Monday, October 12, 2009

Cuti-cuti Tasmania : Hari Ke-4

Hari Keempat (02/10/2009)
Tumpuan kami hari ini adalah lokasi-lokasi bersejarah yang telah banyak merakamkan pembentukan sebahagian besar Tasmania. Sejarah mencatatkan, sumbangan banduan dalam pembangunan infrastrukturnya amat besar terutama di bahagian selatan Tasmania. Ada kaitannya dengan penempatan berpusat banduan di Port Arthur yang kini amat terkenal dengan Australia’s Premier Convict Site.
Cuaca hari ini baik sekali, panas dan mendung bersilih ganti. Cuma sesekali sahaja hujan turun tetapi tidak membantutkan perjalanan dan kunjungan kami.
Dari Hobart menuju Richmond, kami perlu melalui Tasman Bridge sejauh 1 km. Bagi anak-anak, rekabentuknya amat unik, ibarat budak tidur menonggekkan punggung. Itu kata mereka.. 8) Tidak jauh dari jambatan adalah Risdon Cove, penempatan pertama 39 orang putih pada tahun 1803, termasuk 24 orang banduan.
Richmond
Di hadapan Richmond Bridge
Singgahan pertama kami adalah di Richmond Bridge yang terletak kira-kira 30 km dari Hobart. Jambatan tertua di Australia ini dibina oleh para banduan dari tahun 1823 – 1825 bagi memudahkan pergerakan askar, polis dan banduan antara Hobart dan Port Arthur.
Struktur binaan merentangi Coal River ini masih lagi kukuh dan masih digunakan hingga kini. Kelompok itik banyak di sini, bebas berenang di dada air, jinak sekali sambil menyudu makanan. Anak-anak tidak melepaskan peluang mengacah dan berkejaran dengannya.
Model perkampungan Old Hobart Town berkonsep Georgian tahun 1820an juga terdapat di tengah-tengah bandar Richmond. Begitu juga penjara lama, Richmond Gaol yang dibina pada tahun 1825 dan beberapa gereja seawal tahun 1836 juga menarik untuk dikunjungi. Jika berminat mengambil foto dengan pakaian generasi kolonial, boleh singgah di Olde Time Portraits.
Tesselated Pavement
Hamparan ketulan batuan bagaikan disusun
Dari Richmond, kami terus bergerak menuju Tasman Peninsula. Tiba di Eaglehawk Neck, kami singgah di Tesselated Pavemet yang terletak berhadapan dengan Lufra Hotel, hotel yang telah beroperasi sejak tahun 1870 lagi.
Tesselated Pavement adalah satu dataran batuan berbongkah-bongkah mendatar di pinggir laut yang membentuk seakan-akan roti ban (loaf). Proses mendapan dan hakisan air laut terhadap Permian mudstone sejak berkurun dahulu mengakibatkan terbentuknya lapisan seumpamanya. SubhanaLlah. Amat menakjubkan sekali ciptaanNya.
Tidak jauh dari Tesselated Pavement ini, terdapat juga singgahan untuk ke Blowhole, Arch dan Devil’s Kitchen. Bagi kami ianya bukan tarikan utama. Kami perlu segera tiba di Port Arthur Historic Site kerana tengahari telahpun lama berlalu, kot-kot terlambat pula.
Port Arthur Historic Site
Sebahagian bangunan lama di Port Arthur
Port Arthur sememangnya amat terkenal, bukan sekadar tarikan pelancung tetapi menjadi khazanah Australia serta Dunia yang amat bernilai. Di sinilah monumen sejarah penempatan banduan yang masih kekal hingga kini. Kawasan seluas lebih 40 hektar ini menempatkan lebih 30 bangunan; antaranya penjara, menara kawalan, mahkamah, kuaters, hospital, dewan, taman, tanah perkuburan dan juga rumah komandan, pemerintah tentera tertinggi.
Di antara tahun 1830 hingga 1877, terdapat kira-kira 12,500 banduan telahpun dibawa ke Port Arthur, majoritinya dari England, termasuklah banduan kanak-kanak. Kisah-kisah sepanjang era penahanan tersebut amat meruntun jiwa dengan pelbagai suasana yang terpaksa dilalui. Selepas penutupannya pada tahun 1877, bandar Port Arthur berubah wajah. Para banduan dibebaskan bagi memulakan penghidupan baru dan membangunkan sebahagian besar bandar-bandar di Tasmania.
Membelakangi sebahagian Penitentiary Building
Kami memulakan lawatan sekitar jam 3:00 petang setelah selesai makan tengahari dan solat jamak. Menjengah muka ke Historic Site, dari kejauhan dapat dilihat pelbagai bangunan lama, kebanyakannya telahpun runtuh sebahagiannya akibat kebakaran (bushfire) pada tahun 1890 mahupun dimamah usia.
Harbour Cruise mengelilingi Mason Cove selama hampir 30 minit sambil diberikan penerangan oleh petugasnya adalah langkah utama kami menjejaki sejarah Port Arthur. Setiap tapak bersejarah di sekitarnya disentuh secara informatif, antaranya Point Puer Boys’ Prison khusus untuk kanak-kanak dan juga Isle of the Dead yang menempatkan kuburan banduan.
Bangunan paling menonjol dan besar di Historic Site ini adalah Penitentiary Building. Bangunan 4 tingkat ini menempatkan sel dan dorm untuk banduan, dapur, bilik makan, stor, perpustakaan dan ruang ibadat kini disokong strukturnya oleh palang-palang besi untuk mengelakkannya runtuh menyembah bumi. Begitu juga bangunan-bangunan lama lainnya.
Guard Tower terletak di sebelah Penitentiary menghadap ke Mason Cove
Melihat sel penjara bersaiz hanya 1.3 meter lebar, terbayang betapa seksanya mereka yang ditahan di situ. Begitu juga ketika meninjau keadaan sel (terutama Punishment Cell – bilik gelap) di Separate Prison yang terletak bersebelahan Asylum Building.
Di belakang Penitentiary adalah bangunan Commandant Office, Law Courts. Hospital, Policeman’s Residence dan Paupers’ Mess. Di sebelah kirinya adalah Guard Tower, Officers’ Quarters, Commandant’s House dan Smith O’Brien Cottage. Di kanannya pula adalah Asylum Building dan juga Museum. Di dalam kawasan yang sama terdapat juga rumah untuk Junior Medical Officer, Magistrate, Surgeon, Accountant dan juga Chaplain berserta gereja.
Begitulah sebahagian daripada peninggalan sejarah berkaitan banduan di Australia. Terlintas juga di fikiran, masih ada lagikah kekejaman di penjara seumpamanya? Bagaimana dengan kisah tahanan di Penjara Guantanamo Bay, di Afghanistan, di Iraq dan mungkin juga tersorok di negara-negara yang dianggap bertamaddun?
Hampir 3 jam kami di Port Arthur, sebelum matahari terbenam di ufuk barat, kami beredar pulang ke rumah tumpangan di kaki Mt. Wellington.

No comments: