Thursday, October 8, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari 1

Tasmania, satu-satunya negeri berpulau dalam Australia, letaknya di selatan benua Australia. Keluasannya sekitar 68,330 km persegi dengan kepadatan penduduknya hampir 500,000 orang . Cuacanya sederhana sejuk dengan purata suhu musim panasnya 21C dan di musim sejuknya pula 12C. Musimnya sekarang adalah musim bunga, sama seperti di tanah besar Australia.
Tasmania, sebahagiannya bertanah tinggi terkenal dengan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara dan kesan tinggalan sejarah yang bermula seawal tahun 1800 lagi. Dari buah mulut rakan-rakan yang telah berkunjung ke Tasmania, hati kami ikut teruja untuk ke sana. Apatah lagi kedudukannya yang tidak jauh dari Melbourne, hanya terpisah oleh Bass Straits sejauh 300km sahaja. AlhamduliLlah, pada minggu lepas, selama 5 hari ketika minggu kedua cuti persekolahan, impian kami menjadi kenyataan.
Untuk ke Tasmania, terdapat 2 pilihan. Pilihan pertama menaiki feri Spirit of Tasmania yang mengambil masa kira-kira 8 jam pelayaran dari Melbourne ke Devonport di utara Tasmania. Pilihan kedua pula menaiki kapal terbang yang hanya mengambil masa kira-kira 1 jam penerbangan, samada turun di Launceston Airport di bahagian utara ataupun Hobart Airport di bahagian selatan Tasmania.
Kami memilih menaiki kapal terbang ke Launceston, seterusnya menyusuri jalan pantai di bahagian timur menuju ke selatan, sebelum berlepas pulang ke Melbourne dari Hobart Airport.
Hari Pertama (29/09/2009)
Selepas solat Subuh, kami bertolak ke rumah kenalan Laili, Dr. Tuti Azean di Pascoe Vale, tidak jauh dari Melbourne Airport. Beliau yang menghantar kami ke lapangan terbang dan kereta kami dibawa pulang. Janjinya kepulangan kami akan dijemput olehnya. Terima kasih Yan.
Pengalaman Awal
Kami menaiki penerbangan murah, Jet Star (umpama Air Asia) dan tiba di Launceston Airport kira-kira jam 09:25 pagi. Kawalan kuarantinnya agak ketat. Buahan dan sayuran antara barangan larangan untuk dibawa masuk, walaupun untuk penerbangan dalam negara (domestik). Kotak bekalan makanan kami terpaksa dibuka setelah dikesan oleh anjing pengesan. Agaknya terhidu bau dendeng daging...8) Akhirnya dilepaskan tanpa sebarang masalah.
Tentang kereta sewa, amat mengecewakan kami. Hampir 2 jam kami tersadai di balai ketibaan, menunggu ianya dihantar oleh syarikat Rentforless. Terlebih kecewa lagi, Station Wagon (alias Van) Volkswagen Kombi yang ditawarkan kelihatan uzur (tahun 2002) dan musykil untuk perjalanan jauh. Malah perlindungan insuran (excess fee) pun tidak disediakan.
Apakan daya itu sahaja yang ada. Silap kami juga kerana tidak membuat tempahan awal dari Hertz atau Avis atau Thrifty mahupun Europcar, akhirnya mengigit jari. Bagi Imran lain pula, seronoknya dia sambil menyanyi riang, “Yeh, yeh.. kita ada van. Yeh, yeh.. kita ada van”...8)
Platypus House & Seahorse World
Dari lapangan terbang, kami terus menuju ke Beauty Point yang terletak kira-kira 50km ke utara Launceston. Tumpuan kami adalah Seahorse World dan Platypus House. Cuacanya juga baik, walaupun sejuk berangin tetapi matahari bersinar terang di dada langit.
Perjalanan menyusuri West Tamar Hwy tidak menjemukan. Jalannya juga tidak sibuk. Beriringan dengan Tamar River yang cantik sekali pemandangannya dan rumah-rumah bereka bentuk ala rumah kampung Melayu yang besar begitu mengasyikkan. Di tepian jalan, ditemui banyak haiwan sebesar anak kucing mati bergelimpangan kesan kena langgar. Malah ianya menjadi pemandangan biasa di Tasmania.
Platypus House dan Seahorse World terletak bersebelahan di dalam bangunan panjang yang menongkah laut di bawahnya, ibarat rumah rakit ketika air pasang. Lawatannya berjadual dengan disediakan pemandu pelancung yang memberikan penerangan. Tempatnya kecil sahaja tetapi amat sesuai untuk mengenali haiwan-haiwan berkenaan secara lebih dekat.
Platypus House
Platypus, haiwan natif Australia amat unik dengan kaki dan paruhnya seperti itik dan ekornya pula menyerupai ekor beaver, manakala bulu badannya berminyak kalis air. Kunjungan ke Platypus House bermula dengan sesi tayangan dokumentari kehidupan platypus, diikuti penerangan akan kitaran hidupnya dan akhirnya dibawa bersua muka dengan 5 ekor platypus di kolam yang disediakan.
Selepas itu kami dibawa masuk ke Echidna Garden bersebelahan kolam platypus, habitat yang didiami oleh 3 ekor echidna. Bahagian badannya berduri seakan landak dan mempunyai muncung serta lidah seperti ant-eater. Tampak jinak sekali. Sesi penerangan diberikan bersekali dengan sesi memberi makan echidna.
Seahorse World
Di Seahorse World, pelbagai jenis kuda laut diletakkan berasingan mengikut namanya, antaranya short-headed, barbour, spotted, white, West Australia dan pot bellied.
Selepas sesi penerangan di bahagian akuarium, kami dibawa masuk ke ‘ladang penternakan’ kuda laut. Di setiap balang besar, terdapat ratusan kuda laut yang diklasifikasikan mengikut saiz dan jenisnya. Kami juga ditunjukkan dengan lain-lain hidupan kecil laut seperti naga laut (sea dragon), ikan, tapak sulaiman, sotong, ketam dan bermacam-macam lagi.
Santai di Beauty Point Esplanade
Sementara menunggu sesi lawatan ke Seahorse World di sebelah petang, kami singgah di taman permainan Beauty Point Esplanade yang menghadap Tamar River dengan tiupan angin menyegarkan. Selera santai kami terencat apabila diserbu 2 ekor anjing terjelir-jelir lidahnya meminta Fish n Chips yang masih panas dan semerbak enak baunya. Solehah dan Imran ketakutan, spontan naik ke atas meja taman. Setelah anjing beredar dipanggil tuannya, kami terus naik ke kereta dan makan tengahari di dalamnya.
Sebelum malam menjengah, kami bertolak menuju ke Riverside di Launceston untuk bermalam di Tamar Village Apartment. Rumah 2 bilik lengkap dengan dapur dan ruang tamu kelihatan menarik dengan susun atur perabut asasnya. Di sinilah kami bermalam selama 3 hari berada di Launceston.

No comments: