Monday, April 27, 2009

Kembali ke Melbourne

AlhamduliLlah, Boeing 777-200, MH 149 yang kami sekeluarga naiki selamat mendarat di Melbourne Airport, Tullamarrine kira-kira jam 07:05 pagi semalam. Penerbangan hampir 7 ½ jam dari KLIA dipermudahkan Allah. Sesekali terasa gerun juga di hati apabila pesawat bergegar tika dirempuh angin kencang. AlhamduliLlah semuanya selamat.

Pesawat yang mampu memuatkan hingga 282 penumpang banyak tempat duduk yang kosong terutama di bahagian tengah. Mungkin cuti persekolahan telahpun berakhir samada di Malaysia mahupun di Australia.

Menjamu selera sebelum berlepas
Penerbangan MAS sememangnya menyediakan skrin mini individu dengan pelbagai program dan permainan untuk hiburan para penumpangnya. Kebiasaannya anak-anak rela bersengkang mata untuk menonton dan menguji kepintaran dengannya. Namun kali ini mereka hanya menonton satu filem sahaja (samada Bedtime Stories atau Cicakman 2), kemudian terus melelapkan mata. Mungkin kepenatan bergembira dengan sepupu mereka sepanjang hari dan ketika sebelum berlepas.

Kami bertolak dari rumah emak di Kg Bukit Bangkong, berdekatan Sepang kira-kira jam 06:40 petang, dihantar oleh abah dan emak. Di terminal berlepas telah menunggu adik ipar (adik Laili), Eusni (termasuk Opah) dan Nita berserta keluarga. Makan-makan sambil menunggu masuk ke balai berlepas. Seronok sekali melihat anak-anak berkejaran di tapak permainan bersebelahan tempat makan.

Anak-anak bersama sepupu-sepupu mereka
Hati terasa begitu sayu untuk berpisah. Bukan sahaja kami yang dewasa tetapi juga anak-anak. Tangan dilambai disusuli harapan dan doa, Insya Allah ketemu lagi kita di lain ketika. Ameen.

Di Melbourne Airport, Azidah berserta Kak Ruziaton dan Kak Maimunah telahpun menunggu. Tidak lama selepas itu disusuli pula oleh Tengku Rashdan. Mereka datang menjemput kami. Berbanyak terima kasih.
Bersyukur juga kami pemeriksaan kastam juga berjalan lancar. Bagi mengelakkan kemungkinan makanan kering (keropok, kerepek dan bilis) yang dibawa dirampas dek peraturan yang sering tidak dijangka, kami berpecah seolah-olah berlainan keluarga. Hanya kerepek pisang yang dirampas, mungkin kerana namanya "banana". Selebihnya dilepaskan. AlhamduliLlah.

Cuaca di luar lapangan terbang agak sejuk. Ketika mendarat, juruterbang memaklumkan suhunya 7 darjah Celcius. Menurut rakan-rakan yang menjemput, sudah seminggu keadaan seumpamanya berserta angin, hujan dan suhu sekitar 10 darjah Celcius hampir sepanjang hari. Berbeza sekali dengan keadaan cuaca panas di tanah air yang baru ditinggalkan beberapa jam sebelumnya. Begitulah sebahagian fenomena biasa musim luruh di Melbourne.
Setibanya di Dandenong, kami terus ke rumah Lajiman-Suraya, memenuhi jemputan bersarapan pagi. Berbanyak terima kasih pada Lajiman dan Suraya, bukan sahaja kerana juadah pagi yang sedap tetapi tolong menjaga rumah selama kami pulang ke Malaysia.

No comments: