Sunday, October 18, 2009

Ziarah Syawal

Bulan Syawal tinggal beberapa hari lagi. Dengar khabar, ramai yang berebut-rebut mengadakan rumah terbuka di hujung minggu. Bukan sahaja di tanah air tetapi juga di kalangan rakyat Malaysia di Melbourne. Begitulah adanya..8) rayanya sebulan menyamai puasanya yang juga sebulan. Harap-harap tidak dilupakan ganjaran puasa setahun dengan hanya menambah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.
Seronok anak-anak apabila dapat bersama
Di hujung minggu ini, tiada jemputan rumah terbuka yang kami terima. OKlah tu, setelah setiap hujung minggu terpenuh dengan berjalan di sana sini memenuhi permintaan rakan dan kenalan. Hanya Laili bersama anak-anak perempuan ada jamuan raya sesama ahli kumpulan Usrah Wanita di Clayton semalam.
Minggu lepas, pada hari Sabtu, bersama keluarga Lajiman-Suraya, kami ke rumah Shaharuddin-Azizah di Thomastown kira-kira 40km dari Dandenong. Din dan Gee adalah rakan lama ketika sama-sama berkerja di MIMOS Berhad.
Selepas itu dibawanya kami ke rumah Azlan-Azni di Reservoir menyertai rumah terbuka mereka yang diadakan sekali dengan majlis aqiqah anak Hamzah. Makanannya pelbagai, apatah lagi dengan 2 ekor biri-biri aqiqah. Bersua dengan beberapa kenalan lama; antaranya Azizi, Niezam, Dr. Kamal, Din Hogan dan Ibrahim.
Akhirnya sampai juga kami ke rumah Ustazah Hidayah
Dah sampai di sana, dijemput pula ke rumah Ustazah Nur Hidayah, tidak jauh daripadanya. Ustazah, kenalan warga blog (blognya Sekadar Pendapat Hidayah) dikenali ketika mengikuti ceramahnya di Majlis Suai Kenal South Eastern Group pada tahun lepas. Tahniah Ustazah kerana baru sahaja dianugerahkan Prof Madya oleh UiTM Shah Alam. Senyumnya sampai ke telinga....8).
Seterusnya menyinggah pula di rumah sewa baru Azizi, juga di Reservoir. Rumah di cerun bukit dengan pemandangan indah di bawahnya, jelas kelihatan dari beranda belakang rumahnya.
Hari Ahadnya kami memenuhi jemputan dari Mutalib-Zihan tidak jauh dari Melbourne CBD. Mereka akan pulang ke tanah air sebulan lagi setelah tamat setahun kontrak latihan kerja Mutalib di sini. Seterusnya ke rumah Dr. Aziz-Noraini di Clayton, jemputan di saat-saat akhir ketika di rumah Mutalib. Dr. Aziz berkerja di Monash Medical Centre. Menjelang malam, kami singgah di rumah Azhar-Norma di Clayton South. Mereka sekeluarga akan berangkat pulang ke tanah air pada awal November nanti. Rumah mereka akan diambil alih oleh Mohd Nor-Dr. Ziela yang baru tiba.
Dr. Faizal, mesra bersama rakan setugasnya
Dua minggu sebelumnya, sekembalinya dari percutian di Tasmania, jemputan diterima dari Dr. Faizal-Dr. Rahana di Clayton South. Majlis rumah terbuka diadakan sekali dengan majlis tahlil arwah untuk bapa Dr. Rahana. Selepas itu kami ke rumah Din Ganu-Liza di Oakleigh East, menghadiri rumah terbuka yang dikongsi bersama dengan Azwardi-Shada. Majlis masuk rumah Rudy-Dr.Ashrini di Springvale pula diadakan pada malam Jumaatnya. Mereka baru tiba beberapa minggu lalu.
Beberapa hari sebelum Dandenong Open House di akhir minggu pertama Syawal, kami ke rumah Dr. Ahmad-Intan di Oakleigh. Kedua-duanya amat jarang bertemu tetapi setiap tahun pasti menerima jemputan makan-makan di rumah mereka. Juga jemputan dari Ghaffar-Mazni di Malvern East. Kedua-duanya bakal menamatkan pengajian PhD mereka tidak lama lagi.
Jemputan pada hari raya dan beberapa hari selepasnya telah disentuh dalam entri terdahulu.
Berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan yang menjemput. Moga sentiasa dimurahkan rezeki dan dirahmati Allah SWT. Ameen.

No comments: