Sunday, April 19, 2009

Majlis Kesyukuran dan Aqiqah

[Insya Allah koleksi foto akan menyusul kemudian]
Anak kebanggaan ibu ayah, Dahlia Az Zahra Tauhid
Semalam rumah Abah di Hulu Kelang meriah sekali. Khemah dipasang merentangi laman hadapan dengan deretan meja jamuan disusun rapi. Adik beradik Laili seramai 7 orang berserta keluarga kesemuanya berkumpul. Tidak terkecuali sanak-saudara sekitar Lembah Kelang bersama-sama memeriahkannya sedari awal pagi sehinggalah malam hari.
Para jemputan bertali arus datang sambil beramah mesra penuh ceria. Malamnya pula diserikan dengan majlis tahlil dan doa selamat yang dihadiri oleh anak-anak Tahfiz Masjid Al Ridhuan, Hulu Klang.
Sedari tengahari dapur di garaj serta BBQ set sentiasa berkepul-kepul asapnya dengan aroma daging kambing bakar serta ayam yang membangkitkan selera. Di meja buffet pula nasi putih dengan daging kambing , ikan masak taucu, sayur nenas ikan masin dan pecal menambahkan lagi selera. Ada ketikanya tidak menang tangan dibuatnya jika tidak dibantu oleh “penanggah cilik”; Izzuddin, Hanisah dan Solehah serta sepupu-sepupunya yang begitu rajin sekali.
Sebahagian tetamu yang hadir
Begitulah sekali imbas suasana sambutan Majlis Kesyukuran dan Aqiqah untuk Dahlia Az Zahra Tauhid, anak sulung adik ipar, Bakhtiar dan Suraya yang lahir pada awal pagi 04/04/2009 lalu, hari di mana kami berangkat pulang ke tanah air. Tahniah Bat dan Aya. Moga Zahra sentiasa di rahmati Allah dan membahagiakan kedua ibu bapanya. Ameen.
Di samping teman-teman Bat dan Aya, turut serta bapa Aya, Haji Yaacob dari Muar, Johor dan ahli keluarganya. Ahli keluarga sebelah emak dan abah pun tidak kurang ramainya, sekurang-kurangnya inilah peluang untuk bersua muka dengan mereka sejak kami ke Australia di pertengahan tahun 2007 lalu.
Adik beradik lain juga turut menjemput rakan kenalan rapat mereka untuk sama-sama memeriahkannya. Sememangnya ianya telah menjadi kelaziman apabila diadakan sesuatu majlis. Tidak hairanlah majlis ringkas boleh menjadi seumpama majlis perkahwinan, apatah lagi jika diadakan majlis sambutan bersama seperti Rumah Terbuka Hari Raya.
AlhamduliLlah, kami sekeluarga berkesempatan berjumpa dengan rakan-rakan ketika di Melbourne dan kini telahpun kembali ke tanah air, antaranya keluarga Nazar-Norhayati, Nizam-Ruby Jasmin dan Abang Nordin-Kak Siti Hazar. Juga sepupu, anak Ayah Da Terengganu yang baru berkahwin beberapa bulan lalu, Anuar dan isterinya Diana.
Atuk Tauhid dan Atuk Yaacob sedang menggunting rambut Zahra
Malamnya, selepas solat Isyak, anak-anak Tahfiz dan sebilangan jemaah masjid mula memenuhi ruang tamu. Bacaan tahlil dan doa selamat dibawakan oleh guru tahfiz, Ustaz Basri. Diikuti alunan selawat dan salam kepada RasuluLlah SAW dan keluarganya sambil Az Zahra dibawa berkeliling di tengah kelompok jemaah sambil diguntingi rambutnya oleh jemaah dewasa, seorang demi seorang, didahului oleh kedua-dua datuknya, Hj Tauhid dan Hj Yaacob. Seterusnya di sudut tepi, dikerumuni pula oleh nenek-neneknya yang tidak melepaskan peluang yang sama.
Penatnya amat terasa. Selepas berkemas segala kelengkapan, masa telahpun melewati jam 12:00 tengah malam. Kaki terasa teramat lenguh dan sengal. Begitu cepat sekali mata terlelap, sedar-sedar azan Subuh sedang berkemundang.

2 comments:

aya said...

cekap betul abang pidi nih..
kalah wartawan.

penat mengemas tak abes lagi tapi berita tetap keluar juga!

:D

ropidi 'n laili said...

ada masa jalan aja.. bila dah lama nanti ummph-nye hilang pula..8)