Sunday, October 25, 2009

Orang Utan Vs Minyak Sawit

Melbourne Zoo kini giat menjalankan kempen terbarunya, selamatkan orang utan. Sejak pertengahan Ogos, 2009 lagi ianya diwar-warkan di hampir setiap media massa termasuk bersiaran di kaca televisyen dan terpapar di dada akhbar harian dan majalah.

Diperakui haiwan berbulu lebat dan bertangan panjang ini hanya terdapat di Malaysia dan Indonesia sahaja, terutama di Kepulauan Borneo dan Sumatra. Komunitinya semakin lama semakin mengecil dan kehidupan mereka dikatakan sering terancam. Sepintas lalu, usaha kempen yang dilakukan oleh Melbourne Zoo ini sewajarnya disokong, bukan sahaja oleh masyarakat Australia tetapi terlebih lagi oleh kerajaan dan rakyat Malaysia dan Indonesia sendiri.

Namun setelah meneliti intipati kempen, terasa lain pula tumpuan dan keutamaannya. Motif tersurat, Selamatkan Orang Utan melalui Don’t Palm Us Off Campaign kini dibayangi pula dengan motif tersirat, Hindari Penggunaan Minyak Sawit. Isu lama kontroversi minyak sawit yang kembali bergema di peringkat antarabangsa. Cuma kini tidak dikaitkan kesan penggunaannya kepada kesihatan.

Dakwaan terbaru mereka, kawasan hutan yakni habitat utama orang utan telah dipungkah sewenang-wenangnya untuk tujuan perladangan kelapa sawit. Natijahnya orang utan kini menghadapi era kepupusan. Samada benar atau tidak dakwaan tersebut, terserahlah kepada setiap negara terbabit untuk menjustifikasikannya.

Pihak Melbourne Zoo dibantu oleh beberapa NGO setempat serta individu-individu tertentu kini berusaha menghantar petisyen kepada FSANZ (Food Standards Australia and New Zealand), meminta pengkelasan minyak sayuran (Vegetable Oil) diperjelaskan jenisnya samada mengandungi kelapa sawit ataupun tidak. Musykilnya, dirasakan ianya seolah-olah satu cara halus pihak tertentu untuk menghentikan pengedaran minyak kelapa sawit.
Sekarang ini penggunaan minyak sayuran menjadi pilihan alternatif pengguna Australia. Rak-rak di pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai mulai dipenuhi Vegetable Oil. Apatah lagi harganya jauh lebih murah berbanding minyak bijirin keluaran Australia seperti Canola Oil mahupun Olive Oil.

Tunggu dan lihat sahajalah apakah kesudahan episod yang kembali meletup ini. Sejauh manakah langkah susulan yang bakal diambil oleh Malaysia dan Indonesia. Bukan sahaja memartabatkan minyak sawit, antara sumber utama ekonomi negara tetapi juga menyangkal dakwaan penggeledahan hutan tanpa sempadan yang diheboh-hebohkan oleh orang Australia. Dan juga dakwaan orang utan kini dianak-tirikan di Malaysia dan Indonesia.

No comments: