Tuesday, May 25, 2010

Menginap di Phillip Island

Di penghujung minggu baru-baru ini kami sekeluarga menginap selama 2 malam di Island Breeze Resort di Cowes, Phillip Island. Peluang yang diperolehi sebagai ahli Swiss Garden Vacation Club. AlhamduliLlah.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Island Breeze Resort).

Bertolak Pergi

Pada hari Jumaat (21/05/2010), melewati jam 4:00 petang, kami bertolak ke Phillip Island, sejurus anak-anak pulang dari sekolah. Phillip Island letaknya lebih 100 km dari Dandenong. Jadi kami perlu cepat sebelum malam menjengah. Tambahan pula sekarang ini waktu malamnya agak cepat. Jam 5:00 petang matahari telah pun mulai tenggelam di ufuk barat. Makan dan minum hanya di dalam kereta.

Ketika menghampiri rumah penginapan, tidak disangka navigator membawa kami melalui jalan bernama Kedah Road. Di kiri kanan jalannya pula ditemui Perlis Avenue dan Malay Street. Emm, menarik sekali... pasti ada sejarah berkaitan Malaysia di sebaliknya.

AlhamduliLlah kami tiba di Island Breeze Resort kira-kira jam 6:00 malam. Rumah berkembar 2 tingkat yang amat luas dengan 2 bilik tidur dan 2 bilik air. Dilengkapi pula dengan pelbagai keperluan asas. Amat selesa sekali.

Richardson Point Beach

Keesokan paginya (Sabtu), kami menapak ke pantai Richardson Point yang terletak tidak jauh darinya. Dari pandangan mata, pantainya kelihatan tercemar dengan rumpai-rumpai air dan daun-daun bertaburan yang dibawa air pasang.
Hakikatnya, pantainya lebih bersih kerana hanya bahan mesra alam yang terdampar berbanding kebanyakan pantai di Malaysia yang sering dinodai pelbagai objek yang menyakitkan mata, hasil buangan manusia ke laut. Sedih bila mengenangkannya...

San Remo Jetty

Menghampiri jam 12:00 tengahari, kami telah pun berada di San Remo Jetty, bersebelahan jambatan yang menghubungkan pulau dan tanah besar. Lain-lain pengunjung juga mulai berhimpun menghadap ke arah jeti.
Di hadapan mereka adalah puluhan burung pelican turut berkumpul, menunggu rutin harian ikan-ikan disuakan oleh petugas. Dengan paruhnya yang panjang dan besar, pelican berebut-rebut menyambar ikan-ikan yang dilemparkan. Petugasnya pula petah sekali memberikan penerangan.
Walaupun telah kerap kali kami ke Phillips Island, baru sekarang kami berpeluang melihatnya. Tidak dilepaskan juga peluang untuk meninjau persekitaran jetinya.

Kami singgah di restoran makanan laut bersebelahan jeti, Pelican View untuk merasai keenakan prawn breaded, gummy shark dan potato chips. Harganya agak mahal tetapi tidak mengapalah, sekali-sekala. Rasanya sedap sekali sehingga menjilat jari.

Sebelum beredar tersua dengan Salehuddin (Din Hogan) sekeluarga yang membawa 2 orang rakannya dari Malaysia berjalan-jalan makan angin di sekitar Melbourne. Bagi kami, tidak sah kiranya tidak berkunjung ke Phillip Island apabila bercuti di Melbourne. Banyak tarikannya. Segalanya telah disentuh dalam entri-entri terdahulu.

Rhyll

Seterusnya kami ke Rhyll yang terkenal dengan kegiatan memancing dengan jetinya yang mengunjur ke laut. Rhyll juga dikenali sebagai pusat persinggahan burung-burung yang berpindah (migrasi) serta kepelbagaian tumbuhan natif yang semakin pupus.

Berdasarkan monumen sejarah yang tersergam bersebelahan jeti, pengembara British, Captain George Bass pernah singgah di Rhyll pada 18 Januari, 1798 dalam perjalanannya ke South America.

Cowes

Dari Rhyll, kami terus ke Bandar Cowes. Menghampiri bandarnya, kami tertarik dengan pepohonan di kiri kanan jalan yang merimbun bagaikan payung bercantum, meneduhi laluan di bawahnya. Deretan kedai-kedai banyak sekali di sekitar bandar Cowes. Kami terus menuju ke tepi pantainya, menyinggah di Mussel Rocks.

Mussel Rocks adalah ketulan-ketulan batu besar yang mendatar di pinggir laut. Batuannya menggerutu dan bergerigi serta beralur-alur bagaikan dilorek. Kelihatan juga kepah-kepah kecil melekat di celah-celah batu berhampiran gigi air.

Di sebelah petangnya kami tidak ke mana-mana. Begitu juga malamnya. Anak-anak lebih seronok berada di Games Room yang tersedia pelbagai jenis aktiviti seperti permainan video, ping pong, snooker, monopoly, mewarna dan bermacam-macam bahan bacaan.
Kolam renangnya yang berhawa panas juga telah pun dikunjungi ketika pulang dari pantai di sebelah paginya. Kami benar-benar beristirehat.

Bertolak Pulang

Pagi Ahad (23/05/2010), kami bertolak awal pulang ke Dandenong, sekitar jam 6:30 pagi, selepas sahaja solat Subuh. Ikutkan hati ingin terus berehat sehingga ke petang. Apakan daya, paginya Izzuddin ada ujian kenaikan tali pinggang Tae Kwon Do. AlhamduliLlah kami tiba di rumah kira-kira jam 8:00 pagi.

No comments: