Friday, April 3, 2009

Cuti Sekolah...Balik Kampung

Cuti Sekolah

Hari ini, Jumaat, 03/04/2009 adalah hari akhir persekolahan Penggal I di Victoria, Australia. Mulai esok para pelajar sekolah rendah dan menengah akan bercuti selama 2 minggu sehingga 19/04/2009. Hari ini mereka berpakaian bebas dan balik awal. Hanisah dan Solehah di Dandenong North Primary School balik jam 02:30 petang, manakala Izzuddin di Dandenong High School pula setengah jam selepasnya.

Sukan Rumah

Menjelang cuti sekolah, anak-anak agak sibuk dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Di Dandenong North Primary School, dua hari lepas (01/04/2009) diadakan House Athletics Competition yang melibatkan para pelajar Grade 3 hingga Grade 6 bertempat di padang sekolah. Kesungguhan jelas kelihatan pada setiap peserta yang bertanding mewakili 4 buah rumah; Leed, Marsh, Verey dan Keys.

Solehah dan Hanisah berada di dalam rumah yang sama, Leed. Solehah yang baru melangkah ke Grade 3 tidak terpilih mewakili pasukannya. Hanisah (Grade 6) pula terpilih dalam acara lari berganti-ganti. Pasukan larinya sekadar di tempat ke-3 sahaja. Tak mengapalah, menang dan kalah adat pertandingan.

Secara keseluruhannya dalam pengumpulan mata, pasukan Leed unggul di tempat pertama, diikuti oleh pasukan Marsh. Berapa matanya? Tak pasti pula kerana tidak mengikuti acara penutupnya yang diadakan di dewan sekolah.

Semalam pula mereka berdua ke Skateworld Frankston bermain roller skating. Hadiah pihak sekolah kepada 2 rumah sukan yang berjaya menduduki tempat pertama dan kedua untuk Penggal I ini iaitu Leed dan Marsh.

Daylight Saving Time Tamat

Awal pagi Ahad ini (05/04/2009) akan berakhir Daylight Saving Time untuk Victoria, kembali kepada waktu normal. Ketika Daylight Saving Time yang bermula menjelang masuknya musim panas sejak hampir 4 bulan lalu, waktu dipercepatkan sejam bagi mengimbangi waktu keluar matahari yang agak awal dan waktu terbenam yang agak lewat.
Bermulanya musim luruh, seterusnya musim sejuk, waktu siangnya semakin pendek, bermakna matahari keluar lebih lewat dan terbenam lebih awal. Sepatutnya masa dikurangkan pula sejam untuk mengimbangi waktu malam yang agak panjang, tetapi tak ada pula... pelik juga..8) agaknya diaorang lebih suka "lagu" tu...

Jika sebelum ini jarak waktu Malaysia dan Victoria berbeza 3 jam lewat, kini kembali kepada biasa, bezanya 2 jam lewat. Maksudnya, jika dahulu jam 09:00 pagi di Malaysia, di Victoria pula jam 12:00 tengahari. Kini, jam 09:00 pagi di Malaysia, jam 11:00 pagi di Victoria.

Balik Kampung

Apabila cuti sekolah, biasanya akan ada rancangan jalan-jalan makan angin untuk kami sekeluarga, samada di sekitar Melbourne mahupun keluar dari Victoria. Kali ini lebih istimewa, balik kampung di Malaysia selama 3 minggu sehingga 25/04/2009. Bertemu keluarga dan sanak saudara. Paling teruja berjumpa dengan ibu Laili dan Imran yang telahpun hampir 2 bulan berada di tanah air.

Nampak gayanya anak-anak kena bercuti tambahan seminggu. Segalanya beres, telahpun dimaklumkan pada guru-guru kelas serta penyelaras rumah.

Insya Allah, petang esok, kira-kira jam 04:00 petang kami akan berlepas pulang ke tanah air menaiki Penerbangan Malaysia (MAS), MH 148. Moga perjalanan kami selamat, pergi dan balik. Ameen.

No comments: