Saturday, April 17, 2010

Pulang Ke Dandenong

Khamis (08/04/2010)
Hari ini kami meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. Sebahagian foto di sepanjang perjalanan terdapat di Album Foto Kami (The Bay-Bega-Eden).
Pagi Di Ulladulla Holiday Village

Ketika matahari mula bersinar, anak-anak telahpun keluar dari rumah. Berjalan-jalan sambil melihat persekitaran Holiday Village. Rumah-rumah penginapan berderetan di sepanjang laluan. Tapak BBQ berbumbung juga ada. Terdapat juga tennis court, basket ball court, padang permainan kanak-kanak dan kolam renang.

Anak-anak teruja sekali apabila melihat kolam renang. Sesusah makan, terus mereka berkejar ke sana. Airnya tidak dalam, sesuai untuk kanak-kanak. Mereka berenang dan menyelam ke sana sini. Bermain simbah air dan pelbagai lagi. Seronoknya mereka tidak terkira.

Masa yang berlalu terasa begitu cepat sekali. Sedar-sedar telah pun menghampiri jam 10:00 pagi. Kami perlu check-out. Bermakna masing-masing akan mengikut haluan sendiri. Kami sekeluarga bergerak pulang ke Dandenong. Manakala Eusni-Fahimey sekeluarga pula berundur balik ke Carlton.Wajah anak-anak dirundung sayu. Sedih untuk berpisah. Jarak masa selama 6 hari terasa begitu pendek sekali. Apakan daya...

Tidak dilupakan, berbanyak-banyak terima kasih kepada Eusni-Fahimey sekeluarga atas layanan yang amat memuaskan sepanjang berada di Sydney. Insya Allah ketemu lagi di lain kesempatan.

Batesman Bay

Menyambung perjalanan pulang, kami terus menuju ke Batesmans Bay, yang lebih dikenali sebagai The Bay oleh penduduk tempatan. Asalnya The Bay adalah sebuah perkampungan nelayan, kini telah bertukar wajah kepada pusat perdagangan. Di sini kami hanya singgah seketika di Info Centre.

Bega Valley

Dari The Bay, kami terus menuju ke Bega. Kami singgah di Bega Cheese Heritage Centre yang terkenal dengan pengeluaran keju sejak tahun 1899 lagi.
Istimewanya keju keluaran Bega adalah diakui Halal. Di setiap bungkusannya jelas tertera logo Halal yang dikeluarkan oleh Australia Halal Certification Authority. Kami bukannya peminat keju tetapi merasa amat seronok apabila melihat pengeluarnya mengambil berat status halal produk mereka. Kami beli beberapa paket untuk dibawa pulang.

Di bahagian atas bangunan terdapat muzium berkaitan sejarah pengeluaran hasil tenusu di Lembah Bega. Ringkas sahaja tetapi amat menarik.

Eden

Seterusnya kami menyinggah pula di Eden yang terletak di Twofold Bay. Mengikut sejarah, dahulu Eden adalah sebuah pusat industri ikan paus yang utama di NSW. Kini ianya terkenal sebagai tempat melihat ikan paus dan juga memancing pula. Ketika musim migrasi, ikan paus seperti Humpbacks, Southern Right, Blue Whales dan Minkes akan memasuki kawasan tenang di Twofold Bay. Bulan September – November adalah ketika yang paling baik untuk melihatnya.

Di tempat letak kereta di belakang Info Centre, kami bersolat jamak. AlhamduliLlah, lega... tertunai sudah kewajiban utama. Selepas itu kami singgah seketika di Eden Killer Whale Museum. Sekadar berada di bahagian luarnya sahaja kerana masa telah pun lewat sedangkan perjalanan kami masih lagi jauh.

Menuju Dandenong

Meninggalkan Eden, kami tekadkan hati tiada lagi singgahan seumpamanya kecuali untuk menunaikan solat + makan, mengisi minyak kereta ataupun ke tandas. Ketika masuknya waktu Maghrib, kami berhenti di tempat letak kereta di tengah Bandar Orbost. AlhamduliLlah, tandas bersebelahannya masih lagi dibuka, dapatlah kami menyampaikan hajat dan berwuduk. Solat jamak ditunaikan bersebelahan kereta secara bergilir sambil sebahagiannya mengisi perut.

Perjalanan seterusnya meredah kegelapan malam melalui Lakes Entrance, melalui Monash Fwy sehinggalah tiba di rumah kira-kira jam 10:30 malam. Perjalanan dari Ulladulla sehingga Dandenong yang mengambil masa kira-kira 12 jam terasa amat meletihkan. Selepas berkemas apa yang patut, semuanya terus menuju ke bilik. Sekejap sahaja semuanya telah terlelap.
AlhamduliLlah segalanya dipermudahkan olehNya.

2 comments:

Anonymous said...

Salaam RnL,
Sayangnya status halal produk2 dari Malaysia lebih diragui daripada di Ozzie.

Kak Wanmalaya

ropidi 'n laili said...

Salam Kak Wan,

Betul kata Kak Wan tu. Adakala Halalnya lebih mencurigakan dari di luar negara.