Wednesday, May 12, 2010

Ujian NAPLAN

NAPLAN adalah singkatan kepada National Assessment Program – Literacy and Numeracy. Ianya adalah ujian penilaian penguasaan bahasa dan matematik untuk para pelajar Tahun 3, 5, 7 dan 9 di seluruh Australia. Difahamkan, ianya menjadi ukuran bagi setiap pelajar agar setara dengan tahap piawaian pendidikan kebangsaan.

Pada tahun lepas, Solehah (ketika itu Grade 3) dan Izzuddin (ketika itu Year 7) telah pun melaluinya. Dan pada tahun ini, Hanisah yang baru melangkah ke sekolah menengah (Year 7) pula menghadapinya.

Setiap tahun, pada bulan Mei ianya dijalankan selama 3 hari berturut-turut. Pada tahun ini ianya bermula semalam dan akan berakhir esok hari. Pada hari pertama, ujiannya adalah Language Conventions dan Writing, hari kedua Reading dan hari ketiga 2 ujian untuk Numeracy. Setiap ujian hanya mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja.

Walaupun para pelajar melalui Ujian NAPLAN, pembelajaran harian mereka berjalan seperti biasa. Tiada cuti dan tiada perlepasan.

Keputusan ujian ini biasanya akan diketahui kira-kira sebulan selepasnya. Sebelum berakhir Penggal Ke-2 persekolahan (akhir Jun), guru kelas akan memaklumkan tahap pencapaian para pelajar mereka kepada ibu bapa. Laporan rasmi dari Kementerian Pendidikan pula akan menyusul pada bulan Ogos/September.

Laporannya ringkas sahaja. Mewakili setiap ujian hanya ditandakan tahap pencapaian pada band tertentu berbanding tahap purata kebangsaan bagi tahun pengajian yang diikuti.

Ketika Solehah menghadapi Ujian NAPLAN pada tahun lepas, saya terserempak dengan gurunya, Mrs Cornway. Beria-ia sekali beliau memberitahu, usah risau dengan keputusan ujian tersebut. Mungkin ketika ujian para pelajar tidak sihat dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian. Tambahnya lagi, pada hakikatnya guru-guru tahu tahap sebenar pencapaian pelajar-pelajar mereka.
Betul apa yang dikatakan. Guru-guru di sekolah amat rapat dengan setiap pelajar, ibarat ibu/bapa dan anak-anak. Lebih-lebih lagi di sekolah rendah. Seorang guru kelas akan mengajar hampir kesemua subjek kecuali subjek khusus seperti Arts, Physical Education dan ICT.

Lebih menarik lagi, tiada perbandingan dilakukan ke atas setiap pelajar. Pencapaian mereka tidak diberikan hirarki, siapa terbaik dan seterusnya sehingga siapa tercorot. Tidak secara langsung melahirkan keyakinan diri tanpa rasa bangga diri apatah lagi rendah diri. Maksudnya, keputusan ujian hanyalah panduan kepada guru-guru. Kelemahan pelajar adalah satu cabaran bagi mereka bukannya satu cemuhan.

Alangkah baiknya jika ianya dapat dilaksanakan di Malaysia. Moga-moga. Ameen.

No comments: