Thursday, April 30, 2009

Tetamu Malaysia > Abg Salim & Kak Siti

Abang Salim dan isterinya, Kak Siti adalah saudara sepupu Laili di sebelah abah. Telahpun mempunyai cucu sulung dari anak pertamanya, Amy dan baru sahaja menerima menantu perempuan pertama, isteri Boy yang berkahwin beberapa minggu lalu.


Di hadapan rumah sebelum bertolak pulang
Keluarga Abang Salim amat rapat dengan Laili. Ketika bujang, Laili pernah bertugas di Kuala Terengganu dan juga di Bandar Al Muktafibillah Shah, Dungun, manakala keluarga Abang Salim pula menetap di Rantau Petronas, Kerteh.
Begitu juga selepas perkahwinan kami. Ketika itu mereka telahpun berpindah rumah ke Port Dickson. Di rumah merekalah, Nur Solehah yang baru berusia 3 bulan ditinggalkan ketika ibunya berkursus di sana. Itulah antara saudara terdekat yang banyak membantu.

Hari majlis kenduri Boy dilangsungkan pada akhir minggu lalu, malamnya Abang Salim dan Kak Siti berlepas ke Melbourne atas urusan kerja selama seminggu, seterusnya menyambung cuti sehingga semalam. Ketika mereka berangkat ke Melbourne, kami sekeluarga masih lagi di tanah air.

AlhamduliLlah, tengahari Isnin (26/04/09), sehari selepas kembali ke Melbourne, kami menjemput mereka di hotel penginapan, Travelodge Hotel yang terletak berhadapan bangunan Shell di mana Abang Salim berseminar. Sehingga berangkat pulang ke tanah air, mereka bermalam di rumah kami.

Gembiranya hati tidak terkira dapat berjumpa saudara terdekat di perantauan. Cuma rasa terkilan kerana tidak berkesempatan membawa mereka melancung ke tempat-tempat menarik di Melbourne, hatta yang berdekatan dengan Dandenong.
Suasananya agak kurang sesuai dengan hujan kerap turun, angin sejuk menderu dengan suhu sekitar 10 darjah Celcius serta waktu siang yang agak pendek. Tambahan pula anak-anak bersekolah yang perlu dijemput ketika tamat waktu persekolahan.

Mereka hanya dibawa berkunjung ke pusat membeli belah DFO di Morrabbin, Dandenong Plaza, Dandenong Market dan Dandenong Library. Masa terluang yang ada, mereka berdua berjalan-jalan meninjau persekitaran di sekitar rumah dan juga ke masjid yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah.

Jika berpeluang, datanglah di lain ketika terutama di musim panas. Insya Allah banyak tempat yang boleh diterokai dan dijelajahi. Itulah pesan kami sebelum mereka bertolak pulang ke tanah air.

Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah kami. Maaf dipinta kiranya ada cacat cela dan kekurangan di mana-mana, ditambah pula dengan layanan kami yang tidak seberapa. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika. Sampaikan salam pada keluarga di tanah air.

No comments: