Thursday, September 22, 2011

Kedondong Picking

Di luar negara khususnya ketika kami bermukim selama 4 tahun di Victoria dan South Australia, aktiviti memetik buah-buahan tempatan adalah antara rutin tahunan kami. Selalunya buah ceri, epal dan strawberi menjadi tumpuan ramai.

Kebanyakan pengusaha ladang buahan berkenaan akan membuka ladang mereka kepada para pengunjung. Lazimnya kadar bayaran masuk tertentu akan dikenakan. Mana-mana buah yang dibawa keluar perlulah dibayar dengan harga per kilogram yang telah ditetapkan.

Berada di ladang, petiklah sebanyak mana yang diinginkan dan makanlah sepuas-puasnya sebanyak mana yang terlarat. Akan tetapi perlu diingat, hanya buah yang diperlukan sahaja dipetik dengan kaedah yang dibenarkan bagi mengelakkan 'pokok merajuk tidak berbuah'.

Jika diperhatikan, tiadalah apa yang istimewanya sangat. Sekiranya nak makan, lebih baik beli di pasar buah sahaja, harganya jauh lebih murah dan banyak pilihannya. Cuma seronoknya dari segi pengalaman, apatah lagi berada di negara orang. Itulah yang mahal harganya.

Di Malaysia, pernah juga kami mendengar kedapatan dusun-dusun tertentu yang menyediakan eko-pelancongan seumpamanya. Buah rambutan, duku, langsat, durian dan manggis antara yang popular. Entahlah ada atau tidak lagi aktiviti seumpamanya.

Ketika bertandang ke rumah seorang sepupu di Bkt. Bangkong baru-baru ini, anak-anak dapat merasai satu pengalaman baru, memetik buah kedondong (kedondong picking) - foto sebelah. Pokoknya sebatang sahaja, tegak berdiri di tepi dapur rumahnya. Buah lonjong kehijauan lebat bergayutan di tangkai.

Bagi anak-anak, inilah pertama kali mereka melihat buah ini. Apatah lagi memetiknya sendiri dari pokok. Dengan berbekalkan pengacip dahan, tangga dan bakul rotan, buah kedondong yang bertangkai dipotong dan dimasukkan ke bakul. Dapatlah kami sekeluarga 2 beg plastik penuh 'buah tangan' untuk dimakan dan dibuat jeruk.

Kepada anak-anak dikisahkan juga cerita anak-anak kampung dahulu yang suka meredah semak dan kebun-kebun. Dipoket seluar/baju sentiasa tersedia ketulan garam. Gunanya untuk dijadikan pencicah ketika bertemu buah kedondong ataupun pucuk jambu ataupun apa sahaja buah/daun kayu yang boleh dimakan.

Kisah di zaman kanak-kanak yang sama tidak kira di mana sahaja. Imbauan nostalgia lama anak kampung yang telah pun hilang ditelan kemodenan.

1 comment:

CT said...

Aduyaiii! bestnya...pengalaman cukup bermakna tu..kita ni pun x penah lg panjat2 amik buah kedondong...bestnya...:)