Monday, July 6, 2009

Berkunjung ke Melbourne Museum

Untuk memenuhi masa senggang anak-anak di musim cuti persekolahan ini, di penghujung minggu baru-baru ini (Sabtu, 04/07/2009), kami sekeluarga sepakat berkunjung ke Melbourne Museum di Melbourne CBD. Sekaligus menonton filem dokumentari Under The Sea 3D yang sedang ditayangkan di IMAX Theatre di tingkat bawahnya. Pilihan yang tepat untuk berjalan makan angin, tambahan pula dalam keadaan cuaca musim sejuk yang tidak menentu.

Melalui jalan-jalan di sekitar Melbourne dan juga di tengah-tengah bandarnya, terpegun pandangan melihat pelbagai bangunan-bangunan lama lagi bersejarah yang antik dan unik tersergam indah di merata tempat. Itulah kelebihan Melbourne CBD, hinggakan bangunan-bangunan baru yang dibina seakan tenggelam dalam deretan bangunan-bangunan lama yang kekal terpelihara.

Bangunan 3 tingkat Melbourne Museum terletak di tengah-tengah Carlton Gardens yang dikelilingi Carlton St, Rathdowne St, Victoria St dan Nicholson St. Bayaran masuknya hanya $8 sahaja untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak. Bersebelahan muzium berdiri megah Royal Exhibition Building dengan rekabentuk kolonial yang kelihatan begitu menarik sekali.

Di dinding-dinding muzium pula terpampang besar lukisan A Day In Pompeii, pameran utama musim sejuk (Melbourne Winter Masterpieces) yang sedang berlangsung di muzium sekarang sehingga 25 Oktober nanti.
Pompeii adalah bandar Roman yang tertimbus akibat letusan Gunung Berapi Vesuvius pada 24 Ogos, 79 AD. Penemuan yang amat menakjubkan, antaranya susuk badan manusia dan haiwan yang telah menjadi batu, bangunan yang masih tegap dan kesan peradaban yang masih lengkap. Teringat akan pembalasan Allah SWT terhadap pengikut-pengikut Nabi Lut yang dilingkupkan bumi akibat penderhakaan mereka. Begitulah ibaratnya.
Kami tidak berkesempatan masuk ke ruang pamerannya, bukan sahaja kesuntukan masa tetapi terdapat bayaran tambahan untuknya, dewasa $20 dan kanak-kanak $12. Untuk menghayati kisahnya, kami dapatkan akhbar, brosur dan buku yang menceritakannya. Itu pun sudah memadai.

Kami tiba di muzium agak lewat, sekitar jam 11:30 pagi. Terkejut kami melihat barisan panjang para pengunjung berbaris untuk membeli tiket masuk. Mungkin juga kerana adanya pameran Pompeii. Membuang masa sahaja kiranya kami turut sama beratur. Terasa sesal pula tidak membelinya secara online, jika tidak, cukup sekadar datang mengambilnya di kaunter hadapan. Terbayang kekecewaan di wajah anak-anak.
Kami terus ke IMAX Theatre. Tayangan dokumentari Under The Sea 3D yang seterusnya jam 2:00 petang. Lambat lagi tapi elok juga jika tiket dibeli lebih awal. Tak sangka pula tiket masuk ke muzium boleh dibeli sekali dengan harga istimewa, $5 sahaja untuk dewasa dan kekal percuma untuk anak-anak. AlhamduliLlah, masing-masing kembali ceria. Cuma harga tiket IMAX agak mahal, $50 untuk keluarga (2 dewasa + 2 kanak-kanak) dan tambahan $10 untuk setiap anak.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Memasuki ruang dalam muzium, rangka ikan paus yang membujur panjang adalah yang pertama ditemui, diikuti ular sawa Malaya (dikeraskan) melingkari di dalam kotak kaca bersebelahannya. Begitu juga pelbagai jenis burung di kotak kaca lain.
Seterusnya kami ke Dinosaur Walk yang amat diminati oleh Imran. Rangka-rangka pelbagai jenis dinosaur, dari melangit tinggi sehinggalah sebesar anak kangaroo diatur rapi berserta penerangan ringkas dunia haiwan pra sejarah ini.
Bergerak ke sebelah kanan, kami tenggelam di dalam dunia haiwan kecil, Bugs Alive sambil mengenali tabiat, sifat dan habitatnya secara dekat, antaranya rama-rama, kupu-kupu, nyamuk, lalat, semut, labah-labah dan alga. Persekitaran yang amat dekat dengan anak-anak.

Ruangan seterusnya adalah berkaitan dengan Rock and Mineral dengan batuan yang pelbagai jenis, warna, bentuk dan asalnya, diikuti dunia awal komputer termasuk komputer terawal di Australia, CSIRAC yang bersaiz gergasi, direka dalam tahun 1946. Life Marine juga terdapat bersebelahannya yang memaparkan teknologi perikanan dan hidupan lautnya. Bagi kanak-kanak bersantai sambil belajar, disediakan Children Gallery di suatu sudut bersebelahan tempat makan. Inilah antara tumpuan Imran dan juga kanak-kanak lain.

Selepas makan dan solat Zohor di bawah pokok di Carlton Gardens, kami terus menuju ke IMAX Theatre. Tayangan Under The Sea 3D selama 40 minit dengan skrin gergasi (32m x 23m) amat menarik sekali, merangkumi lautan di The Great Barrier Reef, Southern Australia, Papua New Guinea dan Indonesia. Berbekalkan cermin mata 3D yang disediakan, hidupannya terasa begitu hidup sekali, seakan berada di sekeliling kita. Terpegun melihat akan keindahan, keanehan dan keunikan dunia dasar laut ciptaanNya. SubhanaLlah.

Seterusnya kami kembali masuk menjelajah dalam muzium. Bermula dengan Discovery Centre (masuk percuma) yang memaparkan inti pati muzium secara ringkas, diikuti ke Forest Gallery dengan pelbagai pokok dan hidupan hutan.
Di tingkat atas, kami ke Melbourne Gallery dengan disambut oleh Phar Lap, kuda lumba yang mengharumkan Melbourne dengan kejaguhannya di awal tahun 1930an. Di ruangan ini juga dipaparkan pelbagai sejarah berkaitan Melbourne khususnya dan Australia amnya.

Bersebelahannya pula terdapat Mind and Body Gallery yang menceritakan tentang struktur setiap anggota badan manusia dengan patung-patung uncensored. Sememangnya perlu disertai sama penjaga untuk memberikan penerangan dan penjelasan. Malah foto juga tidak dibenarkan diambil di ruangan ini.

Ruangan seterusnya adalah Bunjilaka yang memaparkan kebudayaan dan kehidupan orang asli di Australia. Kami tidak sempat masuk meninjau di dalamnya kerana anak-anak telahpun merungut keletihan, tambahan pula telah pun hampir jam 04:00 petang. Kami perlu segera beredar untuk pulang ke rumah.

Walaupun penjelajahan kami agak singkat, namun banyak perkara yang boleh dipelajari. Moga bermanafaat untuk anak-anak dan juga kami yang dewasa.

1 comment:

rezeki said...

Salam,
Tentu anak2 dan kita sendiri seronok apabila berada dalam muzium. Pelbagai perkara boleh dipelajari dan diketahui . Proses pembelajaran yg baik utk anak2.