Sunday, July 5, 2009

Mt. Buller > Perjalanan Pulang

Pagi Isnin (30/06/2009), kami bergerak keluar dari Chalet Minil selepas meletakkan kembali kunci rumah ke dalam peti kunci berkod di tempat letak kereta. Itulah pesan tuan rumah. Sesekali terfikir, ada tak kemudahan sepertinya di Malaysia? Entahlah...

Cuaca sepanjang hari kurang baik, hujan dan berangin. Redanya hanya seketika, tidak berapa lama selepasnya hujan kembali turun. Begitulah keadaannya sehingga kami tiba di rumah kira-kira jam 03:30 petang.

Perjalanan pulang kami tidak melalui laluan yang sama ketika datang. Kesepakatan dengan keluarga Zamri, selepas Bonnie Doon, kami melencong ke Alexandra dan Marysville untuk menghayati pemandangan di sekitarnya. Elok juga, jauh perjalanan luas pemandangan.

Selepas meninggalkan Merrijig dan Mansfield, kami singgah di Lake Eildon di Boonie Doon. Tasik yang bercabang-cabang bagaikan sungai, hujungnya merintangi jambatan di Maroondah Hwy yang kami lalui sehinggalah ke Lake Eildon National Park. Suatu ketika dahulu airnya banyak, hampir mencecah bawah jambatan tetapi kini telahpun kering sehinggakan jambatan tampak menyayut tinggi. Namun keadaannya berbeza di National Park. Ratusan rumah bot sewaan terapung-apung di permukaannya dan airnya adalah sumber utama pengairan kawasan penanaman di sekitarnya.

Dalam perjalanan ke Alexandra, kami mendapat khabar dari rakan-rakan Malaysia yang telahpun tiba di pintu masuk Mirimbah, Mt. Buller ditutup kerana cuaca buruk. Bersama mereka adalah rombongan (bas dan kereta) para pelajar Malaysia dari Monash University, Clayton. Kasihan mereka, datang dari jauh tetapi tidak berkesempatan bermain salji. Terdetik di hati, syukur AlhamduliLlah kami dipermudahkan dan diberikan peluang olehNya tanpa sebarang halangan. Maha Hebat KetentuanNya.

Menjelang tengahari kami tiba di Alexandra, sebuah pekan kecil yang kelihatan tenang. Kami singgah di i-Centre, bertanyakan petugas tempat-tempat menarik di sekitarnya. Tidak banyak kecuali yang berunsurkan sejarah seperti Timber Tramway Museumdan bangunan-bangunan lama. Bagi peminat memancing, ianya lebih berbaloi dengan Goulburn River yang merintanginy atau ke Lake Eidon yang terletak di National Park, tidak jauh daripadanya. Di sini kami makan tengahari dan solat jamak di tempat rehat (seakan wakaf) bersebelahan i-Centre.

Meneruskan perjalanan ke Marysville, kami melintasi Cathedral Range State Park. Pemandangan yang amat menyayatkan hati. Dari kejauhan, jelas kelihatan kawasan hutan di tanah tinggi dilatari warna hitam ataupun keperangan, kesan terbakar. Pepohonan di kiri kanan jalan yang dilalui juga habis terbakar, hitam legam batang dan dahannya. Sebahagian daripadanya telahpun ditebang, yang tinggal hanyalah tunggul-tunggul. Memasuki Marysville, pemandangan seumpamanya lebih ketara.

Ketika tiba di pekan Marysville, kesayuan hati lebih terasa. Inilah persinggahan utama di musim sejuk sebelum bergerak naik ke Lake Mountain di Yarra Ranges National Park untuk bermain salji.

Pekannya yang begitu cantik ketika dikunjungi beberapa kali pada tahun lepas, kini bagaikan padang jarak padang tekukur. Tiada lagi pepohonan yang lebat daunnya memayungi hampir di seluruh kawasan berserta deretan kedai, rumah penginapan dan bangunan antik. Yang tinggal kini hanyalah pokok-pokok dengan kesan terbakarnya dan beberapa kabin yang dijadikan kedai, tandas dan pejabat sementara.
Kawasan persekitarannya telahpun diratakan dan dipagari, dalam proses pembangunan semula. Batang-batang pokok yang telah dihancurkan ditabur di seluruh kawasan bertanah sebagai penyimpan air dan hakisan tanah, sekaligus mengelakkan becak ketika hujan.

Inilah kesan dari tragedi Black Saturday yang berlaku pada pertengahan musim panas lalu (awal Februari, 2009), terakam dalam sejarah sebagai kebakaran paling teruk di Australia yang mengorbankan lebih 200 orang. Marysville antara yang terkesan di mana keseluruhan pekannya habis terbakar dengan kematian yang juga tinggi.

Dari Marysville, kami berpecah dengan keluarga Zamri. Masing-masing bergerak sendiri pulang ke rumah. Di sepanjang jalan ke Healesville, masih banyak ditemui kesan kebakaran di kiri kanan jalan. Black Spur Caravan Park yang kami inapi pada tahun lepas dan ski hire shop bersebelahannya serta kawasan sekitarnya di Narbethong terselamat. Hutannya masih lagi menghijau segar.

Kami selamat tiba di rumah dalam keadaan angin sedang bertiup kencang. Khabar diterima keesokan harinya, terdapat kenderaan berat yang terbalik, banyak pokok-pokok yang tumbang malah ada nyawa yang melayang dihempap pokok. AlhamduliLlah, kami semua dikurniakan keselamatan.

2 comments:

rezeki said...

salam,
Selamat berhari minggu.
alhamdulillah, saudara sekeluarga selamat pergi dan selamat kembali dr percutian.
Di australia, sering berlaku musibah spt kebakaran hutan , terutama pada musim panas.Itulah ketentuan ALLAH yang boleh memberi iktibar kpd kita semua dan kita sebagai hambanya boleh menadaptasikan dlm kehidupan kita seharian. ALLAH maha berkuasa, kita berdoa,berusaha dan bertawakal agar semuanya dalam perlindunganNYA .
p/s : letih selps basuh kereta

ropidi said...

Allah merancang, manusia juga merancang. Setiap musibah sebenarnya ada hikmahnya. Moga kita tergolong dikalangan hambaNya yang mensyukuri ni'matNya.