Tuesday, October 13, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari Ke-5

Hari Kelima (03/10/2009)
Hari terakhir kami di Tasmania, khususnya di Hobart. Tumpuan kami hanya di Hobart City dan sekitarnya.
Hobart adalah ibu negeri Tasmania. Dikatakan ibu negeri kedua tertua di Australia selepas Sydney. Ianya dibuka pada 21 Februari, 1804 oleh John Bowen setelah berpindah dari penempatan sebelumnya di Risdon Cove.
Hobart terletak di kaki Mt. Wellington, di sepanjang tebing Derwent River. Kapasiti penduduk Hobart kira-kira 205,000 orang, kebanyakannya adalah nelayan.
Mt. Wellington Summit
Misi pertama kami selepas check-out adalah untuk menawan puncak Mt. Wellington yang terletak hanya 8 km dari Apartment on Sinkland. Perjalanan kami lancar, tambahan pula laluan mendakinya tidaklah curam. Kabus tebal mula kelihatan setelah semakin hampir ke puncaknya. Gerimis hujan yang turun adakala lebat bersama snow flake yang memutih. Terlebih lagi di puncaknya.
Tiba di The Pinnacle Mt. Wellington pada ketinggian 1270m, suasananya amat sejuk sekali. Kami sebenarnya tiada persediaan lengkap untuk menghadapi salji, sekadar berbaju tebal tanpa sarung tangan.
Di sekitarnya, dipenuhi bongkahan batu-batu dengan pelbagai tumbuhan renek di celah-celahnya, memutih daunnya diselaputi salji nipis. Observation Centre dan boardwalk juga disediakan untuk pengunjung. Dari kejauhan, berbalam-balam suram kelihatan sebahagian Hobart City di sebalik lapisan kabus tebal.
Salamanca Market
Tidak tahan kami untuk berlama-lama di atas Mt. Wellington. Tumpuan kami seterusnya adalah Salamanca Market yang terletak di Salamanca Place, berhadapan Parliment House dan Princess Wharf, Sullivan Cove. Ianya dibuka hanya sekali seminggu, pada setiap hari Sabtu.
Bagi rakyat Malaysia, rasanya tiada keistimewaan sangat, seumpama Petaling St di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ataupun Pasar Malam di Jln TAR. Namun bagi penduduk Hobart mahupun Tasmania dan Australia, ianya tarikan utama pada setiap hujung minggu.
Gerai-gerai jualannya menjual pelbagai jenis barangan seperti makanan, buahan, pakaian, seramik, barangan kaca, buku-buku dan bermacam-macam lagi. Koleksi cenderamatanya juga lebih murah berbanding di tempat-tempat lain. Itulah antara barangan yang kami beli, termasuk kebab Persian halal untuk mengalas perut.
Masjid Hobart
Hampir 2 jam di Salamanca Market, kami terus menuju ke Warwick St untuk solat jamak di Masjid Hobart. Jalan-jalan yang dilalui berbukit-bukit, naik turun bersilih ganti. Begitu juga laluan dari pintu pagar masjid menuju masjid di atas bukit. Masjidnya kurang menyerlah dari pandangan luar. Hanya tulisan masjid dalam bahasa Jawi/Arab terletak tersorok di tepi pagar, di celah-celah pokok.
Di halaman hadapannya terdapat bangunan kayu berwarna hijau cerah dengan ukiran awan larat di anjungnya, seakan rumah Melayu. Dipercayai masjid lama sebelum masjid baru dibina di bahagian belakangnya. Menariknya, batu asas masjid baru tertera dirasmikan oleh Dato' Effendi Norwawi, Menteri Pertanian Malaysia pada 19 Oktober 2001.
Malangnya masjid ini berkunci ketika ketibaan kami. Berpusing-pusing kami mencari pintu masuk dan orang untuk bertanyakannya tetapi tidak bertemu. Terpaksalah kami bersolat di hadapan pintu masuknya. Tidak menghairan kerana ianya berlaku di bumi orang kafir, sedangkan di bumi Malaysia sendiri pun banyak masjid berkunci di luar waktu awal solat. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kami sampai juga di Masjid Hobart.
Royal Tasmanian Botanical Gardens
Dari masjid, kami terus ke Queens Domain di mana terletaknya Royal Tasmanian Botanical Gardens. Kawasan seluas hampir 14 hektar ini dipenuhi pelbagai jenis bungaan , tumbuhan dan pepohonan berserta kawasan takungan air yang menyejukkan mata dan menenangkan fikiran.
Tasmanian Native Collection, Chinese Collection, Japanese Garden, Subantarctic Plant House, Peter Cubdall’s Vegie Patch dan Lily Pond adalah antara tarikan utama di taman ini. Bagi peminat bunga dan pencinta alam, persekitarannya ibarat syurga dunia. Apatah lagi ketika musim bunga sekarang ini.
Ketika kami tiba di taman, amat susah sekali untuk mendapatkan tempat letak kereta. Kebetulan sedang berlangsung Spring Tulip Festival selama 2 hari, bermula pada hari tersebut. Hanya Laili, Hanisah dan Solehah sahaja yang berjalan-jalan di taman. Imran dan Izzuddin tidur keletihan di dalam kereta.
Menurut mereka, pemandangan taman amat cantik sekali. Bunga-bungaan berkembang mekar di sana-sini. Tumbuhan dan pepohonan menghijau melatarinya mengindahkan suasana. Ditambah pula dengan aliran lembut air menyegarkan lagi persekitarannya. Foto-foto yang dirakamkan menjadi buktinya.
Berlepas Pulang
Melewati jam 5:00 petang, kami terus menuju ke Hobart Airport. Kereta ditinggalkan di tempat serahan dan kunci dimasukkan ke kotak kunci di hadapan pejabat Rentforless.
Penerbangan pulang menaiki Jetstar ke Melbourne Airport berlepas kira-kira jam 7:25 malam. ALhamduliLlah kami selamat tiba sejam selepasnya. Pungutan bagasinya cepat sekali.
Dijemput oleh Dr. Tuti Azean (terima kasih Yan), kami terus dibawa ke rumahnya untuk makan malam dan solat jamak. Pertama kali bersua dengan suaminya, Abdul Wahab dan 2 anak perempuan mereka. Wahab kini sedang mengikuti pengajian peringkat PhD-nya di LaTrobe University. Terima kasih Yan dan Wahab sekeluarga.
AlhamduliLlah, menghampiri jam 12:00 malam, kami selamat tiba di rumah @ Dandenong. Semuanya tidur kepenatan, terasa bagaikan terlepas satu bebanan yang berat.

2 comments:

ummusaif said...

assalamualaikum,nice to see melb again thru your blog,so much has changed,monash,clayton,la trobe,mtbuller, all these bring sweet memories. i spent my formative- 7 yrs in melb, cant wait to go back when financially able.we used to have usrah in religious centre in monash.dulu students zaman kami ramai study engin. kat chisolm caulfield n frankston.rmit n latrobe another chosen unis.monash tk ramai boleh masuk sb pointer kena tinggi,we did our hsc there. deakin uni,geelong also ada students.keep up the good work.

ropidi said...

waalaikum salam

terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. jika ke melbourne, datanglah ke rumah kami di dandenong..8)