Monday, April 26, 2010

ANZAC Day

Hari ini cuti umum di Australia dan juga di New Zealand. Cuti Anzac Day, cuti tahunan khusus untuk meraikan veteran tentera yang banyak berjasa kepada negara Australia.

Akronim ANZAC adalah singkatan kepada Australia and New Zealand Army Corps yang menyaksikan anggota tentera kedua-dua negara sama-sama berjuang di Gallipolli, Turki ketika Perang Dunia 1.

Sebenarnya sambutan Anzac Day adalah semalam. Seluruh negara menyaksikan acara perarakannya yang diadakan di hampir setiap ibu negeri.

Acara sambutannya bermula awal pagi, ketika terbitnya fajar di ufuk timur lagi. Ketika umat Islam bangkit untuk mengerjakan solat Subuh. Dalam kesejukan pagi di musim luruh, sekitar 15 darjah Celcius, bekas anggota tentera veteran yang telah pun lanjut usia berkumpul di padang yang ditetapkan.
Ledakan beberapa das meriam dilepaskan, diikuti tiupan trumpet dan nyanyian lagu ketenteraan. Saat yang amat memilukan bagi para veteran apabila mengimbasi nostalgia di medan perang, lebih-lebih lagi mengingatkan ramai rakan-rakan seperjuangan yang terkorban di hadapan mata.

Seterusnya mereka menyertai perarakan melintasi para penonton yang berkerumun di kiri kanan jalan. Dalam susuk tubuh tua, jelas terpancar rona wajah penuh bangga membalas lambaian para pengunjung. Di dada mereka tersemat pingat-pingat berjuntaian, bukti keperwiraan mereka. Mereka bangga, anak-cucu mereka bangga, malah setiap rakyat Australia merasa amat bangga. Merekalah wira, merekalah pahlawan. Jasa mereka tetap dikenang.

Kami sekadar menontonnya di kaca televisyen. Mereka bergerak secara berkumpulan, mengikut batalion/ regimen/ divisyen/ dll, berdasarkan operasi dan negara yang dihantar ketika itu.
Menariknya nama Borneo, Malaya, Miri, Labuan dan Muar adalah antara yang kerap dipaparkan di kain pemidang yang diarak bersama. Berdasarkan usia tua mereka, sekitar 80 tahun, bermakna mereka pernah bertugas di negara kita kira-kira 60 tahun lalu, iaitu sebelum Merdeka, membantu tentera penjajah British. Tidak hairanlah kerana ketika itu Australia di bawah naungan Britain sehinggalah kini masih beratukan Queen Elizabeth II.

Bukan isu penjajahan yang ingin diungkitkan tetapi sikap ambil berat kerajaan terhadap anggota tentera veteran mereka. Bukan sahaja diraikan dengan sambutan Anzac Day tetapi kebajikan mereka ternyata terpelihara. Pelbagai kemudahan disediakan termasuk perumahan, khidmat perubatan, sara hidup dan sebagainya. Dan mereka juga sentiasa dihormati dam disanjungi walaupun telah lama meninggalkan dunia ketenteraan.

Saya tidak pasti bagaimana keadaannya di Malaysia. Hari Pahlawannya memang ada. Begitu juga Tugu Pahlawannya. Namun sejauh mana perhatian yang diberikan kepada anggota tentera itu sendiri. Diharapkan pengorbanan mereka terutama para veterannya sentiasa dikenang dan kebajikan mereka sentiasa terjaga. Malah setiap rakyat Malaysia juga sewajarnya merasa amat bangga di atas pengorbanan mereka.

No comments: