Showing posts with label Tasmania. Show all posts
Showing posts with label Tasmania. Show all posts

Thursday, October 15, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Koleksi Foto

Koleksi sebahagian daripada foto kenang-kenangan kami sekeluarga ketika bercuti di Tasmania kini terdapat di Album Foto Kami. Ianya dibahagi kepada 3 bahagian :
1. Tasmania Utara memuatkan koleksi foto pada hari pertama, kedua dan ketiga di sekitar Launceston, Platypus House, Echidna Garden, Seahorse World, Cataract Gorge, Honey Farm, Tasmazia dan Devonport. Diselitkan juga beberapa keping foto di Bridestowe Lavender Estate @ Nabowla, Binalong Bay @ St. Helens dan pemandangan di sepanjang Tasman Hwy ke Hobart.
2. Tasmania Historical Sites adalah koleksi foto hari keempat, rakaman kunjungan kami ke lokasi bersejarah di Richmond dan Port Arthur. Keunikan batuan di Tesellated Pavement turut disertakan.
3. Tasmania Hobart pula adalah koleksi foto hari terakhir di Tasmania. Kami berkesempatan 'menawan' puncak Mt. Wellington, bersesak-sesak di Salamanca Market dan singgah solat jamak di Masjid Hobart. Sebelum bertolak pulang ke Melbourne pada sebelah malamnya, kami ke Royal Tasmania Botanical Gardens pada sebelah petangnya.

Tuesday, October 13, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari Ke-5

Hari Kelima (03/10/2009)
Hari terakhir kami di Tasmania, khususnya di Hobart. Tumpuan kami hanya di Hobart City dan sekitarnya.
Hobart adalah ibu negeri Tasmania. Dikatakan ibu negeri kedua tertua di Australia selepas Sydney. Ianya dibuka pada 21 Februari, 1804 oleh John Bowen setelah berpindah dari penempatan sebelumnya di Risdon Cove.
Hobart terletak di kaki Mt. Wellington, di sepanjang tebing Derwent River. Kapasiti penduduk Hobart kira-kira 205,000 orang, kebanyakannya adalah nelayan.
Mt. Wellington Summit
Misi pertama kami selepas check-out adalah untuk menawan puncak Mt. Wellington yang terletak hanya 8 km dari Apartment on Sinkland. Perjalanan kami lancar, tambahan pula laluan mendakinya tidaklah curam. Kabus tebal mula kelihatan setelah semakin hampir ke puncaknya. Gerimis hujan yang turun adakala lebat bersama snow flake yang memutih. Terlebih lagi di puncaknya.
Tiba di The Pinnacle Mt. Wellington pada ketinggian 1270m, suasananya amat sejuk sekali. Kami sebenarnya tiada persediaan lengkap untuk menghadapi salji, sekadar berbaju tebal tanpa sarung tangan.
Di sekitarnya, dipenuhi bongkahan batu-batu dengan pelbagai tumbuhan renek di celah-celahnya, memutih daunnya diselaputi salji nipis. Observation Centre dan boardwalk juga disediakan untuk pengunjung. Dari kejauhan, berbalam-balam suram kelihatan sebahagian Hobart City di sebalik lapisan kabus tebal.
Salamanca Market
Tidak tahan kami untuk berlama-lama di atas Mt. Wellington. Tumpuan kami seterusnya adalah Salamanca Market yang terletak di Salamanca Place, berhadapan Parliment House dan Princess Wharf, Sullivan Cove. Ianya dibuka hanya sekali seminggu, pada setiap hari Sabtu.
Bagi rakyat Malaysia, rasanya tiada keistimewaan sangat, seumpama Petaling St di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ataupun Pasar Malam di Jln TAR. Namun bagi penduduk Hobart mahupun Tasmania dan Australia, ianya tarikan utama pada setiap hujung minggu.
Gerai-gerai jualannya menjual pelbagai jenis barangan seperti makanan, buahan, pakaian, seramik, barangan kaca, buku-buku dan bermacam-macam lagi. Koleksi cenderamatanya juga lebih murah berbanding di tempat-tempat lain. Itulah antara barangan yang kami beli, termasuk kebab Persian halal untuk mengalas perut.
Masjid Hobart
Hampir 2 jam di Salamanca Market, kami terus menuju ke Warwick St untuk solat jamak di Masjid Hobart. Jalan-jalan yang dilalui berbukit-bukit, naik turun bersilih ganti. Begitu juga laluan dari pintu pagar masjid menuju masjid di atas bukit. Masjidnya kurang menyerlah dari pandangan luar. Hanya tulisan masjid dalam bahasa Jawi/Arab terletak tersorok di tepi pagar, di celah-celah pokok.
Di halaman hadapannya terdapat bangunan kayu berwarna hijau cerah dengan ukiran awan larat di anjungnya, seakan rumah Melayu. Dipercayai masjid lama sebelum masjid baru dibina di bahagian belakangnya. Menariknya, batu asas masjid baru tertera dirasmikan oleh Dato' Effendi Norwawi, Menteri Pertanian Malaysia pada 19 Oktober 2001.
Malangnya masjid ini berkunci ketika ketibaan kami. Berpusing-pusing kami mencari pintu masuk dan orang untuk bertanyakannya tetapi tidak bertemu. Terpaksalah kami bersolat di hadapan pintu masuknya. Tidak menghairan kerana ianya berlaku di bumi orang kafir, sedangkan di bumi Malaysia sendiri pun banyak masjid berkunci di luar waktu awal solat. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kami sampai juga di Masjid Hobart.
Royal Tasmanian Botanical Gardens
Dari masjid, kami terus ke Queens Domain di mana terletaknya Royal Tasmanian Botanical Gardens. Kawasan seluas hampir 14 hektar ini dipenuhi pelbagai jenis bungaan , tumbuhan dan pepohonan berserta kawasan takungan air yang menyejukkan mata dan menenangkan fikiran.
Tasmanian Native Collection, Chinese Collection, Japanese Garden, Subantarctic Plant House, Peter Cubdall’s Vegie Patch dan Lily Pond adalah antara tarikan utama di taman ini. Bagi peminat bunga dan pencinta alam, persekitarannya ibarat syurga dunia. Apatah lagi ketika musim bunga sekarang ini.
Ketika kami tiba di taman, amat susah sekali untuk mendapatkan tempat letak kereta. Kebetulan sedang berlangsung Spring Tulip Festival selama 2 hari, bermula pada hari tersebut. Hanya Laili, Hanisah dan Solehah sahaja yang berjalan-jalan di taman. Imran dan Izzuddin tidur keletihan di dalam kereta.
Menurut mereka, pemandangan taman amat cantik sekali. Bunga-bungaan berkembang mekar di sana-sini. Tumbuhan dan pepohonan menghijau melatarinya mengindahkan suasana. Ditambah pula dengan aliran lembut air menyegarkan lagi persekitarannya. Foto-foto yang dirakamkan menjadi buktinya.
Berlepas Pulang
Melewati jam 5:00 petang, kami terus menuju ke Hobart Airport. Kereta ditinggalkan di tempat serahan dan kunci dimasukkan ke kotak kunci di hadapan pejabat Rentforless.
Penerbangan pulang menaiki Jetstar ke Melbourne Airport berlepas kira-kira jam 7:25 malam. ALhamduliLlah kami selamat tiba sejam selepasnya. Pungutan bagasinya cepat sekali.
Dijemput oleh Dr. Tuti Azean (terima kasih Yan), kami terus dibawa ke rumahnya untuk makan malam dan solat jamak. Pertama kali bersua dengan suaminya, Abdul Wahab dan 2 anak perempuan mereka. Wahab kini sedang mengikuti pengajian peringkat PhD-nya di LaTrobe University. Terima kasih Yan dan Wahab sekeluarga.
AlhamduliLlah, menghampiri jam 12:00 malam, kami selamat tiba di rumah @ Dandenong. Semuanya tidur kepenatan, terasa bagaikan terlepas satu bebanan yang berat.

Monday, October 12, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari Ke-4

Hari Keempat (02/10/2009)
Tumpuan kami hari ini adalah lokasi-lokasi bersejarah yang telah banyak merakamkan pembentukan sebahagian besar Tasmania. Sejarah mencatatkan, sumbangan banduan dalam pembangunan infrastrukturnya amat besar terutama di bahagian selatan Tasmania. Ada kaitannya dengan penempatan berpusat banduan di Port Arthur yang kini amat terkenal dengan Australia’s Premier Convict Site.
Cuaca hari ini baik sekali, panas dan mendung bersilih ganti. Cuma sesekali sahaja hujan turun tetapi tidak membantutkan perjalanan dan kunjungan kami.
Dari Hobart menuju Richmond, kami perlu melalui Tasman Bridge sejauh 1 km. Bagi anak-anak, rekabentuknya amat unik, ibarat budak tidur menonggekkan punggung. Itu kata mereka.. 8) Tidak jauh dari jambatan adalah Risdon Cove, penempatan pertama 39 orang putih pada tahun 1803, termasuk 24 orang banduan.
Richmond
Di hadapan Richmond Bridge
Singgahan pertama kami adalah di Richmond Bridge yang terletak kira-kira 30 km dari Hobart. Jambatan tertua di Australia ini dibina oleh para banduan dari tahun 1823 – 1825 bagi memudahkan pergerakan askar, polis dan banduan antara Hobart dan Port Arthur.
Struktur binaan merentangi Coal River ini masih lagi kukuh dan masih digunakan hingga kini. Kelompok itik banyak di sini, bebas berenang di dada air, jinak sekali sambil menyudu makanan. Anak-anak tidak melepaskan peluang mengacah dan berkejaran dengannya.
Model perkampungan Old Hobart Town berkonsep Georgian tahun 1820an juga terdapat di tengah-tengah bandar Richmond. Begitu juga penjara lama, Richmond Gaol yang dibina pada tahun 1825 dan beberapa gereja seawal tahun 1836 juga menarik untuk dikunjungi. Jika berminat mengambil foto dengan pakaian generasi kolonial, boleh singgah di Olde Time Portraits.
Tesselated Pavement
Hamparan ketulan batuan bagaikan disusun
Dari Richmond, kami terus bergerak menuju Tasman Peninsula. Tiba di Eaglehawk Neck, kami singgah di Tesselated Pavemet yang terletak berhadapan dengan Lufra Hotel, hotel yang telah beroperasi sejak tahun 1870 lagi.
Tesselated Pavement adalah satu dataran batuan berbongkah-bongkah mendatar di pinggir laut yang membentuk seakan-akan roti ban (loaf). Proses mendapan dan hakisan air laut terhadap Permian mudstone sejak berkurun dahulu mengakibatkan terbentuknya lapisan seumpamanya. SubhanaLlah. Amat menakjubkan sekali ciptaanNya.
Tidak jauh dari Tesselated Pavement ini, terdapat juga singgahan untuk ke Blowhole, Arch dan Devil’s Kitchen. Bagi kami ianya bukan tarikan utama. Kami perlu segera tiba di Port Arthur Historic Site kerana tengahari telahpun lama berlalu, kot-kot terlambat pula.
Port Arthur Historic Site
Sebahagian bangunan lama di Port Arthur
Port Arthur sememangnya amat terkenal, bukan sekadar tarikan pelancung tetapi menjadi khazanah Australia serta Dunia yang amat bernilai. Di sinilah monumen sejarah penempatan banduan yang masih kekal hingga kini. Kawasan seluas lebih 40 hektar ini menempatkan lebih 30 bangunan; antaranya penjara, menara kawalan, mahkamah, kuaters, hospital, dewan, taman, tanah perkuburan dan juga rumah komandan, pemerintah tentera tertinggi.
Di antara tahun 1830 hingga 1877, terdapat kira-kira 12,500 banduan telahpun dibawa ke Port Arthur, majoritinya dari England, termasuklah banduan kanak-kanak. Kisah-kisah sepanjang era penahanan tersebut amat meruntun jiwa dengan pelbagai suasana yang terpaksa dilalui. Selepas penutupannya pada tahun 1877, bandar Port Arthur berubah wajah. Para banduan dibebaskan bagi memulakan penghidupan baru dan membangunkan sebahagian besar bandar-bandar di Tasmania.
Membelakangi sebahagian Penitentiary Building
Kami memulakan lawatan sekitar jam 3:00 petang setelah selesai makan tengahari dan solat jamak. Menjengah muka ke Historic Site, dari kejauhan dapat dilihat pelbagai bangunan lama, kebanyakannya telahpun runtuh sebahagiannya akibat kebakaran (bushfire) pada tahun 1890 mahupun dimamah usia.
Harbour Cruise mengelilingi Mason Cove selama hampir 30 minit sambil diberikan penerangan oleh petugasnya adalah langkah utama kami menjejaki sejarah Port Arthur. Setiap tapak bersejarah di sekitarnya disentuh secara informatif, antaranya Point Puer Boys’ Prison khusus untuk kanak-kanak dan juga Isle of the Dead yang menempatkan kuburan banduan.
Bangunan paling menonjol dan besar di Historic Site ini adalah Penitentiary Building. Bangunan 4 tingkat ini menempatkan sel dan dorm untuk banduan, dapur, bilik makan, stor, perpustakaan dan ruang ibadat kini disokong strukturnya oleh palang-palang besi untuk mengelakkannya runtuh menyembah bumi. Begitu juga bangunan-bangunan lama lainnya.
Guard Tower terletak di sebelah Penitentiary menghadap ke Mason Cove
Melihat sel penjara bersaiz hanya 1.3 meter lebar, terbayang betapa seksanya mereka yang ditahan di situ. Begitu juga ketika meninjau keadaan sel (terutama Punishment Cell – bilik gelap) di Separate Prison yang terletak bersebelahan Asylum Building.
Di belakang Penitentiary adalah bangunan Commandant Office, Law Courts. Hospital, Policeman’s Residence dan Paupers’ Mess. Di sebelah kirinya adalah Guard Tower, Officers’ Quarters, Commandant’s House dan Smith O’Brien Cottage. Di kanannya pula adalah Asylum Building dan juga Museum. Di dalam kawasan yang sama terdapat juga rumah untuk Junior Medical Officer, Magistrate, Surgeon, Accountant dan juga Chaplain berserta gereja.
Begitulah sebahagian daripada peninggalan sejarah berkaitan banduan di Australia. Terlintas juga di fikiran, masih ada lagikah kekejaman di penjara seumpamanya? Bagaimana dengan kisah tahanan di Penjara Guantanamo Bay, di Afghanistan, di Iraq dan mungkin juga tersorok di negara-negara yang dianggap bertamaddun?
Hampir 3 jam kami di Port Arthur, sebelum matahari terbenam di ufuk barat, kami beredar pulang ke rumah tumpangan di kaki Mt. Wellington.

Sunday, October 11, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari Ke-3

Hari Ketiga (01/10/2009)
Pada hari ketiga di Tasmania, kami mula bergerak menuju ke Hobart, ibu negeri Tasmania yang terletak di selatan pulau. Perjalanan kami dari Launceston menuju ke St Helens di East Coast, seterusnya menyusuri jalan pesisiran pantai ke arah selatan. Jaraknya kira-kira 500 km. Sebenarnya ada laluan lebih dekat (200 km) untuk ke Hobart, melalui Heritage Hwy yang merentasi tengah Tasmania. Kami lebih menyukai jalan pantai, lebih luas pandangan dan pemandangannya.
Di sekitar Launceston (Tamar Valley) sebenarnya terdapat masih banyak tempat-tempat menarik lain untuk dikunjungi, bergantung kepada minat, keperluan, sumber kewangan dan masa yang ada. Bukan sahaja keindahan alam semulajadinya tetapi juga kesan tinggalan sejarah yang masih terpelihara. Antaranya Beaconsfield yang terkenal dengan perlombongan emas, York Town penempatan Eropah pertama di sekitar tahun 1804 dan juga beberapa muzium yang terdapat di sekitarnya.
Tong sampah pink pun menarik perhatian..8)
Kami bertolak dari Tamar Village kira-kira jam 10:00 pagi. Masih lagi menaiki VW Kombi. Permohonan menukarnya kepada kereta yang lebih selesa untuk perjalanan jauh tidak kesampaian, dikatakan tiada pengganti. Layanan staf Rentforless sendiri amat tidak mesra, seolah-olah tidak berminat menerima aduan kami. Pengajaran untuk kami untuk perancangan perjalanan di masa hadapan.
Perjalanan kami melalui East Tamar Hwy, seterusnya North East Trail merentasi kawasan perladangan dan penternakan menuju ke Lilydale bergerak lancar. Sesekali hujan turun renyai-renyai.
Bridestowe Lavender Farm @ Nabowla
Tiba di Nabowla, kami melencong ke Bridestowe Lavender Farm - terkenal dengan penanaman bunga lavender yang amat digemari dengan bau dan keunikan minyaknya yang pelbagai guna.
Ketika ketibaan kami, pohon lavender masih menghijau
Deretan pepohonan lavender tumbuh segar di atas batasan panjang melengkung, kelihatan melaut luasnya. Namun kunjungan kami tidak pada masanya. Bunga-bunga biru/violet masih lagi belum berkembang mekar. Menurut petugasnya, menjelang berakhirnya musim bunga barulah bunga-bungaannya mula berkembang mekar. Lautan berwarna biru/violet pula kemuncaknya pada bulan Januari, ketika tiba saat bungaan ini dituai. Tak mengapalah, kami akan cuba dapatkan lavender farm lain di sekitar Melbourne nanti.
Suasana indah tika lavender mekar berkembang
Gift Shop-nya menarik sekali. Semuanya berwarna violet. Dari bangunan, logo, pakaian pekerja, brosur dan banner hinggalah kepada ratusan jenis barangan yang dijual. Bau dalaman kedai amat menyegarkan dengan haruman lavender, terasa tenang jiwa dibuatnya. SubhanaLlah, betapa besar kekuasaanNya. Bauan bunga sahaja sudah mempesonakan, bayangkanlah lain-lain ciptaanNya.
Binalong Bay @ St. Helens
Perjalanan meredah hutan sambil mendaki dan menuruni bukit-bukau sejauh 100 km menuju St. Helens benar-benar mencabar. Apatah lagi dengan memandu VW Kombi yang kurang selesa pemanduannya.
Anak-anak di tepian pantai Binalong Bay
Tengaharinya kami tiba di St. Helens, berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat jamak di taman berhadapan Bays of Fire. Bongkahan batu, sebahagiannnya berwarna jingga/merah seumpama api banyak kelihatan di pinggir teluk. Sempat juga anak-anak melompat ke sana ke sini penuh gembira di atasnya. Bersebelahannya pula Binalong Bay dengan pantai yang memutih bersih mengunjur landai ke laut.
Imran begitu teruja sekali untuk bermain pasir dan air laut. Adik beradiknya yang lain menyokong sepenuh hati. Seronoknya mereka tidak terkira. Imran dan Izzuddin turun berendam manakala Hanisah dan Solehah sekadar bermain di gigi air. Walaupun hanya seketika, kepuasan jelas terpancar di wajah mereka.
Merentasi Tasman Hwy ke Hobart
Selepas mengisi minyak kereta dan membeli bekalan makanan di St. Helens, perjalanan ke Hobart diteruskan. Merentasi laluan 2 hala (pergi-balik) Tasman Hwy tidak terasa jemunya. Di kiri jalan adalah pesisiran pantai dan teluk, manakala ladang dan padang di sebelah kanannya. Sesekali kereta diperlahankan atau berhenti untuk merakamkan setiap keindahan alam ciptaan Tuhan.
Jika diikutkan hati, teringin juga untuk menyinggahi setiap tempat menarik di sepanjang jalan. Akan tetapi mengenangkan tempat dituju masih lagi jauh, cukuplah menikmatinya sekali lalu sahaja. Antara tempat tumpuan pelancong adalah Scamander, St. Marys, Moulting Lagoon, Maclean Bay, Bicheno, Freycinet Peninsula dan Maria Island.
Tiba di South Hobart
AlhamduliLlah, kami selamat tiba di rumah tumpangan, Apartment on Sinkland sekitar jam 7:30 malam. Apartment kecil 2 tingkat yang simple, kemas, bersih dan menarik ini terletak di kaki Mt. Wellington. Tiada tuan rumah yang menunggu, kunci rumahnya tersedia di dalam tempat kunci berkod di sebelah pintu masuk. Begitulah kebiasaannya rumah tumpangan persendirian di Australia.

Saturday, October 10, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari Ke-2

Hari Kedua (30/09/2009)
Cuaca di sebelah pagi baik sekali, matahari bersinar terang diselangi angin bertiup lembut. Petangnya lain pula, hujan turun renyai-renyai, sesekali lebat mengiringi perjalanan dan singgahan kami. Perancangan kami untuk ke Cradle Mountain yang terkenal dengan keindahan panorama alam pergunungan dan kawasan takungan airnya terpaksa dibatalkan. Namun misi Cuti-cuti Tasmania diteruskan juga...
Cataract Gorge Reserve @ Launceston
Paginya kami ke Cataract Gorge Reserve yang terletak tidak jauh dari rumah penginapan di Tamar Village. Pemandangan yang menyejukkan mata dengan persekitaran hutan menghijau dan deruan air South Esk River yang mengalir deras. Difahamkan ketika kunjungan kami, airnya sedang melimpahi tebing sehingga menenggelamkan kolam renang di pinggir empangan yang dilingkungi taman landai. Biru air seperti tertera di dalam brosur berganti dengan air berwarna kehitaman, mungkin kesan aliran deras airnya.
Di sekitar empangan, terdapat beberapa laluan pejalan kaki, bergantung kepada keupayaan masing-masing. Cataract Walk, Zig Zag Track dan First Basin Loop, kesemuanya berjarak dalam 1 km tetapi melalui laluan yang berbeza. Duck Reach Trail adalah paling mencabar dengan jaraknya kira-kira 4.2km melalui laluan berliku-liku.
Bagi yang ingin merasai pengalaman menikmati pemandangan dari atas empangan, chairlift disediakan dengan bayaran $10-$12 bagi dewasa dan $8-$10 bagi kanak-kanak.
Kami memilih untuk berjalan melalui laluan First Basin Loop sehingga ke Cliff Grounds, kemudian menaiki chairlift turun ke First Basin. Pemandangan sekitar ketika menapak dari bawah, seterusnya menyeberangi Alexandra Suspension Bridge amat indah sekali. Bunyi deruan air sungai begitu mengasyikkan.
Sebelum menaiki chairlift, kami berjalan-jalan di sekitar Cliff Grounds. Bangunan Band Rotunda berwarna hijau muda, dilengkapi ruangan informasi sejarah kelihatan amat unik. Di sekitarnya terdapat taman bunga, padang permainan dan Gorge Restaurant. Paling menarik adalah burung-burung merak yang jinak, bebas berkeliaran di merata tempat. Sesekali berbunyi garang sambil mengembangkan ekornya yang berhias cantik.
Honey Farm @ Chudleigh
Dari Gorge, kami terus ke Honey Farm di Chudleigh, kira-kira 40km jaraknya. Lokasinya ke barat Launceston City, antara Deloraine dan Mole Creek. Ketika ini hujan telah mulai merintik turun.
Dekorasi luaran Honey Farm amat menarik sekali. Di kedainya terdapat lebih 50 jenis madu lebah, dari pure honey sehinggalah yang berperisa buah-buahan dan herba serta madu untuk kulit dan perubatan. Pengunjung juga berpeluang merasainya secara percuma.
Malangnya honey farm yang diwar-warkan hanya dapat dilihat melalui cermin kaca kecil di suatu sudut kedai. Elok sekali jika kedai dan ruangan ladang diasingkan dengan menyediakan ruangan tontotan honey farm yang lebih luas, seakan-akan layar putih filem. Malah harga madunya juga lebih mahal dari yang biasa dibeli di tempat-tempat lain.
Tasmazia @ Promised Land
Seterusnya kami ke Tasmazia di Promised Land. Antara jalan yang dilalui namanya No Where Else.. pelik tapi benar...8) Lain-lain tempat di sekitarnya yang tidak kurang menariknya adalah Paradise dan Devil’s Gate.
Tasmazia adalah kawasan taman luas dengan susunan pepohonan yang ditanam tinggi dan dipangkas kemas dengan laluan putus-putus di antaranya, khusus untuk permainan pencarian jalan keluar (maze). Dikatakan antara maze yang terbesar di dunia. Terdapat juga perkampungan unik dengan puluhan deretan rumah dan bangunan kecil pelbagai bentuk dan comel, dikenali sebagai Village of Lower Crackpot. Di pintu masuk utamanya terdapat pejabat pos unik berbentuk rumah kecil yang diperakui oleh Post Australia, dikenali Post Office Lower Crackpot 7306.
Kami tiba di Tasmazia kira-kira jam 3:30 petang. Sudah agak lewat untuk masuk kerana dijadualkan tutup jam 4:00 petang. Difahamkam oleh petugasnya, penjelajahan di dalam Tasmazia mengambil masa 1 ½ - 2 jam untuk menamatkannya. Tidak mengapalah.. anak-anak pun telah pernah berkunjung ke Maze Garden di Mornington Peninsula pada awal tahun lalu.
Mersey River @ Devonport
Dari Promised Land, kami terus menuju ke Devonport di utara Tasmania, singgah di tebing Mersey River untuk solat jamak ta’akhir Zohor-Asar. Feri Spirit of Tasmania berwarna merah putih yang berlabuh di Ferry Terminal jelas kelihatan di seberang sungai, tidak jauh dari tempat singgahan kami.
Hujan renyai-renyai masih lagi turun. Tiada tempat untuk berteduh selain di bawah pokok kurma (tamar)yang menghiasi tebing. Cukuplah, asalkan ada tempat untuk menghadapNya. Anak-anak pula pantang berjumpa air, tak dapat berendam, bermain di gigi air pun sudah memadai. Selesai solat, mereka terus turun ke bawah. Sejuknya suhu sekitar langsung tidak diendahkan.
Dalam sejuk petang menghampiri malam, kami bergerak pulang ke Tamar Village merentasi West Tamar Hwy kira-kira 100km jaraknya.

Thursday, October 8, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari 1

Tasmania, satu-satunya negeri berpulau dalam Australia, letaknya di selatan benua Australia. Keluasannya sekitar 68,330 km persegi dengan kepadatan penduduknya hampir 500,000 orang . Cuacanya sederhana sejuk dengan purata suhu musim panasnya 21C dan di musim sejuknya pula 12C. Musimnya sekarang adalah musim bunga, sama seperti di tanah besar Australia.
Tasmania, sebahagiannya bertanah tinggi terkenal dengan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara dan kesan tinggalan sejarah yang bermula seawal tahun 1800 lagi. Dari buah mulut rakan-rakan yang telah berkunjung ke Tasmania, hati kami ikut teruja untuk ke sana. Apatah lagi kedudukannya yang tidak jauh dari Melbourne, hanya terpisah oleh Bass Straits sejauh 300km sahaja. AlhamduliLlah, pada minggu lepas, selama 5 hari ketika minggu kedua cuti persekolahan, impian kami menjadi kenyataan.
Untuk ke Tasmania, terdapat 2 pilihan. Pilihan pertama menaiki feri Spirit of Tasmania yang mengambil masa kira-kira 8 jam pelayaran dari Melbourne ke Devonport di utara Tasmania. Pilihan kedua pula menaiki kapal terbang yang hanya mengambil masa kira-kira 1 jam penerbangan, samada turun di Launceston Airport di bahagian utara ataupun Hobart Airport di bahagian selatan Tasmania.
Kami memilih menaiki kapal terbang ke Launceston, seterusnya menyusuri jalan pantai di bahagian timur menuju ke selatan, sebelum berlepas pulang ke Melbourne dari Hobart Airport.
Hari Pertama (29/09/2009)
Selepas solat Subuh, kami bertolak ke rumah kenalan Laili, Dr. Tuti Azean di Pascoe Vale, tidak jauh dari Melbourne Airport. Beliau yang menghantar kami ke lapangan terbang dan kereta kami dibawa pulang. Janjinya kepulangan kami akan dijemput olehnya. Terima kasih Yan.
Pengalaman Awal
Kami menaiki penerbangan murah, Jet Star (umpama Air Asia) dan tiba di Launceston Airport kira-kira jam 09:25 pagi. Kawalan kuarantinnya agak ketat. Buahan dan sayuran antara barangan larangan untuk dibawa masuk, walaupun untuk penerbangan dalam negara (domestik). Kotak bekalan makanan kami terpaksa dibuka setelah dikesan oleh anjing pengesan. Agaknya terhidu bau dendeng daging...8) Akhirnya dilepaskan tanpa sebarang masalah.
Tentang kereta sewa, amat mengecewakan kami. Hampir 2 jam kami tersadai di balai ketibaan, menunggu ianya dihantar oleh syarikat Rentforless. Terlebih kecewa lagi, Station Wagon (alias Van) Volkswagen Kombi yang ditawarkan kelihatan uzur (tahun 2002) dan musykil untuk perjalanan jauh. Malah perlindungan insuran (excess fee) pun tidak disediakan.
Apakan daya itu sahaja yang ada. Silap kami juga kerana tidak membuat tempahan awal dari Hertz atau Avis atau Thrifty mahupun Europcar, akhirnya mengigit jari. Bagi Imran lain pula, seronoknya dia sambil menyanyi riang, “Yeh, yeh.. kita ada van. Yeh, yeh.. kita ada van”...8)
Platypus House & Seahorse World
Dari lapangan terbang, kami terus menuju ke Beauty Point yang terletak kira-kira 50km ke utara Launceston. Tumpuan kami adalah Seahorse World dan Platypus House. Cuacanya juga baik, walaupun sejuk berangin tetapi matahari bersinar terang di dada langit.
Perjalanan menyusuri West Tamar Hwy tidak menjemukan. Jalannya juga tidak sibuk. Beriringan dengan Tamar River yang cantik sekali pemandangannya dan rumah-rumah bereka bentuk ala rumah kampung Melayu yang besar begitu mengasyikkan. Di tepian jalan, ditemui banyak haiwan sebesar anak kucing mati bergelimpangan kesan kena langgar. Malah ianya menjadi pemandangan biasa di Tasmania.
Platypus House dan Seahorse World terletak bersebelahan di dalam bangunan panjang yang menongkah laut di bawahnya, ibarat rumah rakit ketika air pasang. Lawatannya berjadual dengan disediakan pemandu pelancung yang memberikan penerangan. Tempatnya kecil sahaja tetapi amat sesuai untuk mengenali haiwan-haiwan berkenaan secara lebih dekat.
Platypus House
Platypus, haiwan natif Australia amat unik dengan kaki dan paruhnya seperti itik dan ekornya pula menyerupai ekor beaver, manakala bulu badannya berminyak kalis air. Kunjungan ke Platypus House bermula dengan sesi tayangan dokumentari kehidupan platypus, diikuti penerangan akan kitaran hidupnya dan akhirnya dibawa bersua muka dengan 5 ekor platypus di kolam yang disediakan.
Selepas itu kami dibawa masuk ke Echidna Garden bersebelahan kolam platypus, habitat yang didiami oleh 3 ekor echidna. Bahagian badannya berduri seakan landak dan mempunyai muncung serta lidah seperti ant-eater. Tampak jinak sekali. Sesi penerangan diberikan bersekali dengan sesi memberi makan echidna.
Seahorse World
Di Seahorse World, pelbagai jenis kuda laut diletakkan berasingan mengikut namanya, antaranya short-headed, barbour, spotted, white, West Australia dan pot bellied.
Selepas sesi penerangan di bahagian akuarium, kami dibawa masuk ke ‘ladang penternakan’ kuda laut. Di setiap balang besar, terdapat ratusan kuda laut yang diklasifikasikan mengikut saiz dan jenisnya. Kami juga ditunjukkan dengan lain-lain hidupan kecil laut seperti naga laut (sea dragon), ikan, tapak sulaiman, sotong, ketam dan bermacam-macam lagi.
Santai di Beauty Point Esplanade
Sementara menunggu sesi lawatan ke Seahorse World di sebelah petang, kami singgah di taman permainan Beauty Point Esplanade yang menghadap Tamar River dengan tiupan angin menyegarkan. Selera santai kami terencat apabila diserbu 2 ekor anjing terjelir-jelir lidahnya meminta Fish n Chips yang masih panas dan semerbak enak baunya. Solehah dan Imran ketakutan, spontan naik ke atas meja taman. Setelah anjing beredar dipanggil tuannya, kami terus naik ke kereta dan makan tengahari di dalamnya.
Sebelum malam menjengah, kami bertolak menuju ke Riverside di Launceston untuk bermalam di Tamar Village Apartment. Rumah 2 bilik lengkap dengan dapur dan ruang tamu kelihatan menarik dengan susun atur perabut asasnya. Di sinilah kami bermalam selama 3 hari berada di Launceston.