Sunday, May 23, 2010

Black Belt - TAHNIAH Izzuddin

Dalam Tae Kwon Do, samada WTF mahupun ITF, tahap penguasaan dan kepakaran seni bela dirinya ditentukan melalui warna dan calit tali pinggang (belt). Bermula dengan White Belt, meningkat kepada beberapa warna dan calit tertentu sehinggalah kepada Black Belt. Seterusnya diikuti pula dengan tahap-tahap Black Belt yang lebih sukar dikenali sebagai Dan.

Anak sulung kami, Izzuddin (Iddin) telah pun 2 ½ tahun mengikuti latihan Tae Kwon Do bersama Olympic Tae Kwon Do Centre (OTC) cawangan Dandenong. Kelab utamanya ditubuhkan oleh Master Jemal Hasan (7th. Dan) yang berpusat di Fawkner, Melbourne. Menariknya lebih 90% ahlinya adalah Muslim, termasuk cawangan Dandenong yang diketuai oleh jurulatihnya, Master Mohameddi.

Bermula dengan White Belt, dengan semangat jitu dan disiplin diri yang tinggi, pencapaian Iddin amat memberangsangkan. Setiap kali sesi latihan dan ujian kenaikan tali pinggang yang diadakan, Iddin sentiasa mendapat pujian dari jurulatihnya serta Master Jemal (foto di bawah).

Dan hari ini adalah hari penentuan untuk Iddin. Malah ianya lebih bermakna untuknya, ujian kenaikan tali pinggang dari Red Belt 2 kepada Black Belt. Bersamanya adalah Izzati Wafir dan Naseem yang juga dalam kategori yang sama.

AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar walaupun adakalanya Iddin kelihatan gemuruh. Gerakan pattern-nya kemas dan sepakannya mantap. Paling menarik, acara memecahkan 2 keping papan dengan 2 gerakan yang berbeza. Setiap satunya dilakukan dengan satu sepakan/ hayunan sahaja.

TAHNIAH IDDIN. Tercapai sudah satu impian. Segala puji hanya untukNya.

Black Belt sebenarnya bukan segalanya. Perjalanannya masih lagi jauh. Masih banyak onak duri yang perlu ditempuhi. Itupun jika sanggup meredahnya.

Namun kepuasan meraih Black Belt tidak seharusnya diabaikan. Satu pengiktirafan atas kegigihan selama ini yang tidak bertepi. Moga ianya mampu membentuk keyakinan, disiplin dan jati diri yang berterusan dalam mengharungi hidup mendatang.

TAHNIAH Izzuddin, Izzati dan Naseem. Juga kepada adik Izzati, Imran Wafir yang bertukar tali pinggang kepada Blue Belt.

No comments: