Saturday, July 11, 2009

Laili Pulang Dari Paris

Hampir 5 hari Laili meninggalkan keluarga, terbang ke Paris, Perancis kerana menghadiri XIXth World Congress of Gerontology and Geriatrics di sana dan turut sama membentangkan hasil penyelidikannya mewakili Monash University. Laili berlepas dari Melbourne Airport menaiki Penerbangan MAS pada petang Isnin lalu. Transit di KLIA kira-kira 2 jam sebelum berlepas ke Charles de Gaulle Airport, Paris.

Laili di sebelah poster kertas kerjanya
AlhamduliLlah, Laili selamat tiba di rumah awal pagi tadi, kira-kira jam 1:30 pagi setelah Penerbangan MAS dari KLIA tertunda waktu berlepasnya kira-kira 4 ½ jam dari waktu asalnya. Namun ada hikmahnya, dapat bersama lebih lama sedikit dengan abah dan emak yang sedia menunggu di sana. Malah sempat keluar makan di luar KLIA.

Setibanya di rumah, anak-anak semuanya sedang tidur. Sememangnya mereka tertunggu-tunggu kepulangan ibu yang dikasihi. Ketika solat Subuh barulah Izzuddin, Hanisah dan Solehah dapat bertemu. Imran yang bangun selepas kami selesai solat, terpana seketika melihat ibunya ada bersama. Agaknya dia ingatkan bermimpi. Apa lagi, terus datang manjanya, seakan tidak ingin berenggang dengan ibunya.

Pandangan Eiffel Tower dari bawah
Selesai solat masing-masing berkerumun di sekeliling ibu mereka mendengar kisahnya di ibu kota Perancis yang tersohor itu terutama ketika waktu terluang selepas konferens sambil membelek-belek cenderahati yang dibawa pulang. Bertalu-talu soalan ditanya bagaikan tidak sabar mendengar setiap cerita dan khabar beritanya. Foto-foto yang diambil ditatapi penuh minat, sekurang-kurangnya dapat sama berkongsi pengalaman yang amat berharga.

Masing-masing menaruh harapan, moga suatu hari nanti kami sekeluarga dapat berkunjung ke sana. Insya Allah. Moga diperkenankan olehNya. Ameen.

No comments: