Sunday, May 9, 2010

Majlis Kesyukuran Mokhtar-Yasmin

Semalam (Sabtu, 8/5/2010), warga Kg Dandy berkumpul di rumah Mokhtar-Yasmin di Selbourne Way, Mulgrave. Mereka mengadakan majlis kesyukuran – syukur atas segala ni’mat tidak terhingga kurniaan Allah SWT. Bukan sahaja untuk mereka tetapi untuk semua, khususnya warga komuniti Kg. Dandy. Bersama-sama kita mengsyukurinya. AlhamduliLlah...
Sebahagian fotonya terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Mokhtar)

Sebenarnya mereka berdua (berbaju jalur + bertudung) telah lama berhajat mengadakan majlis seumpamanya. Sebelum ini mereka menyewa rumah unit 2 bilik di Chadstone. Rumah kecil tanpa halaman, bersambungan pula dengan unit-unit lain merencatkan impian mereka.
Pada awal Mac, 2010 mereka berpindah ke rumah sewa baru yang diduduki kini. Rumah yang besar dan luas berserta halaman hadapan dan belakang. Cukup selesa untuk mereka berdua bersama 4 orang anak.

Semalam, impian mereka tertunai sudah. Kehadiran ahli keluarga Kg. Dandy berserta para jemputan amat menggembirakan mereka.
Majlis yang bermula kira-kira jam 10:00 pagi berlanjutan hingga ke 3:00 petang. Bersama-sama mereka menyiapkannya, bersama-sama pula mereka menggemaskannya. Demikianlah sikap terpuji yang telah menjadi amalan warga Kg. Dandy. Moga berkekalan selamanya walaupun setelah pulang ke tanah air.

Pelbagai juadah yang dibawa oleh setiap keluarga memenuhi meja-meja hidangan yang disediakan di beranda belakang rumah. Sedap dan amat menyelerakan. Bab memasak memang ramai pakarnya di Kg. Dandy.
Terlebih istimewa lagi adalah menu utama yang disediakan sendiri oleh tuan rumah iaitu sate. Bau aromanya dengan kepulan asap dari set BBQ sememangnya menjadi tumpuan utama. Untuk anak-anak pula disediakan cup cake dengan dekorasi sendiri. Sekejap sahaja habis.

Menghampiri jam 1:00 petang, kami berhenti untuk menunaikan solat Zohor berjemaah, diikuti dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Haidar. Sama-sama berdoa dan bermunajat memohon keampunan dari Allah SWT. Juga, moga dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kepada semua. Ameen.
Seterusnya dihidangkan pula dengan pulut kuning, dimakan dengan gulai daging, dendeng ataupun bubur kacang durian. Erk.. Tiada kerja lain asyik makan sahaja..8) AlhamduliLlah, atas setiap rezeki yang dianugerahiNya.

Sebenarnya makan-makan bukanlah matlamatnya. Ia sekadar selingan sahaja. Tujuan kami berkumpul adalah untuk bertemu muka, bertanya khabar berita dan saling mengenali secara lebih dekat terutama di kalangan keluarga baru. Berada di perantauan, rakan-rakan inilah yang menjadi keluarga kita yang boleh diharapkan, lebih-lebih lagi ketika dalam kesusahan.

No comments: