Sunday, April 25, 2010

Perpisahan dan Hari Lahir

Hari Sabtu malam Ahad dan petangnya, kami sekeluarga telah dijemput ke pertemuan yang diaturkan oleh para sahabat akrab. Majlis yang diadakan khusus sebagai tanda mereka akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Raja Azrina-Khairul Anuar

Insya Allah mereka akan berangkat pulang ke tanah air malam ini.
Ketika datang ke Melbourne kira-kira 4 tahun lalu hanyalah berdua, pulangnya kini bertiga, bersama permata hati yang baru berusia 5 minggu, Muhammad Syafiq. Gembiranya mereka tidak terperi. Impian kira-kira 15 tahun lalu, baru kini termakbul. Rupa-rupanya bumi Melbourne membawa sinar. Maha Suci Allah.

Ina dan Kerol adalah kawan lama kami sejak lebih 15 tahun lalu. Kami sama-sama bekerja di MIMOS (kerajaan), seterusnya di MIMOS Berhad dan MSCSB setelah ianya dikorporatkan. Kini Ina adalah pensyarah IT di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan baru sahaja menamatkan PhD-nya di Monash University. TAHNIAH.

Malam Ahad, selepas solat Maghrib kami terus ke rumah sewa mereka di Wellington Rd, Clayton. Ramai kenalan yang datang silih berganti. Suasana yang cukup meriah, bercampur baur antara gembira dan sedih. Gembira kerana dapat bertemu rakan taulan tetapi sedih untuk berpisah.
Pesan kami, kiranya bersua kenalan lama ketika di tanah air, sampaikan salam kami. Insya Allah ketemu lagi.

Bani-Zaiton-Halimaton dan Birthday Party

Di sebelah petangnya kami ke rumah Norbani, juga di Clayton. Majlis bersama yang diadakan untuk Dr. Zaiton dan juga Halimaton. Mereka akan pulang ke tanah air kira-kira 2 bulan lagi setelah tamat kursus sabatikal, latihan kerja dan pengajian lanjutan mereka di Monash University. Tahniah.

Pada masa yang sama diadakan Majlis Sambutan Hari Lahir untuk 4 orang anak yang dilahirkan dalam bulan April; anak Bani, Farid; anak Dr. Raziah, Adlan; anak Dr. Norhana, juga Adlan dan anak kami, Imran. Terima kasih kerana turut menjemput kami.

Seronok sekali Imran apabila menerima hadiah walaupun tiada kaitannya dengan haiwan. Empat kek yang disediakan menjadi tarikan utama. Bukan sahaja dekorasinya yang menarik (antaranya Spiderman dan Cars) tetapi sememangnya menjadi rebutan anak-anak untuk merasainya.

Berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi menjemput kami. Insya Allah moga kita dipanjangkan usia dan bertemu lagi di tanah air nanti. Ameen.

Begitulah adatnya si perantau, sampai ketikanya berangkat pulang ke pangkuan keluarga dan sanak saudara tercinta. Samalah keadaannya kita di dunia ini. Sampai saatnya kita akan dijemput ke hadratNya, meninggalkan keluarga dan alam dunia menuju alam akhirat.

Bezanya tiada majlis yang kita adakan untuk memaklumkan kepulangan kita kepadaNya. Namun, bekalannya perlu ada agar kita selamat di perjalanan. Itulah iman dan amal bersalutkan taqwa. Moga kita dipermudahkanNya. Ameen.

No comments: