Saturday, July 4, 2009

Mt. Buller > Main Salji

Pagi Isnin (29/06/2009), selepas bersarapan pagi, kami terus ke Merrijig Motel – Ski Hire Shop yang terletak di tepian Mt. Buller Rd untuk urusan sewaan kelengkapan bermain salji.
Bagi keluarga kami hanya Izzuddin dan Hanisah sahaja yang tiada snow pant dan snow boot. Keluarga Zamri-Harlina pun serupa, kesemuanya hanya memerlukan snow pant dan snow boot sahaja. Tidak dilupakan toboggan slide untuk setiap kanak-kanak seramai 7 orang (Imran punya telahpun diambil petang hari sebelumnya).
Tempoh sewaan adalah untuk sehari, boleh diambil petang hari sebelumnya. Pilihan kami sewaan pada sebelah pagi sebelum bertolak ke Mt. Buller, boleh terus naik ke kawasan bersalji. Di pintu masuk tertera makluman, cuaca baik dan tidak perlu dipasang tyre chain kerana jalannya tidak licin (bermaksud tidak perlu menyewa tyre chain).

Pintu masuk ke Mt. Buller terletak di kaki gunung di Mirimbah. Bayaran masuk untuk standard car adalah $34, manakala kenderaan lebih besar cajnya $56. AlhamduliLlah, MPV yang kami naiki (Honda Odyssey dan KIA Grand Carnival) dikategorikan standard car, jimatlah sedikit. Bagi yang tidak ingin memandu ke atas, boleh menaiki shuttle bus (MMBL) berhadapan pintu masuk. Laluan ke Mt. Stirling (juga kawasan bersalji) melalui pintu masuk yang sama tetapi perlu melencong ke kiri selepasnya.

Jalan mendaki ke Mt. Buller sejauh 15 km dari pintu masuk tidaklah terlalu berliku-liku seumpama ke Mt. Baw Baw tetapi masih melalui cerun gunung yang menaikkan bulu roma apabila melihat ke bawah. Keadaan cuaca yang terang memudahkan pemanduan. Laluan berkabus hampir tiada langsung kecuali setibanya di Horse Hill Car Park yang dipenuhi kenderaan pengunjung. AlhamduliLlah.

Mt. Buller sebenarnya agak luas, lebih 300 hektar persegi dan dilingkari kira-kira 80km laluan bersalji untuk pengemar aktiviti lasak. Malah chairlift-nya sahaja terdapat 22 buah semuanya dan biasanya beroperasi mengikut keperluan.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.

Dari car park, kami terus menuju ke Toboggan Run yang terletak berhadapan Souvenir & Ski Hire Shop. Anak-anak tidak sabar lagi menaiki slide yang dibawa menuruni cerun yang sedikit curam di atasnya dan landai di bawah. Mengecewakan, lapisan saljinya amat nipis sehingga kelihatan lapisan tanah di bawahnya tapi masih boleh dituruni. Namun kegembiraan anak-anak tidak terkata, naik turun berulang-ulang kali. Tiada langsung tampak rona ralat pada wajah mereka walaupun pakaian kotor dilapisi lumpur dan tanah.

Dari Horse Hill, kami menaiki Mt. Buller Shuttle Bus percuma ke Village Centre di mana terdapat bus depot, ski hire shops, Cow Camp Plaza, supermarket dan kedai makan. Di sini juga terdapat Village Toboggan Run tetapi ditutup kerana tiada salji. Anak-anak hanya sekadar bermain snow ball dan membina snow sculpture di tapak toboggan. Kasihan mereka. Sedikit terubat keterujaan mereka apabila dapat mengelusur menaiki slide di hadapan Buller Kids’ Centre.

Bersebelahan Village Square, terdapat Blue Bullet Station yang dipenuhi lapisan salji yang tebal mengunjur sehingga ke puncaknya. Di sinilah kawasan rekreasi bermain ski dan snow boarding yang dikhaskan untuk beginners. Namun yang menuruni cerun ke Blue Bullet ramai yang kelihatan yang telah berkemahiran. Amat menakutkan, khuatir kot-kot terlanggar. Terdapat juga chairlift sehingga ke atas yang biasanya digunakan oleh pemain ski dan snow board untuk ke bahagian atas sebelum kembali meluncur turun ke bawah.

Di Blue Bullet ini juga kelihatan sebilangan pengunjung yang belajar bermain ski di bawah tunjuk ajar juru latih. Bayarannya $96 (dewasa) untuk tempoh 2 jam dengan kebenaran menggunakan mana-mana chairlift yang ada. Sekiranya menyewa kelengkapan ski, bayarannya meningkat kepada $146. Teringin juga di hati tetapi bukannya sekarang.

Dari Blue Bullet, kami menaiki chairlift (sightseeing) sejauh kira-kira 400 meter naik ke stesyen berikutnya. Bayarannya $21 untuk dewasa dan $13 untuk kanak-kanak. Family package pula $54 untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak (Percuma untuk Imran di bawah usia 5 tahun). Ianya boleh digunakan sepanjang hari, terserah berapa kali berhajat menaikinya. Terasa gayat juga apabila melihat ke bawah tetapi seronok melihat pemandangan sekitar yang memutih dilitupi salji.
Kawasan sekitar di stesyen berikutnya lebih menyeronokkan. Salji memutih bagaikan permaidani terbentang luas di seluruh kawasan sehingga ke puncak. Pemain ski dan snow board bersimpang siur melintasi setiap ruang yang ada. Mereka benar-benar berpengalaman dan kelihatan begitu enjoy sekali.

Kabus putih semakin lama semakin menebal. Pemandangan sekitar semakin kabur. Sejuknya lebih terasa. Adakala kaki terjerlus apabila terpijak dataran salji lembut yang lompong di bawahnya. Anak-anak begitu seronok sekali membina snow man walaupun tidak siap sepenuhnya. Sesekali bermain snow ball, membaling sesama sendiri.

Hajat hati untuk membawa mereka bermain snow tubing (percuma dengan sightseeing ticket) tetapi mereka sendiri tidak sanggup lagi menahan sejuk. Pakaian yang dipakai basah lencun, begitu juga sarung tangan dan stoking. Sejuknya hingga menggigil badan. Pilihan mereka hanya satu, balik ke kereta.

Menjelang jam 3:00 petang, menaiki free shuttle bus, kami turun ke Horse Hill. Izzuddin dan Imran berserta Laili dan Mak Usu terus ke kereta, manakala yang lain singgah di Toboggan Run, kembali bermain penuh semangat walaupun kesejukan. Selepas ½ jam, kesemuanya bertukar pakaian dan terus pulang ke rumah penginapan.

Ketika menghantar barangan sewaan di Merrijig Motel, dikhabarkan baru sahaja berlaku kemalangan di jalan mendaki/menurun ke Mt. Buller. AlhamduliLlah kami terselamat dari mara bahaya seumpamanya.
Malamnya anak-anak masih lagi aktif. Tidur lewat dari ibu bapa, sempat lagi menonton filem Bedtime Stories dari DVD yang dibawa sehingga habis. Apakah mimpi mereka? Bedtime Stories ataupun main salji? Ataupun tidur lena tanpa gangguan sehingga ke pagi..?

2 comments:

rezeki said...

salam,
sungguh seronok dpt bercuti bersama-sama anak-anak.winter kat sana, kereta kena tukar dan gunakan tayar khas utk ke Mt. Buller? Di sana sekrg brp average suhunya?

ropidi 'n laili said...

Salam,
Kebetulan tyre chain tidak perlu dipakai. Suhu dipuncak mencecah 0 darjah C.