Friday, July 3, 2009

Mt. Buller > Perjalanan Pergi

Mt. Buller yang terletak di timur laut Melbourne adalah antara kawasan pelancongan tanah tinggi (high country) yang terkenal di Victoria. Berbanding musim-musim lain, Mt. Buller lebih mendapat tumpuan ramai ketika musim sejuk di mana aktiviti-aktiviti main salji menjadi keutamaan pengunjung.

Bermulanya cuti persekolahan Penggal 2, kami sekeluarga berkesempatan ke sana. Turut serta adalah keluarga Dr. Zamri-Dr. Harlina bersama 3 anak mereka; Zaim, Zamir dan Ziad serta ibu saudara Harlina yang dipanggil Mak Usu. Kami bermalam selama 2 malam di Chalet Minil, Alpine Ridge Drive, Merrijig, kira-kira 5 km dari Mirimbah, pintu masuk ke Mt. Buller. Urusan sewaan chalet telah dilakukan oleh Laili lebih sebulan lalu secara online.

Kami bertolak dari rumah @ Dandenong pada pagi Ahad (28/06/2009), kira-kira jam 10:00 pagi. Manakala keluarga Zamri bertolak terus dari rumah mereka di Blackburn Rd dengan harapan berjumpa di pertengahan jalan ataupun terus di rumah penginapan. Cuacanya baik sekali walaupun suhunya sejuk sedikit. Biasalah musim sejuk. Dapat cuaca mendung tanpa hujan, sesekali disinari matahari sudah dianggap bertuah. Syukur AlhamduliLlah.

Jarak perjalanan kira-kira 210 km berpandukan GPS lancar melalui Stud Rd ke Bayswater, Yarra Glen, Yea, Mansfield dan terus ke Merrijig. Pemandangan persekitaran jalan mengasyikkan dengan ladang-ladang penternakan biri-biri, lembu dan kuda bersilih ganti.
Ketika melalui Melba Hwy di Kinglake National Park hati diragut sendu. Inilah antara kawasan yang teruk dilanda tragedi kebakaran besar (inferno), dikenali Black Saturday pada awal Februari lalu. Pepohonan di kiri-kanan lebuhraya masih jelas kesan terbakarnya, hitam legam batang dan dahannya tanpa daun. Terbayang betapa ngerinya ketika itu…

Di Mansfield, kami singgah di Visitor Information Centre, salah satu kemestian kami ketika melancong di tempat yang tidak pernah dikunjungi. i-Centre-nya kecil sahaja dengan pelbagai replika batang kayu yang mengisahkan kebudayaan orang asli Taungurung tertacak tegak di hadapannya. Di sini kami bertanyakan di mana letaknya Chalet Minil kerana GPS kami yang tidak dikemaskini petanya sejak dibeli 2 tahun lalu tidak dapat mengesan Alpine Ridge Drive. AlhamduliLlah terdapat brosur chalet berkenaan di raknya.

Kami selamat tiba di chalet kira-kira jam 2:00 petang. Tuan rumah tidak ditemui tetapi kuncinya diletakkan di peti kunci berkod bersebelahan tempat letak kereta. Kodnya diperolehi beberapa hari lalu selepas pembayaran telah dibuat. Mudah sekali dan tiada kebimbangan dicuri orang.
Chalet Minil adalah rumah sebuah 3 bilik dengan 2 bilik terletak di mezzanine, dilengkapi dengan lounge heater tradisional menggunakan kayu manakala electric heater terdapat di setiap bilik dan juga di lounge dan bilik air. Kawasan sekitarnya di kelilingi hutan snowgum dan jelas kelihatan puncak Mt. Buller dari arah rumah penginapan.

Keluarga Zamri tiba tidak lama selepasnya. Selepas berehat, makan tengahari dan bersolat jamak, kami keluar kembali mencari kedai sewaan peralatan main salji yang terdapat di sekitar Merrijig dan Mirimbah. Berpandukan brosur ski hire yang diambil di i-Centre, harga yang ditawarkan di setiap kedai boleh dibandingkan. Barangan boleh disewa pada petang berkenaan tetapi kami memilih mengambilnya pada keesokan harinya. Lebih memudahkan. Cuba.. pakai.. terus naik ke Mt. Buller.

Malamnya kami tidak ke mana-mana, hanya di rumah melepaskan lelah di jalanan. Anak-anak lelaki teruja sekali bermain cucuh mencucuh api di tempat pembakaran pemanas di ruang tamu (wod fireplace) – pengalaman main api yang amat sukar ditemui kecuali ketika berada di kampung. Begitulah anak-anak zaman sekarang, tidak sempat bertemu api hatta untuk pembakaran sampah sekalipun kerana tiada lagi pembakaran terbuka di kawasan perbandaran.

Menjelang jam 09:30 malam, semuanya mula dilamun mimpi indah bermain salji di puncak Mt. Buller.

2 comments:

rezeki said...

"Tuan rumah tidak ditemui tetapi kuncinya diletakkan di peti kunci berkod bersebelahan tempat letak kereta. Kodnya diperolehi beberapa hari lalu selepas pembayaran telah dibuat. Mudah sekali dan tiada kebimbangan dicuri orang. "

kalau kat malaysia mcm tu, alangkah baiknya. Pernah dulu masa kami dlm perjalanan pulang ke hotel di Perth, terjumpa gerai menjual madu lebah di tepi jalan, tuannya tak ada, tapi disediakan tin kosong utk diletakkan wang jika ingin membeli madunya. Semua atas dasar kepercayaan .

ropidi 'n laili said...

Begitulah adanya, semuanya atas dasar kepercayaan. Alangkah indahnya...