Hari Ketiga (01/10/2009)
Pada hari ketiga di Tasmania, kami mula bergerak menuju ke Hobart, ibu negeri Tasmania yang terletak di selatan pulau. Perjalanan kami dari Launceston menuju ke St Helens di East Coast, seterusnya menyusuri jalan pesisiran pantai ke arah selatan. Jaraknya kira-kira 500 km. Sebenarnya ada laluan lebih dekat (200 km) untuk ke Hobart, melalui Heritage Hwy yang merentasi tengah Tasmania. Kami lebih menyukai jalan pantai, lebih luas pandangan dan pemandangannya.
Di sekitar Launceston (Tamar Valley) sebenarnya terdapat masih banyak tempat-tempat menarik lain untuk dikunjungi, bergantung kepada minat, keperluan, sumber kewangan dan masa yang ada. Bukan sahaja keindahan alam semulajadinya tetapi juga kesan tinggalan sejarah yang masih terpelihara. Antaranya Beaconsfield yang terkenal dengan perlombongan emas, York Town penempatan Eropah pertama di sekitar tahun 1804 dan juga beberapa muzium yang terdapat di sekitarnya.
Kami bertolak dari Tamar Village kira-kira jam 10:00 pagi. Masih lagi menaiki VW Kombi. Permohonan menukarnya kepada kereta yang lebih selesa untuk perjalanan jauh tidak kesampaian, dikatakan tiada pengganti. Layanan staf Rentforless sendiri amat tidak mesra, seolah-olah tidak berminat menerima aduan kami. Pengajaran untuk kami untuk perancangan perjalanan di masa hadapan.
Perjalanan kami melalui East Tamar Hwy, seterusnya North East Trail merentasi kawasan perladangan dan penternakan menuju ke Lilydale bergerak lancar. Sesekali hujan turun renyai-renyai.
Bridestowe Lavender Farm @ Nabowla
Tiba di Nabowla, kami melencong ke Bridestowe Lavender Farm - terkenal dengan penanaman bunga lavender yang amat digemari dengan bau dan keunikan minyaknya yang pelbagai guna.

Binalong Bay @ St. Helens
Perjalanan meredah hutan sambil mendaki dan menuruni bukit-bukau sejauh 100 km menuju St. Helens benar-benar mencabar. Apatah lagi dengan memandu VW Kombi yang kurang selesa pemanduannya.
Imran begitu teruja sekali untuk bermain pasir dan air laut. Adik beradiknya yang lain menyokong sepenuh hati. Seronoknya mereka tidak terkira. Imran dan Izzuddin turun berendam manakala Hanisah dan Solehah sekadar bermain di gigi air. Walaupun hanya seketika, kepuasan jelas terpancar di wajah mereka.
Merentasi Tasman Hwy ke Hobart
Selepas mengisi minyak kereta dan membeli bekalan makanan di St. Helens, perjalanan ke Hobart diteruskan. Merentasi laluan 2 hala (pergi-balik) Tasman Hwy tidak terasa jemunya. Di kiri jalan adalah pesisiran pantai dan teluk, manakala ladang dan padang di sebelah kanannya. Sesekali kereta diperlahankan atau berhenti untuk merakamkan setiap keindahan alam ciptaan Tuhan.
Tiba di South Hobart
AlhamduliLlah, kami selamat tiba di rumah tumpangan, Apartment on Sinkland sekitar jam 7:30 malam. Apartment kecil 2 tingkat yang simple, kemas, bersih dan menarik ini terletak di kaki Mt. Wellington. Tiada tuan rumah yang menunggu, kunci rumahnya tersedia di dalam tempat kunci berkod di sebelah pintu masuk. Begitulah kebiasaannya rumah tumpangan persendirian di Australia.
No comments:
Post a Comment