Wednesday, April 8, 2009

Kini di Tanah Air

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT, penerbangan MAS MH 148 hampir 8 jam merentasi ruang udara Australia dan Indonesia, selamat mendarat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) kira-kira jam 09:00 malam.

Di Melbourne Airport, menunggu waktu berlepas

Sepanjang penerbangan kerap kali Boeing 777-200 bergegar meredah cuaca yang kurang elok. Juruterbang sering kali meminta penumpang kembali ke tempat duduk. Malah ketika menghampiri KLIA, hampir 10 minit kapal terbang berlegar-legar di ruang udara Melaka menunggu isyarat kebenaran mendarat dari Bilik Kawalan KLIA disebabkan hujan lebat mengaburi penglihatan. Dalam senyap, sentiasa dipanjatkan doa dan pengharapan padaNya, moga kami semua terhindar dari segala bencana dan selamat mendarat. AlhamduliLlah.

Penerbangan hampir 8 jam adalah satu jangkamasa yang lama, namun langsung tidak terasa terutama oleh anak-anak. Dengan setiap orang diperuntukkan LCD sendiri dengan pelbagai pilihan program, masa tidur pun tidak diendahkan. Satu persatu dilayari penuh minat. Filem Madagascar 2, Hannah Montana, Senario dan Toy Story antara yang digemari. Begitu juga pelbagai permainan dan siaran radio termasuk alunan bacaan Quran dan Nasyid tidak dilepaskan peluang.

Replika Mini Zoo di KLIA, sebelum pemeriksaan imigresen di Balai Ketibaan
Setelah selamat mendarat, terasa begitu seronok sekali mendengar ungkapan “Selamat Pulang kepada rakyat Malaysia” dari juruterbang. Terlebih seronok lagi apabila dapat bersua kembali keluarga yang dirindui terutama anak bongsu, Imran yang terus menerpa apabila ternampak kelibat kami melepasi pintu keluar. Berpelukan mereka sesama adik beradik, seakan tidak ingin berenggang. Itulah erti ikatan persaudaraan.

Setiap hari yang berlalu terasa begitu cepat sekali. Masuk hari ini dah pun 4 hari kami di Malaysia. Sempat kami bertemu Atuk Sulaiman di Bkt Bangkong, masih cergas walaupun usianya telahpun mencecah 95 tahun. Bersua juga beberapa orang adik beradik emak mertua berserta keluarga mereka; Cik Amin, Cik Hilal, Cik Kama dan Cik Udin. Dan mulai malam tadi kami mula menziarahi saudara-mara sebelah bapa mertua yang kebanyakannya tinggal di sekitar Lembah Kelang, dimulai dengan Cik Yam. Keluarga mertua ni agak ramai. Adik beradik emak mertua sahaja 10 orang semuanya, begitu juga bapa mertua. Harap-harap kami berkesempatan berjumpa kesemuanya.

Esok kami merancang akan balik ke Terengganu hampir seminggu untuk menziarahi keluarga dan saudara mara di sana pula. Walaupun tidak seramai keluarga mertua, mereka “wajib” dikunjungi, telah menjadi amalan kami kiranya pulang ke Terengganu.

Bersarapan roti canai dan teh tarik
Sebelum pulang ke tanah air, anak-anak telahpun meluahkan keinginan mereka untuk makan itu dan ini. Roti canai, teh tarik, sate dan air batu campur, antara yang selalu disebut-sebut. Walaupun semuanya itu ada di Melbourne tetapi tidak setanding dengan apa yang ada di tanah air. Puas hati mereka apabila berpeluang merasainya. Tidak dilepaskan juga peluang dapat makan pelbagai lagi makanan tempatan dan tradisional yang dirasai akan “kehilangannya”.
Dari segi cuaca, terasa sedikit sebanyak kejutannya. Cuaca di tanah air ketika ini biasanya panas di siang hari dan hujan menjelang petang dan juga malam hari. Panas di tanah air tidak sama seperti di Melbourne. Badan sentiasa berpeluh dan melekit walaupun di luar rumah hujan turun membasahi bumi. Alah bisa tegal biasa, sekejap sahaja dapat menyesuaikan diri.

1 comment:

Anonymous said...

Salam dari Perth,

Selamat kembali. Saya juga sedang menghitung hari untuk kembali ke Malaysia untuk pengumpulan data.

Semoga selamat semuanya.

Syahrul