Saturday, April 18, 2009

Seminggu di Terengganu

Seminggu kami di Terengganu (Jumaat, 10/04/2009 – Khamis, 16/04/2009), menziarahi Che’ (ibu) dan ayah serta keluarga dan sanak saudara di Kg. Telok Menara dan sekitarnya.

Pulang Ke Terengganu
Perjalanan kami lancar melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), keluar di Tol Jabor, seterusnya merentasi lebuhraya pendalaman Jerangau-Jabor ke Bukit Payong sebelum melencong masuk ke Jln Pulau Musang-Kuala Bekah menuju Manir dan Telok Menara. Lima hingga enam jam di jalanan tidak terasa lamanya, sementelahan pula hati begitu teruja untuk berjumpa Che’ dan ayah. Terubat segala kerinduan apabila dapat bersua.
Di pertengahan jalan, kami singgah di Al-Muktabillah Shah (AMBS - dulunya dikenali Durian Mas) untuk solat Jumaat di masjid baru yang hampir setahun siap. Ada nostalgia di AMBS ini. Di klinik kerajaan di Bandar AMBS inilah Laili pernah bertugas sebelum dan selepas kami berkahwin, hampir 14 tahun lalu. Banyak perubahan dari segi pembangunan prasarana kiranya ingin dibuat perbandingan. Sudah sepatutnya begitu.
Cuaca
Seronok makan ais krim Malaysia di tangga rumah

Selama seminggu di kampung, cuacanya tidak menentu. Ada hari “panas dering” (panas terik) hingga rimas berpeluh, jirus air di badan terasa begitu nikmat sekali. Ada hari “hujan berik” (hujan berpanjangan) seharian, segala perancangan terpaksa dibatalkan. Jika diikutkan kelazimannya, sekarang ini sepatutnya musim kemarau tetapi itulah realitinya. Kata orang bijak pandai, inilah kesan global warming. Tapi bagi orang kampong, lain pula katanya, agaknya dunia dah di akhir zaman. Ada betulnya...
Juadah Tempatan
Nasi himpit sambal dan keropok lekor
Terengganu sememangnya terkenal dengan makanan tempatan dan tradisional yang pelbagai. AlhamduliLlah dapat kami merasai sebahagiannya walaupun masih banyak lagi yang tidak berkesempatan; antaranya keropok lekor, menganang, rojak katih (kaki lembu), pa, pulut lepa, satar, tapai pulut daun getah, kerepek sagu, roti keramat, nasi impit sambal kelapa dan tepung bungkus. Di mana-mana sahaja ianya mudah diperolehi, malah di kedai runcit ayah pun turut menjualnya, hasil tangan penduduk kampong yang mencari rezeki seringgit dua.
Tapai daun getah dan tepung bungkus
Di pasar-pasar tidak usah disebutlah. Pasar Batu Enam, tidak jauh dari rumah kami adalah salah satu tumpuan utama setiap hari di mana ianya mula dibuka menjelang tengahari sehingga lewat petang. Puluhan jenis juadah tempatan dan tradisional tersusun rapi. Selain daripada juadah di atas; laksam, qasidah, akok, puteri berendam dan bermacam lagi amat menyelerakan sekali, kecur air liur dibuatnya.
Buahan Tempatan
Rambutan sedang berputik
Di belakang rumah kami di kampung di samping pokok-pokok pisang yang memayungi tanah, terdapat juga beberapa pokok buahan, duku dan rambutan sedang galak berputik. Tak pasti samada ianya akan terus kekal sehingga buahnya masak mekar ataupun pecah dan gugur sebelum dapat dirasa hasilnya disebabkan cuaca panas dan hujan tidak menentu. Peliknya, telah ada pokok duku bersebelahan kampung yang telah pun masuk pasaran, maksudnya tidak masak serentak. Dapatlah kami merasanya.
Durian juga serupa, bunga-bunganya sedang berguguran memutih di pangkal menandakan musimnya tidak lama lagi akan tiba. Tapi pokok ini tiada di sekitar rumah kami.
Ziarah
Keluarga Che’ tidak besar. Mereka hanya 6 beradik dan Che’ adalah anak kedua dalam keluarga yang terdiri daripada 2 perempuan dan 4 lelaki. Manakala ayah pula adalah anak tunggal. Setiap kali pulang ke kampung, sememangnya satu kemestian bagi kami untuk menziarahi mereka semua.
Anak-anak bersama sepupunya, Shazni dan Ilhami
Keluarga Ayah Teh, duduknya tidak jauh dari rumah Che’, mewarisi rumah peninggalan Tok Ki Ngah, kini telah dibangunkan rumah baru yang lebih luas dan selesa. Che’ Ngah pula tinggal berdua dengan Ayah Ngah di Padang Machang setelah kesemua anaknya berumah tangga. Tidak jauh dari rumahnya tinggal keluarga Ayah Da di Kg Padang Tengir. Keluarga arwah Ayah Chik pula tinggal di Kg Padang Ujib, bersebelahan Padang Machang. Manakala yang bongsu, keluarga Ayah Su jauh sedikit, bersebelahan Masjid Bukit Payong. Kesemuanya sempat ditemui kecuali Ayah Su dan Che’ Su yang agak sibuk dengan urusan stesyen minyaknya, sekadar berkirim salam melalui telefon.
Imran dan sepupu sebayanya; Amar, Izat, Ilhami dan Amalina
Di samping bertemu sanak saudara, adik beradik sendiri seramai 10 orang tidak terkecuali terutama Kak Long yang tinggal di kuarters kastam di Pengkalan Kubur, Kelantan, pulang ke rumah Che’ setiap minggu atas urusan perniagaan kain bajunya. Rahima pula tinggal bersama Che’ dan ayah berserta Khairi dan Hamdan. Nordin yang baru bekerja di Kelantan juga sempat ditemui. Begitu juga Suhaila yang tinggal di Seberang Takir. Kembar Khairi, Lutfi serta 2 beradik kembar lagi, Rahmah dan Latifah kini bekerja di Kuala Lumpur.
Melancong
Setiap kali balik ke Terengganu, selalu teringin untuk berkunjung ke tempat-tempat tumpuan pelancong. Bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk anak-anak mengenali lebih dekat negeri kelahiran ayahnya. Namun kerap kali tidak kesampaian kerana lebih seronok berada bersama keluarga di rumah ataupun terkejar-kejar untuk habiskan ziarah ke rumah saudara mara.
Lapangan Terbang Sultan Mahmud
Begitu juga kepulangan kali ini. Walaupun begitu, secara tidak langsung ada ketikanya banyak pemerhatian yang membuahkan pengalaman baru. Ketika menyusuri laluan kampong di Kebor Air, terasa amat bertuah sekali dapat menyaksikan segelintir penanam padi mengusahakannya secara tradisional. Mereka membanting padi di kepuk kayu dan menjemurnya di atas tikar mengkuang. Teringat akan pemandangan rutin ketika zaman kanak-kanak dahulu.
Sempat juga kami ke Kompleks Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang baru siap ketika menghantar Laili pulang ke KL. Cantik sekali bangunannya, luar dan dalam dengan senibina dan hiasan bercirikan seni reka tradisional. Kami berhajat juga untuk melawat Taman Tamadun Islam di mana terdapat pelbagai replika masjid terkenal seluruh dunia, disebabkan hujan seharian ianya tidak kesampaian.
Pulang Ke Hulu Kelang
Duku yang dibeli di Ajil
Kami bertolak dari rumah Che’ sekitar jam 10:30 pagi, singgah di Manir untuk membeli keropok lekor. Kebiasaannya kami singgah di Kg Losong yang terkenal dengan deretan kedai keropok di tepian jalannya tetapi iaya tidak menjadi keutamaan kerana masih banyak lokasi yang lebih sedap keropok lekornya. Melalui lebuhraya Jerangau-Jabor, kami singgah di Ajil untuk membeli duku yang dijual di pondok-pondok buah yang berderetan di tepian jalannya.
AlhamduliLlah perjalanan pulang dipermudahkan olehNya walaupun tanpa Laili bersama. Kami singgah di Hentian Gambang (LPT) untuk qadha hajat dan solat jamak dan tiba di Hulu Kelang menjelang masuknya waktu Asar.

No comments: