Kg Dandy untuk menunaikan kewajiban berzakat.

Solat Isyak dan solat Tarawikh-Witir pula dilaksanakan selepas itu dengan diimamkan oleh Ustaz Zain. Lebih menggembirakan lagi, setiap minggu anak-anak lelaki berpeluang mengalunkan azan Maghrib dan azan Isyak mengikut giliran yang dipersetujui sesama mereka.

AlhamduliLlah, jelas terpancar kepuasan dan keseronokan pada semua kerana dapat bertemu muka seumpamanya. Terlebih lagilah kepada anak-anak. Seminggu sekali bertemu bagaikan telah lama tidak berjumpa. Ikatan silaturrahim yang sedia terjalin menambahkan lagi kemesraan. Begitulah indahnya ukhwah Islamiah.

Thursday, August 26, 2010

Salji Masih Turun

Seperti dimaklumkan sebelum ini, Victoria khususnya dan Australia amnya kini berada di penghujung musim sejuk. Lazimnya keadaan cuacanya akan menjadi lebih baik dengan suhu harian yang semakin meningkat. Namun sehingga kini tiada sebarang tanda-tanda ke arah itu.
Berdasarkan berita semasa yang dibaca, suasana di kawasan pergunungan kini bagaikan satu pesta. Salji yang turun dalam masa 24 - 48 jam ini mencatatkan ketebalan yang mengkagumkan, sesuatu di luar jangkaan mahupun ramalan.
Begitulah kuasa Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Tiada peliknya.
Kepada yang berhajat untuk bermain salji nampak gayanya harapan masih ada.
Berikut adalah petikan berita Heraldsun Online yang disiarkan pagi tadi (Khamis).

Record snowfalls in Victoria's alps have set the scene for some magnificent spring skiing.
In Victoria's largest ski resort, Falls Creek, 54cm of snow has fallen in the past 24 hours, taking accumulated snowfall to 226cm this month - the best since 1992.
"The resort's natural snow depth is now a whopping 177cm," says resort spokesman Ian Talbot.
"This is now the deepest snow cover of any Victorian alpine resort and powder hounds are going to be relishing the most amazing late winter snow conditions in nearly two decades."
Mt Hotham received 47cm of fresh snow overnight - the most since 2003. It has received a total of 202cm of snowfall to date this month - the best August since 1992.
Mt Buller, the closest resort to Melbourne, received 34cm of snow in the past 24 hours and has already dubbed it "Awesome August".
Meanwhile Dinner Plain received 30cm and Lake Mountain 25cm. There was 10cm of new snow at Mt Baw Baw and Mt Buffalo.

Sakura Di Halaman Rumah

Apabila disebut musim bunga, masing-masing pasti akan terbayangkan bunga-bungaan yang berwarna-warni, mekar segar berkembang menghiasi hampir kebanyakan kawasan. Sememangnya demikianlah fenomenanya terutama di taman-taman dan halaman rumah.

Di halaman hadapan dan belakang rumah sewa kami ini juga terdapat beberapa pokok bunga yang berlainan jenis. Ianya berbunga dan sebahagiannya berbuah mengikut musim.

Salah satu yang amat menarik perhatian kami adalah sebatang pokok bunga yang berwarna pink, terletak di muka jalan masuk ke rumah. Ia menjadi penanda bakal berakhirnya musim sejuk dan menjengah pula musim bunga.
Menurut kenalan, pokok bunga ini dikenali sebagai pink blossom. Kami lebih suka memanggilnya sakura. Saat ia berbunga sememangnya amat kami nanti-nantikan.

Menariknya pokok bunga sakura ini dari jenis pokok musim luruh. Dedaunannya gugur dan terus kekal tidak berdaun sepanjang musim sejuk. Melewati pertengahan musim sejuk, tunas-tunas bunga mulai keluar, bergugusan di dahan dan ranting bagaikan putik buah. Ketika ini dedaunannya masih lagi belum keluar.

Di awal Ogos, ia mulai galak berbunga, berjambak-jambak memenuhi keseluruhan pokok. Keindahan yang amat mempesonakan berserta bau harum semerbak menggamit lebah-lebah bertenggekan di sana-sini. SubhanaLlah. Lihatlah fotonya, cantikkan?

Fenomena nan indah ini tidak lama. Kini bunga-bunganya mulai mengering, Kelopak bunga mulai berterbangan di tiup angin. Pucuk-pucuk daun yang berwarna merah coklat pula telahpun kelihatan di celah-celah bunga.
Dalam seminggu dua ini kesemua bunga tersebut akan hilang, diganti pula dengan dedaunan sehingga tibanya musim luruh di tahun hadapan. Tiada lagi seri dan keindahannya.

Begitulah pusingan hidup pokok bunga sakura, tetap setia mengabdikan diri.
Sesungguhnya setiap ciptaan Allah SWT mempunyai hikmah dan pengajarannya tersendiri, lebih-lebih lagi bagi yang ingin berfikir.

Wednesday, August 25, 2010

Di Penghujung Musim Sejuk

Kebelakangan ini cuaca di Melbourne benar-benar tidak menentu. Saban hari hujan turun terutama di sebelah petang dan malam. Panas pula hanya seketika, biasanya di sebelah pagi.

Paling tidak tahan apabila diiringi sama tiupan angin yang menderu, lebih-lebih lagi bersama hujan. Sejuk yang teramat sangat. Adakala mengigil dibuatnya. Kulit terasa ngilu dan kebas. Hidung dan mata pula berair. Pakaian berlapis yang dipakai pun terasa bagaikan nipis.

Bacaan suhu harian kerap kali di bawah 10 darjah Celcius dengan suhu maksima pun sekadar melewati bacaan 15 darjah Celcius sahaja. Masih lagi di tahap sejuk walaupun musim sejuk telah pun tiba di penghujungnya.

Mengikut kiraan kalendar Masihi, musim sejuk (winter) di Australia akan berakhir pada bulan Ogos ini. Seterusnya bersambung dengan musim bunga (spring) di bulan September untuk tempoh 3 bulan sehingga akhir bulan November.

Secara peribadi saya memang tidak menyukai sejuk di musim sejuk ini. Tidak sabar rasanya menunggu tiba saatnya matahari bersinar terang membelah awan, tanpa hujan dan juga angin. Saat di mana bunga-bungaan mekar berkembang menghiasi persekitaran. Saat pepohonan togel kembali menghijau. Saat suhu harian menjangkaui 20 darjah Celcius.

Alangkah ni’matnya apabila panahan cahaya matahari menyentuh kulit. Segar dan nyaman. Namun semuanya itu ketetapan Allah SWT. Sebagai hambaNya kita hanya mampu bersabar dan berusaha mengatasi setakat keupayaan yang ada.

Insya Allah setiap kejadian dan apa yang terjadi mempunyai hikmahNya yang tersendiri. Apa pun, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT yang menganugerahkan setiap sesuatu.

Moga diampuni dan dirahmati olehNya. Ameen.

Sunday, August 22, 2010

Iftar Dandy : Rumah Lajiman-Suraya

Malam tadi komuniti Kg Dandy berbuka puasa dan bersolat tarawikh di rumah Sdr Lajiman/Suraya di Bedwell Ave, Dandenong. Program mingguan yang bermula sejak bermulanya puasa kira-kira 10 hari lalu.
Beberapa keping foto terdapat di Album Foto Kami (Iftar @ Rumah Lajiman).


Kehadiran yang amat memuaskan. Malah ada yang terkilan tidak dapat menyertainya kerana mempunyai komitmen/ halangan lain yang tidak dapat dielakkan. Tidak mengapa, Insya Allah kita berjumpa di minggu-minggu seterusnya.

Kepelbagaian juadah yang dibawa oleh setiap keluarga amat menyelerakan. Kurma, kueh mueh dan lain-lain makanan ringan menjadi hidangan pertama untuk disantapi sebelum berjemaah menunaikan solat Maghrib. Hidangan berat seperti bermacam jenis nasi, mee hoon sup dan pelbagai lauk pauk termasuk rendang, dendeng, ayam bakar dll pula dikerumuni selepasnya.

Seterusnya kami berjemaah pula menunaikan solat Isyak, Tarawikh dan Witir dengan diimamkan oleh Ustaz Zain. Bacaan ayat-ayat Al-Qurannya amat lunak didengar dengan gemersik suara yang jelas. Penyertaan anak-anak bersama-sama ibu bapa juga amat membanggakan. Turut menggembirakan dengan kehadiran keluarga baru Kg Dandy, Dr. Asmadi bersama isteri, Dr. Fatimah dan 3 orang anaknya.

Kesempatan dapat berbuka serta bersolat tarawikh bersama-sama ahli keluarga Kg Dandy sememangnya amat diimpikan. Seronok apabila dapat berjumpa. Tidak kira samada yang dewasa mahupun kanak-kanak. Apatah lagi dapat berkongsi juadah berbuka. Besar pahalanya, menyamai pahala mereka yang menjamah makanan yang dibawa.

Diharapkan pertemuan kami ini sentiasa diredhai dan diberkati olehNya. Begitu juga kepada tuan rumah yang sudi menjadi hos. Moga mereka sekeluarga sentiasa dirahmati olehNya. Ameen.

Insya Allah, bertemu lagi di minggu hadapan di rumah Sdr Huzaizi/Zainah pula di Suzanne St, Dandenong.

Keputusan PRU Australia

Semalam adalah Hari Mengundi (Pilihan Raya Umum) di Australia. Hari untuk memilih parti mana antara 2 parti utama, Labor Party yang memerintah atau Coalition Party (Liberal dan National Party) yang bakal berkuasa di peringkat persekutuan.

Sekaligus memilih ahli parlimen bagi setiap kawasan yang ditandingi. Paling utama memilih siapakah Perdana Menteri Australia, samada Julia Gillard (Labor Party) ataupun Tony Abbott (Coalition Party).

Lewat pagi ini keputusannya telah diperolehi. Kemenangan tipis kepada Labor Party dengan kelebihan 1 kerusi sahaja, 72 kerusi berbanding 71 kerusi yang dikuasai oleh Coalition Party. Manakala 4 kerusi lagi dimenangi oleh Green Party dan Bebas. Kedua-dua parti mendakwa mereka berhak membentuk kerajaan.

Setakat ini Parlimen Australia terpaksa digantung sehingga persetujuan atau ketetapan bersama dicapai. Tunggu dan lihat apakah kesudahannya.

Sepanjang sebulan kempen pilihan raya berlangsung, kedua-dua parti berusaha keras untuk memenangi hati pengundi. Manifesto dan janji-janji pilihanraya tersebar luas dan bebas melalui pelbagai media massa termasuk televisyen, akhbar dan majalah. Menariknya, setiap manifesto meletakkan sasaran yang jelas apa yang ingin ditawarkan dalam bentuk facts and figures.

Debat perdana pula kerap bersiaran di televisyen melibatkan para pemimpin parti yang bertanding. Calon-calon juga bebas berkempen di mana-mana sahaja termasuk di jabatan kerajaan, balai polis, kawasan projek dan lain-lain.

Selebihnya terserahlah kepada para pengundi sendiri membuat keputusan.

Lebih seronok lagi, tiada sebarang poster calon atau parti dilihat bergantungan atau tercacak di mana-mana. Pemandangan yang bersih dan tidak menyemakkan.

Melihatkan suasana kempen pilihan raya, secara peribadi saya berpendapat negara kita sewajarnya dapat menimba kaedah yang dijalankan. Banyak faedahnya, malah amat menjimatkan.

Tuesday, August 17, 2010

Demam-Selesema-Batuk

Keadaan cuaca di penghujung musim sejuk di Melbourne benar-benar tidak dapat dijangka. Beberapa minggu kebelakangan ini hujan dan panas silih berganti. Kerap kali pula diikuti sama angin yang menderu sejuk. Menurut ramalan, suhunya di sekitar 15 darjah Celcius. Berada di luar rumah dalam suasana seumpamanya sering membuatkan diri mengigil kesejukan.

Mungkin itulah sebabnya ramai yang mengalami demam, selesema dan juga batuk-batuk. Khabar diterima, hampir setiap keluarga Kg Dandy mengalaminya. Malah ada yang langsung tidak bermaya. Ibu dan ayah tidak terkecuali. Begitu juga anak-anak, terpaksalah bercuti sekolah untuk beberapa hari.

Kami sekeluarga pun turut sama terkena hawarnya di penghujung minggu lepas. Bermula dengan Imran, diikuti pula oleh Solehah. Ketika majlis makan-makan di rumah kami (Sabtu), kedua-duanya terlantar lesu di bilik. Kasihan, tidak dapat mereka bergembira bersama rakan-rakan sebaya mereka.

Keesokan harinya, Izzuddin dan Hanisah pula turut sama diserang demam dan batuk. Habis keempat-empat beradik terlantar tidak bermaya. Badan panas, tekak sakit, hidung tersumbat dan berair, badan sengal-sengal dan mata pun terasa gatal-gatal.

Suasana rumah yang sentiasa ceria dengan gurau senda, gelak ketawa dan suara berbicara bertukar kepada suasana muram dan senyap sunyi. Yang kendengaran hanyalah sesekali suara batuk dan keluhan tidak selesa. Makan dan minum juga tidak berselera. Apatah lagi ubat yang dimakan/ diminum pun terasa amat pahit.

Setakat ini kami berdua (ibu ayah) masih lagi bertahan walaupun adakalanya terasa juga bahangnya. Moga kami berterusan sihat tanpa mengalaminya.

Anak-anak sentiasa diingatkan bahawa penyakit itu tandanya Allah sayangkan kita. Allah sekadar ingin menguji keimanan kita. AlhamduliLlah, mereka redha. Dalam susah payah, mereka tetap bangun untuk berwuduk dan menunaikan setiap solat fardhu.

AlhamduliLlah, selang beberapa hari mereka beransur sembuh. Cuma Hanisah sahaja sedikit teruk, sepanjang minggu hanya berada di rumah. Adik beradik lain dapatlah juga ke sekolah walaupun ada hari terpaksa tidak hadir. AlhamduliLlah, mereka dapat menunaikan ibadah puasa Ramadhan yang bermula pada hari Khamisnya.

Kini suasana ceria kembali mewarnai kehidupan seharian. Ada masanya mereka masih kelihatan kurang bermaya. Insya Allah, itu hanyalah sementara. Badan perlukan masa untuk mengumpul tenaga.

Monday, August 16, 2010

Program Bersama Pakar

Pagi Sabtu, dua hari lepas, cuaca di Dandenong dan juga Melbourne City tidak menentu. Hujan dan panas silih berganti. Disertai pula angin yang bertiup kencang, menyejukkan lagi persekitaran di akhir musim sejuk ini.

Beberapa hari sebelumnya, saya mendapat makluman, ada program ceramah Bersama Pakar, W.E. (With Experts) di Dewan Malaysia Melbourne. Program anjuran bersama EHSAN (Badan Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Insan) dan AUSIS (maaf, tak pasti pula singkatan untuk apa).

Terasa berat di hati untuk turut serta. Faktor jarak (kira-kira 30 km dari rumah) menjadi dalihnya. Namun dikuatkan semangat, bersendirian saya ke sana. AlhamduliLlah, godaan nafsu ‘jangan pergi’ dapat diatasi atas niat mencari ilmu Allah yang tidak bertepi. Moga-moga dikurniakan barakah olehNya. Ameen.

Program bermula jam 10:00 pagi. Saya terlewat lebih sejam. Brother Waseem, pelopor HikmahWay.com, juga anak didik intelektual Islam terkenal Dr. Zakir Naik, sedang menyampaikah ceramahnya, berkisar tentang Aqidah. Pandangan peribadi saya, Brother Waseem memang hebat. Penyampaiannya lancar berserta kupasan yang mudah difahami bersulamkan dalil-dalil Illahi, termasuk rujuk silang dari Bible.

Salah satu isu yang ditekankan oleh Brother Waseem adalah dalam memilih kumpulan yang mengaku memperjuangkan Islam, lihat gerak kerjanya, apakah mereka mencontohi jejak perjuangan RasuluLlah SAW dan para sahabat. Sebenarnya di dalam Islam tiada kumpulan-kumpulan Islam, yang ada hanyalah satu jemaah Islam yang berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Selepas solat Zohor, Ustaz Burhanuddin Lukman (foto sebelah) pula memperkatakan tentang Madrasah Tarbiah RasuluLlah SAW. Ustaz Burhan adalah pensyarah Undang-undang dari UIAM, juga Panel Penasihat Syariah Bank Al-Rajhi dan Koperasi Muslimin. Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran PhD-nya di Melbourne University.

Persoalan utama yang diutarakan oleh Ustaz Burhan adalah bagaimana umat Islam boleh bersatu dan kembali gemilang seumpama ketika zaman RasuluLlah SAW, para Khulafa arRasyiddin dan Uthmaniyyah? Perkara asas yang ditekankan adalah betapa perlunya Al-Quran menjadi panduan hidup setiap insan. Darinya akan bercambah kesatuan umat yang benar-benar berkualiti dan tinggi ketaqwaanNya kepada Allah SWT.

Slot terakhir program W.E. disampaikan oleh Prof Madya Dr. Ahmad Asmadi Yusof dari Cyberjaya College of Medical Science tentang Muslim CGPA Super. Amat sesuai untuk para pelajar Ijazah Pertama yang sememangnya menjadi khalayak utama yang hadir dalam program tersebut.

Saya tidak menunggu lama, seusai solat Asar saya terus bergegas pulang. Di sebelah malamnya ada program lain yang perlu dihadiri bersama rakan-rakan komuniti setempat, Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh.

Umumnya program W.E. tersebut amat baik sekali. Banyak ilmu yang dapat dihadami dan dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya dapat membuka minda dari perspektif yang berbeza, namun masih dalam kerangka keislaman yang syumul.

Di samping dapat menimba ilmu, dapat pula kenalan baru, Sdr Sabirin bersama isteri dan anak perempuannya yang comel. Beliau baru sahaja tiba di Melbourne untuk melanjutkan pengajian PhD-nya di RMIT.

Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya mereka berdua adalah dari MIMOS Berhad, organisasi yang pernah saya menjadi pekerjanya selama hampir 15 tahun. Itupun isterinya yang mengenali saya dari blog Salam Monash ini. Selamat Datang ke Melbourne kepada mereka bertiga. Insya Allah ketemu lagi di lain kesempatan.

Sunday, August 15, 2010

Iftar Dandy : Rumah Zamberi-Harlina

Malam tadi sempena kehadiran Ramadhan Al-Mubarak, komuniti Kg Dandy telah memulakan Program Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh mingguan. Ianya julung-julung kali diadakan bersama rakan-rakan Kg Dandy setelah 4 kali kami melalui Ramadhan di perantauan Melbourne.

Sebelum ini biasanya sekadar majlis berbuka puasa kecil-kecilan atau pun menghadiri mana-mana program yang siap diatur seperti di Dewan Malaysia dan juga memenuhi jemputan kenalan di luar kawasan.

Malam tadi kami berkumpul di rumah Dr. Zamberi-Dr. Harlina di Gissing St, Blackburn South. Sambutan yang amat menggalakkan. Pelbagai kueh-mueh dan bermacam jenis nasi berserta lauk pauk dan ulaman sememangnya amat menyelerakan. Ditambah pula seharian berlapar, terasa semuanya ingin dimakan. Itulah nafsu namanya. Realitinya, setelah berbuka, sedikit sahaja masuk ke perut hilang segala lapar dan dahaga. AlhamduliLlah.

Suasana rumah riuh rendah. Anak-anak berkelompok di sana-sini dengan kumpulan umur masing-masing. Ibu bapa juga dengan urusan mereka tersendiri. Terasa bagaikan suasana di kampung di mana kesemua anak-cucu pulang beraya di rumah pusaka orang tua.

(Maaf, tiada foto. Terlupa bawa kamera setelah tergesa-gesa pulang dari mengikuti program di Dewan Malaysia @ City)

Majlis berbuka puasa berjalan penuh harmoni. Bermula dengan santapan kurma dan kueh-mueh, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Sdr Mubarak, sepupu Harlina. Seterusnya makan-makan sambil berinteraksi sesama rakan sehingga masuknya waktu Isyak. Kali ini solat Isyak dan Tarawikh diimamkan oleh Ustaz Zain. Lebih menyeronokkan, anak-anak dapat melalui pengalaman bersolat tarawikh ala Malaysia.

AlhamduliLlah, program pertama yang diatur berjalan dengan lancar. Setiap ruang yang ada dimaksimumkan sebaik mungkin untuk sama-sama melaksanakan ibadah kepadaNya. Berbanyak-banyak terima kasih kepada tuan rumah yang sudi menawarkan rumah mereka untuk program berkenaan. Moga dirahmati Allah SWT. Ameen.

Insya Allah, di penghujung minggu hadapan kami akan berkumpul pula untuk program mingguan seterusnya di rumah Sdr Lajiman/Suraya pula di Bedwell Ave, Dandenong.

Thursday, August 12, 2010

Salam Ramadhan 1431H

Hari ini, Khamis bermulanya awal Ramadhan di Victoria. Begitulah perkiraan yang kami ikuti sebagaimana yang diperakui oleh Board of Imams (BOI) dan diumumkan oleh Islamic Council of Victoria (ICV) beberapa hari lalu.
Setinggi-tinggi kepujian kepada Allah SWT yang memberi peluang kepada kami bertemu kembali dengan Ramadhan untuk kesekian kalinya.
Insya Allah, bulan Ramadhan pada tahun ini merupakan Ramadhan kali ke-4 yang bakal kami dilalui di perantauan Melbourne, Victoria ini. Malah kali ke-5 di Australia secara berturutan tahun sejak tahun 2006 lalu. Ketika itu Laili mengikuti pengajian di Adelaide, South Australia.
Setiap kali tibanya Ramadhan, hati diragut sayu dan khuatir. Sayu kerana berjauhan dari ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara di tanah air. Rasa khuatir pula apabila mengingatkan keberkatan yang ada pada Ramadhan. Mampukan diri ini meraih setiap kelebihan yang disediakan? Amatlah rugi kiranya ia terlepas begitu sahaja.
“Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami (serta kalian semua) untuk sentiasa mengimarahkan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya.
Ya Allah, kurniakanlah rahmatMu kepada kami, ampunilah segala kesalahan kami serta ibu bapa kami dan hindarkanlah kami dari azab nerakaMu. Ameen Ya Rabbal ‘alamin”
Salam Ramadhan El-Mubarak dari kami sekeluarga di Dandenong, Australia.
Salah dan silap harap dimaafkan.

Monday, August 9, 2010

Jemputan Menyambut Ramadhan

Sebahagian foto majlis telah dimasukkan ke Album Foto Kami (Jemputan Ramadhan).

Sesekali dapat berjumpa rakan taulan, baru dan lama sememangnya amat menggembirakan. Apatah lagi menjemput mereka bertandang ke rumah sendiri.

Pagi semalam (Ahad) membawa ke awal petang, rumah kami dipenuhi ahli keluarga Kg. Dandy (komuniti rakyat Malaysia di Dandenong-Noble Park-Blackburn) dan beberapa keluarga orang kuat South Eastern Group. Sebenarnya telah lama kami tidak menjemput rakan-rakan seramai itu.

Lebih istimewa lagi turut sama memenuhi jemputan kami adalah kenalan lama yang tinggal di Pascoe Vale, Ustaz Khairul Anuar sekeluarga.

Pelbagai juadah yang dibawa amat menyelerakan. Begitulah mereka, setiap kali majlis diadakan di mana-mana sahaja, buah tangan setiap keluarga pasti ada, tanpa dipinta dan diharapkan. Adat timur yang terpuji. Sama-sama memberi, sama-sama merasa.

Di samping makan-makan dan beramah mesra, diselitkan sama beberapa agenda. Paling utama adalah penyampaian Tazkirah Penghayatan dan Pengimarahan Ramadhan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairul Anuar sebagai persediaan dan panduan menyambut kehadiran bulan penuh barakah beberapa hari lagi.

Ramadhan bukan sekadar bulan puasa tetapi bulan untuk melatih diri kearah menjadi hambaNya yang benar-benar bertaqwa. Bulan keampunan dan perlepasan dari Neraka Jahanam. Bulan yang dilimpahkan dengan rahmat Allah yang tidak terhingga. Dan dianugerahiNya juga satu malam yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan. Betapa agungnya bulan Ramadhan.
Moga Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan terbaik bagi kita semua berbanding Ramadhan-Ramadhan sebelum ini. Ameen.

Sdr Fauzi, Timbalan Presiden VMPGA pula memaklumkan Sambutan Eid-Adha dan Hari Keluarga VMPGA yang bakal dihoskan oleh komuniti SE pada bulan November nanti. Seterusnya pembentukan Jawatankuasa Penaja SEFC (Komuniti Keluarga South Eastern) yang dikendalikan oleh Sdr Anang Hudaya.

Melewati tengahari, para tamu mulai beredar pulang. Masing-masing bersalaman dengan harapan akan berjumpa lagi di lain kesempatan. Insya Allah.

Sebagai tuan rumah, kami merasa amat gembira dan seronok sekali. Penat, memang memenatkan. Tambahan pula 3 hari berturut-turut kami menerima kunjungan tetamu. Namun kepuasan mengatasi kepenatan. AlhamduliLlah, segalanya dipermudahkanNya.

Saturday, August 7, 2010

Awal Ramadhan di Victoria

Semalam saya mendapat SMS dari Sdr Shaharuddin di Thomastown, Victoria memaklumkan pihak Board of Imams (BOI) telah mengumumkan penetapan awal Ramadhan di Victoria pada hari Khamis, 12/08/2010. Pengumumannya di website ICV disertakan di bawah.

Sebenarnya di Victoria ini khususnya dan Australia amnya, di samping ketetapan oleh pihak berkuasa agamanya, terdapat juga ketetapan lain dari pertubuhan-pertubuhan Islam atau masjid-masjid tertentu.

Di qariah kami, Dandenong dan sekitarnya yang kebanyakannya berketurunan Turki telah menetapkan awal Ramadhan pada hari Rabu, 11/08/2010. Difahamkan Afghans Mosque yang berdekatan juga menetapkan awal Ramadhan pada hari yang sama.
Lazimnya, kami rakyat Malaysia di Victoria mengikut ketetapan dari BOI sebagai panduan permulaan berpuasa Ramadhan. Dan itulah juga ikutan kami walaupun berada dalam qariah Dandenong.
Kepada semua, Selamat Berpuasa dan Beribadah di bulan nan barakah ini, Ramadhan Al-Mubarak.

---------------------------------------------

BOI Announcement for Ramadan 2010

Friday, 06 August 2010

Assalamu alaikum Wr. Wb.The Islamic Council of Victoria (ICV) would like to communicate the following announcement from the Board of Imams.

The first day of the holy month of Ramadan 2010 will be commencing on Thursday the 12th of August 2010.

We wish you all a blessed month filled with piety and goodness.

From the Islamic Council of Victoria, we also wish you all a blessed and holy month in which we can grow stronger in faith and piety.

Wasalaam
ICV Office

Tuesday, August 3, 2010

Sewa Rumah

Sewa rumah di Australia, khususnya di Victoria lazimnya dikira secara mingguan. Manakala pembayaran sewa dan tempoh perjanjian sewaan pula bergantung kepada persetujuan bersama antara penyewa dan pihak agen hartanah/ tuan rumah. Kebiasaannya perjanjiaan ditandatangani setahun sekali dan pembayaran sewa pula dilakukan setiap bulan. Itulah juga yang kami perlu lakukan.

Rumah sewa yang kami diami kini telahpun 3 tahun kami duduki, sejak kami tiba di Melbourne dahulu. Istimewanya kami berurusan secara terus dengan tuan rumah; pasangan muda berketurunan Greek, Anastasios dan Kristy Strydis; tidak seperti kebanyakan penyewa lain yang berurusan dengan agen. Amat memudahkan kami.

Ketika memasuki rumah ini dahulu (13 Ogos 2007), kadar sewanya AUD 260/minggu (atau AUD 1,127/bulan). Memasuki tahun kedua, sewa mingguannya telah dinaikkan sebanyak AUD15 kepada AUD 275/minggu (atau AUD 1,191/bulan). Pada tahun ketiga (2009), kami merasa amat bertuah kerana sewa rumah kami tidak dinaikkan. AlhamduliLlah, rezeki kami.

Perjanjian sewaan untuk tahun ketiga akan tamat tidak lama lagi. Bermakna perjanjian sewaan baru perlu ditandatangani. Tuan rumah telah pun menghantar surat pemberitahuan sejak 3 minggu lalu.

Isi suratnya amat mengejutkan kami. Kadar sewaannya telah dinaikkan sebanyak AUD 25/minggu, menjadikan sewaan barunya AUD 300/minggu (atau AUD 1,300/bulan). Satu kenaikan yang dirasakan amat tinggi. Jika dinaikkan AUD 10/minggu kami boleh menerimanya.

Tidak dinafikan, sekiranya dilihat pada kadar sewaan rumah-rumah yang sedang diiklankan di sekitar Dandenong, kadar sewaan AUD 300/minggu adalah antara kadar terendah yang ditawarkan untuk rumah jenis sebuah dengan 3 bilik tidur. Akan tetapi bagi rumah sewa yang telah sedia diduduki, biasanya kenaikan kadar sewanya lebih rendah.

Namun, tuan rumah mempunyai hak ke atas rumah milik mereka sendiri. Serba salah kami dibuatnya. Segan rasanya untuk meminta dikurangkan, apatah lagi minta dikekalkan pada kadar sebelumnya. Lebih-lebih lagi tiada kenaikan pada tahun lepas... Emm, tidak salah jika mencuba...

Pada hari minggu baru-baru ini Laili menelefon tuan rumah, mohon kalau boleh dikekalkan kadar sewaan sedia ada untuk tempoh 5 bulan lagi sehingga kami dijadualkan pulang ke tanah air pada awal tahun hadapan. Menurut Tas, ianya perlu dibincangkan dengan isterinya.

Malam tadi, Kristy memberikan jawaban yang amat-amat menggembirakan, tiada kenaikan sewa. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT. Juga terima kasih tidak terhingga kepada Tas dan Kristy yang amat prihatin dan baik hati.

Terdetik di hati ini, alangkah bertuahnya jika terbuka hati mereka untuk mengenali dan mencintai agama nan suci, Islam. Tiada mustahilnya bagi Allah SWT. Ameen.

Sunday, August 1, 2010

3 Tahun di Melbourne

Menjengah masuk bulan Ogos, 2010, maka genaplah 3 tahun kami sekeluarga di berada di Australia, khususnya di Melbourne dan juga Dandenong. Satu jarak masa yang banyak mengajar kami akan nilai dan norma hidup sebagai perantau, jauh dari keluarga dan sanak saudara di tanah air tercinta, Malaysia.

Masih segar diingatan ketika kami mula-mula sampai di Melbourne 3 tahun lalu. Ketika itu kami tiada sesiapa di sini. Tiada rakan taulan dan saudara mara, apatah lagi ahli keluarga terdekat. Namun kami bertuah mendapat pertolongan yang amat bermakna dari para kenalan di Melbourne ini walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Itulah keunikan ikatan ukhwah yang terjalin apabila berada di negara asing.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada semua. Tidak sah kiranya tidak dinukilkan penghargaan teristimewa kami kepada dua keluarga yang banyak membantu kami iaitu keluarga Sdr Din Ganu (Khairuddin) –Nor Azliza dan Dr. Aznan-Suhana.

Dr. Aznan hanya dikenali melalui emel yang diberikan oleh pihak MSD. Diaturnya misi menjemput kami sekeluarga di Melbourne Airport bersama-sama dengan Sdr Din Ganu. Seterusnya hampir 3 minggu menumpang di rumah Din-Liza sehingga mendapat rumah sewa yang kami diami kini. Puja dan puji selayaknya untuk Allah SWT. Dengan bantuan mereka, segalanya dipermudahkan olehNya. Terima kasih Din-Liza dan Nan-Su.

Selama 3 tahun di Australia, terlalu banyak ilmu dari kitab alam semesta yang dapat diselami dan dihadami. Bermacam ajaran (ilmu pengetahuan) dan pengajaran dapat diselusuri, dirasai, diamati dan difikirkan secara saksama.

Persekitarannya yang amat berlainan dari Malaysia secara tidak langsung melahirkan alur pemikiran yang lebih terbuka. Lebih-lebih lagi dalam ruang lingkup kehidupan seorang Muslim dan Mukmin.
Sistem pendidikan, pentadbiran, perubatan, pengurusan alam sekitar dan keterbukaan masyarakatnya adalah antara skop yang amat kami gemari untuk diperbincangkan.

Pengalaman yang dilalui banyak mengajar diri. Kesempatan berjalan-jalan makan angin tanpa disedari membuatkan kami lebih merasai akan kepelbagaian ni’mat kurnianNya. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT. Insya Allah, segalanya bakal menjadi pedoman untuk kami dalam menerokai sisa-sisa kehidupan di bumi Allah ini.

Kini, keseronokan berada di negara orang semakin menghilang, berganti kerinduan untuk pulang ke tanah tumpah darah, Malaysia. Bersabarlah. Insya Allah pada akhir tahun ini ataupun awal tahun hadapan impian akan menjadi kenyataan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.