Hari Kedua (30/09/2009)
Cuaca di sebelah pagi baik sekali, matahari bersinar terang diselangi angin bertiup lembut. Petangnya lain pula, hujan turun renyai-renyai, sesekali lebat mengiringi perjalanan dan singgahan kami. Perancangan kami untuk ke Cradle Mountain yang terkenal dengan keindahan panorama alam pergunungan dan kawasan takungan airnya terpaksa dibatalkan. Namun misi Cuti-cuti Tasmania diteruskan juga...
Cataract Gorge Reserve @ Launceston
Di sekitar empangan, terdapat beberapa laluan pejalan kaki, bergantung kepada keupayaan masing-masing. Cataract Walk, Zig Zag Track dan First Basin Loop, kesemuanya berjarak dalam 1 km tetapi melalui laluan yang berbeza. Duck Reach Trail adalah paling mencabar dengan jaraknya kira-kira 4.2km melalui laluan berliku-liku. Bagi yang ingin merasai pengalaman menikmati pemandangan dari atas empangan, chairlift disediakan dengan bayaran $10-$12 bagi dewasa dan $8-$10 bagi kanak-kanak.
Honey Farm @ Chudleigh
Dekorasi luaran Honey Farm amat menarik sekali. Di kedainya terdapat lebih 50 jenis madu lebah, dari pure honey sehinggalah yang berperisa buah-buahan dan herba serta madu untuk kulit dan perubatan. Pengunjung juga berpeluang merasainya secara percuma. Malangnya honey farm yang diwar-warkan hanya dapat dilihat melalui cermin kaca kecil di suatu sudut kedai. Elok sekali jika kedai dan ruangan ladang diasingkan dengan menyediakan ruangan tontotan honey farm yang lebih luas, seakan-akan layar putih filem. Malah harga madunya juga lebih mahal dari yang biasa dibeli di tempat-tempat lain.
Tasmazia @ Promised Land
Seterusnya kami ke Tasmazia di Promised Land. Antara jalan yang dilalui namanya No Where Else.. pelik tapi benar...8) Lain-lain tempat di sekitarnya yang tidak kurang menariknya adalah Paradise dan Devil’s Gate.
Tasmazia adalah kawasan taman luas dengan susunan pepohonan yang ditanam tinggi dan dipangkas kemas dengan laluan putus-putus di antaranya, khusus untuk permainan pencarian jalan keluar (maze). Dikatakan antara maze yang terbesar di dunia. Terdapat juga perkampungan unik dengan puluhan deretan rumah dan bangunan kecil pelbagai bentuk dan comel, dikenali sebagai Village of Lower Crackpot. Di pintu masuk utamanya terdapat pejabat pos unik berbentuk rumah kecil yang diperakui oleh Post Australia, dikenali Post Office Lower Crackpot 7306. Kami tiba di Tasmazia kira-kira jam 3:30 petang. Sudah agak lewat untuk masuk kerana dijadualkan tutup jam 4:00 petang. Difahamkam oleh petugasnya, penjelajahan di dalam Tasmazia mengambil masa 1 ½ - 2 jam untuk menamatkannya. Tidak mengapalah.. anak-anak pun telah pernah berkunjung ke Maze Garden di Mornington Peninsula pada awal tahun lalu.
Mersey River @ Devonport
Dari Promised Land, kami terus menuju ke Devonport di utara Tasmania, singgah di tebing Mersey River untuk solat jamak ta’akhir Zohor-Asar. Feri Spirit of Tasmania berwarna merah putih yang berlabuh di Ferry Terminal jelas kelihatan di seberang sungai, tidak jauh dari tempat singgahan kami.
Dalam sejuk petang menghampiri malam, kami bergerak pulang ke Tamar Village merentasi West Tamar Hwy kira-kira 100km jaraknya.
No comments:
Post a Comment