Tuesday, May 4, 2010

Tidak Sihat

Sejuknya musim luruh (autumn) masih lagi berterusan. Sesekali panas mencelah di balik awan tidak mampu menghangatkan persekitaran. Sebelah siangnya sejuk, apatah lagi di sebelah malam.

Perubahan cuaca ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Di penghujung minggu baru-baru ini, kami sekeluarga diserang selesema dan ada yang demam dan batuk-batuk. Sekarang ini pun masih belum kebah betul lagi. Bermula dengan ibunya, diikuti oleh saya, Izzuddin dan juga Imran. Hanisah dan Solehah pun ada tanda selesemanya tetapi sedikit sahaja. Harap-harap tidak berterusan.

Pada hari Ahad, kami sepatutnya mengikut rombongan beberapa keluarga Kg. Dandy berjalan-jalan ke Eltham, hampir 40 km dari Dandenong. Menyinggah di Diamond Valley Railway (DVR), menaiki keretapi mini mengelilingi Eltham Lower Park. Anak-anak kami teruja untuk turut serta tetapi apakan daya... keadaan tidak mengizinkan. Lebih baik mereka berehat di rumah sahaja sambil makan ubat yang sedia ada di rumah.

AlhamduliLlah, dua hari ini cuacanya baik sekali, sederhana panas berserta angin. Tubuh yang lemah kembali bertenaga. Hidung yang sebu beransur lega. Batuk-batuk pun semakin berkurangan. Moga semuanya segera sembuh dan dapat bergerak bebas serta ceria seperti sebelumnya.

Kepada anak-anak, mereka sentiasa diingatkan bahawa setiap penyakit adalah sebahagian daripada dugaan daripada Allah SWT. Kiranya kita redha, Insya Allah sebahagian dosa kita akan diampunkanNya dan ditingkatkan darjat di sisiNya. Malah ketika sakit kita akan merasa lebih dekat kepadaNya, mengadu dan memohon kepadaNya agar kita disembuhkanNya.

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Penyembuh. Betapa besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita. Tidak terhitung dan ternilai oleh hambaNya. Maha Suci Allah.

No comments: