Monday, May 31, 2010

Sambutan Harijadi

Ian Mustafa adalah anak tunggal (setakat ini..8) kepada Uji dan Peter Scully. Ulang tahun kelahirannya yang ke-4 tahun adalah pada awal Mei lalu.
Uji telah lama menetapkan tarikh untuk disambut bersama-sama dengan ahli keluarga Malaysia yang lain. Dan semalam adalah harinya. Sengaja diadakan pada akhir bulan, asalkan masih dalam bulan Mei.

Majlis sambutannya diadakan di rumah mereka di Caroline St, Dandenong, bermula kira-kira jam 1:00 tengahari. Turut sama meraikannya adalah anak-anak kelahiran Mei iaitu Akmal Lajiman (9 tahun) dan Ainin Hisham (12 tahun). Happy Birthday Ian, Akmal dan Ainin. Moga kalian menjadi anak-anak soleh/solehah, penyejuk hati kedua ibu bapa. Ameen.

Sambutan hari kelahiran yang amat meriah. Selesai sahaja nyanyian lagu Happy Birthday, anak-anak berebut-rebut ‘mengerjakan’ kek-kek yang disediakan. Sekejap sahaja habis licin. Diikuti pula dengan kerumunan mereka terhadap gula-gula yang bertaburan gugur dari kotak yang dipecahkan.

Itu bahagian khas untuk anak-anak.

Untuk semua hadirin, hidangan pelbagai juadah berat dan pemanis mulut memenuhi meja. Semuanya amat istimewa dan sedap sekali.
Begitulah lazimnya apabila diadakan apa-apa majlis. Masing-masing ringan tangan; sama-sama memberi, sama-sama merasa. Jika ada lebihnya, bolehlah dibawa pulang.

AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. Sejuknya amat terasa dengan suhu sekitar 15 darjah Celcius. Sesekali tiupan angin menambahkan lagi hawa sejuk persekitaran. Namun ianya bukan penghalang untuk saling berinteraksi sesama mereka. Yang penting, dapat bersua muka. Tidak kira ibu mahu pun bapa, apatah lagi anak-anak.

Moga ikatan silaturrahim dan kemesraan yang sedia terjalin terus berkekalan selamanya. Ameen.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Uji-Peter).

No comments: