Tuesday, April 21, 2009

Berkunjung ke Zoo Negara

Zoo Negara di Hulu Klang letaknya tidak jauh dari rumah emak dan abah, tak sampai pun 1 km jaraknya.
Sejak kembali ke tanah air lebih 2 bulan lalu mengikut ibunya, Imran amat berkeinginan untuk ke sana. Sememangnya Imran amat meminati dunia haiwan, malah mengenali hampir setiap jenis haiwan di seluruh dunia, berpandukan pelbagai buku haiwan yang ditelaahnya saban hari.
Setiap kali melalui hadapan Zoo Negara, pasti diungkitnya, “Bila ayah, Abang Iddin, Kak Chah dan Kak Ah (Solehah) balik (pulang bercuti), Ian (Imran) nak pergi zoo”. Hasratnya tercapai pada petang hujung minggu baru-baru ini (Ahad, 19/04/2009). Walaupun rasa letih dan lenguh kaki dek Majlis Aqiqah sehari sebelumnya masih terasa, digagahi juga untuk memenuhi kehendaknya.
Turut bersama kami adalah sepupu sebaya Imran, Adam serta abang dan kakak-kakaknya; Arif, Ainul dan Aiin yang tinggal di Keramat AU4 serta Karimah dari Kedah. Hampir 5 jam berjalan kaki merayau ke seluruh pelusuk zoo langsung tidak kelihatan rasa penat di wajah mereka terutama Imran. Seronoknya bukan kepalang.

Satu persatu exhibit hidupan air, dunia reptilia, haiwan amfibia, haiwan savana, ape centre, haiwan tropika dan pelbagai lagi dijengah penuh ceria dan bersemangat. Ligat sekali sehinggakan nak mengambil gambar mereka pun amat susah. Di samping dapat berkunjung ke zoo, masing-masing seronok kerana dapat bersama sepupu-sepupu mereka yang telah lama berpisah.
Foto mereka dapat dilihat di ruangan Album Foto Kami atau klik di sini.

Setiap kali berkunjung ke Zoo Negara, biasanya kami melalui pintu utama yang menghadap ke MRR2 yang kini telah berubah wajah, lebih ceria dengan reka bentuk yang lebih menarik di hadapannya. Akan tetapi kali ini kami melalui pintu belakang di Jalan Kemensah.

Lokasi haiwan yang pertama dilawati adalah Akuarium Tunku Abdul Rahman yang telah diubahsuai, laluannya lebih berliku, lebih banyak exhibit hidupan air yang dipamirkan malah lebih bermaklumat dari sebelumnya.

Namun akuarium besar berhadapan amphitheatre amat menyedihkan. Airnya jelas kelihatan kotor berkeladak, malah ikan-ikannya pula tampak kurang bermaya. Teringat akan beberapa akuarium di Australia yang pernah dikunjungi di mana airnya kelihatan begitu jernih dengan ditebati gentian kaca yang bersih berkilat. Begitu juga exhibit penguinnya juga kosong tanpa penghuni, mengecewakan para pengunjung. Mungkin faktor persekitaran dan penyenggaraan menjadi penyebabnya.

Multi Animals Show Amphiteather sememangnya menjadi tumpuan utama pengunjung, bukan hanya kanak-kanak malah para pelancung luar turut sama tertumpu ke situ ketika waktu persembahan.
Gelagat dan kecekapan singa laut yang dikenali sebagai Bad dalam beraksi memukau penonton dan mendapat tepukan gemuruh. Turut sama persembahan ringkas burung nuri dan juga cockatoo. Malangnya lagak bersahaja orang utan, Wira tiada lagi. Tidak pasti kenapa. Begitu juga persembahan burung nuri hanya seekor dan amat ringkas sekali.

Mengambil alih dipertontonkan kecekapan burung cockatoo memagut duit kertas dari tangan pengunjung. Secara peribadi dirasakan kurang sesuai kerana mengambil masa yang agak lama dan seolah-olah dilatih, hanya duit kertas RM 5.00 sahaja diterima. Hampir 20 orang sukarela “bersedekah”. Rasanya cukuplah ditonjolkan kemahirannya hanya seketika tanpa diambil kesempatan berlebihan daripadanya.

Lain-lain haiwan yang dikunjungi tiada bezanya dari yang pernah dilihat sebelumnya. Namun, banyak maklumat dan pengetahuan yang boleh dipelajari. Bukan sahaja anak-anak tetapi di kalangan orang dewasa.

Kami singgah solat Zohor di musolla/surau yang terletak bersebelahan kolam burung, tidak jauh dari kandang zirafah dan gajah. Suraunya amat selesa dengan ruangan solat yang luas beralaskan permaidani. Tempat berwuduk lelaki terletak di luar manakala bagi wanitanya pula terletak di dalam surau. Cuma tidak kelihatan tandas yang bercantum dengannya, terpaksa
Diharapkan ianya dapat dimakmurkan dan tidak berlaku lagi penyalahgunaan seperti diberitakan beberapa tahun lalu. Terlebih baik lagi jika diwar-warkan masuk waktu solat dengan azan, diikuti dengan solat berjemaah. Terlebihlah berkatnya.

No comments: