Telah agak lama laman belakang dan hadapan terbiar dengan rerumput dan pepohon renek merimbun segar. Begitu juga di bahagian tepi rumah. Lebih-lebih lagi di musim sejuk (baru berlalu) yang dingin, satu kelebihan untuk pertumbuhan pokok seumpamanya.
Bukannya tiada kemahuan untuk memotong dan membersihkannya tetapi dengan keadaan cuaca panas dan hujan tidak menentu, ditambah pula dengan suhu sekitar yang sejuk, seringkali membantutkan tindakan. Kini suhu di awal musim bunga sedikit menyenangkan hati walaupun panas dan hujan sering bersilih ganti.
Sekembalinya dari Tasmania 3 minggu lalu, tuan rumah datang bertandang bersama agen quatity surveyor (proses perlepasan cukai ataupun perolehan rebat). Keseluruhan rumah diperiksa dan diambil gambar termasuk laman belakang dan bahagian tepi rumah. Malu dan segan pula tapi apa nak buat, terpaksa buat muka seposen ajalah…8)
Cuma bahagian berumput di tepi jalan utama sahaja yang tidak dipotong. Rumputnya masih lagi pendek. Mungkin juga sedikit terbantut pertumbuhannya dek teduhan pokok gum besar yang memayunginya. Sebenarnya bahagian itupun di bawah tanggungjawab tuan rumah/ penyewa rumah yang berhadapan dengannya. Jika engkar, boleh dikenakan amaran ataupun didenda oleh pihak Dandenong Council.
Dengan keadaan sekarang bolehlah bertahan untuk selama dua tiga bulan lagi. Namun lawn mower yang dikongsi bersama beberapa rakan Dandenong jarang dapat berehat lama. Sering berpindah randah dari rumah ke rumah. Jasanya amat banyak dan ramai yang dapat menikmatinya… Berbaloi sekali dibeli baru dengan warranty period selama setahun. Diharapkan ianya mampu berkhidmat sehinggalah ke akhir tahun hadapan, tika kesemua pemilik bersamanya kembali ke tanah air. Moga-moga. Ameen.
No comments:
Post a Comment