Wednesday, April 28, 2010

Ni'mat Panas Ketika Sejuk

Beberapa hari ini cuaca di Melbourne, khususnya di Dandenong sejuk sekali. Suhu di sebelah siangnya di bawah 20 darjah Celcius. Antaranya semalam, suhu maksimumnya kira-kira 17 darjah Celcius sahaja. Malah pagi tadi, jangkasuhu di ruang tamu rumah kami mencatat bacaan 15 darjah Celcius.

Begitulah fenomena akhir musim luruh di Melbourne. Sekaligus menandakan peralihan musim kepada musim sejuk sudah pun semakin hampir.
Solehah di hadapan pokok musim luruh, dedaunan mula bertukar warna dan gugur ke bumi
Bagi yang biasa tiada masalahnya, malah mereka mungkin lebih gembira. Namun bagi kami, walaupun telah lebih 3 tahun di Australia (Adelaide + Melbourne), kedatangan musim sejuk kurang menarik minat kami.
Kami tidak tahan dengan sejuknya. Itu belum lagi di musim sejuk dengan suhu harian yang lebih rendah. Atau di negara yang dilitupi salji sehingga ke hadapan rumah. Bertuahlah bagi mereka yang menyukainya.

Ketika sejuk, kaki dan tangan terasa ngilu dan perit. Segalanya menjadi pasif – malas untuk bergerak walaupun untuk menyempurnakan hajat diri.
Syukur rumah kami dilengkapi alat pemanas berpusat. Di setiap lubang pemanas, di situlah tempatnya kami terutama anak-anak memanaskan diri. Terasa nyaman dan menyegarkan. Dan dengan alat pemanas itu jugalah suhu dalaman rumah meningkat, membuatkan kami bebas bergerak. AlhamduliLlah.
Kini, segala keperluan musim sejuk perlu dikeluarkan dari simpanan. Sarung tangan, beanie (penutup kepala + telinga), kasut bulu dan baju tebal antara yang diperlukan.

Demikianlah naluri manusia. Ketika kesejukan, kita amat mengharapkan kepanasan. Sebaliknya ketika kepanasan, kita amat mendambakan kesejukan. Jarang sekali kita bersyukur dengan apa yang kita alami dan ni’mati. Sedangkan segalanya itu adalah ketentuan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar Rahman dengan ungkapannya yang begitu kerap, terjemahannya:-

“Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

SubhanaLlah... Moga kita semua tergolong dari kalangan hambaNya yang sentiasa mensyukuri setiap kurniaan dariNya. Ameen.

1 comment:

Zifa said...

utara di landa musim bunga. sangat canrik