Monday, February 23, 2009

Kembali ke Tanah Air - Nordin

Awal pagi semalam (22/02/2009), jam 12:45 pagi, kapal terbang MAS selamat berlepas dari Melbourne International Airport di Tullamarine menuju ke KLIA, Malaysia. Antara penumpangnya adalah Abang Nordin dan Kak Siti Hazar berserta 4 orang anaknya. Mereka kembali ke tanah air setelah hampir 4 tahun berada di bumi Australia, khususnya di Dandenong, Victoria.

Lambaian perpisahan
Kini Abang Nordin (Insya Allah) telahpun tamat pengajian peringkat PhD beliau di Monash University dan akan kembali bertugas di Bank Negara Malaysia. Tak lama lagi akan bergelar Dr. Mohd Nordin Assudali. Penat jerih dan pahit maung di sepanjang pengajian kini bertukar kepuasan dan keceriaan berpanjangan.

Teringat akan impian beliau yang begitu tinggi (sering diulang bicara) untuk melihat umat Islam dan etnik Melayu di tanah air saling bertoleransi membangunkan ekonomi mereka secara kolektif atas dasar ukhwah yang sihat. Moga ianya menjadi kenyataan di suatu hari nanti. Ameen.

Kelmarin, rakan-rakan Dandenong serta Noble Park yang berkelapangan membantu keluarga mereka mengemas rumah yang disewa. Perabut, peralatan elektrik dan bahan aksesori yang tidak diperlukan ataupun rosak (hard waste) dikumpulkan di halaman rumah. Pihak Dandenong Council dijadualkan memungutnya pada awal Mac nanti. Manakala kotak dan sampah-sarap lain dimasukkan ke tong sampah sedia ada, selebihnya dibuang ke tempat pembuangan sampah berdekatan.

Kak Siti (baju hijau) tampak sayu untuk berpisah
Petangnya, menjelang waktu Maghrib, rakan-rakan Dandenong-Noble Park beramai-ramai datang ke rumah Huzaizi-Zainah (rumah transit) untuk mengucapkan selamat jalan. Sedih dan pilu untuk berpisah, terutama di kalangan ibu-ibu. Masing-masing kelihatan terharu sekali. Malah ada yang bergenang air mata untuk melepaskannya. Begitulah nilai keakraban sebuah persahabatan dan persaudaraan.

Selepas solat Maghrib, mereka bertolak ke lapangan terbang, diiringi 4 buah kereta, Roslan (bawa keluarga Abg Din), Naza (juga bawa keluarga Abg Din), Huzaizi (bawa barang) dan Lajiman.

Urusan check-in di kaunter Business Class berjalan lancar dengan hampir 20 bagasi didaftarkan (selebihnya dah pun berlepas menaiki kapal laut beberapa hari sebelumnya). Rakan kenalan dari Clayton juga datang untuk mengucapkan selamat jalan antaranya keluarga Hanif, Din Ganu, Anang dan Zul-Nisrin.

Sebahagian rakan-rakan dari Clayton
Menjelang jam 11:00 malam, keluarga Abg Nordin-Kak Siti mula melangkah masuk ke ruang menunggu. Masing-masing bersalaman dan berpelukan seakan tidak sanggup untuk berpisah. Itulah ketentuanNya.

Dua minggu lagi (awal pagi 06/03/2009), keluarga Naza-Yati dari Noble Park pula dijadualkan berangkat pulang ke tanah air.

Insya Allah ketemu kita di kemudian hari. Sampaikan salam kami untuk rakan-rakan lama di tanah air yang ditemui.

2 comments:

ady said...

salam Sdra Ropidi,

Boleh beri emel sdra, ada rakan saya yang akan menyambung pengajian di Melbourne dan sedang mencari orang Melayu di Melbourne yang dapat membantu beliau semasa tiba di sana kelak.Moga Sdra sudi membantu.

saya adalah pembaca blog sdra dan tinggal di Brisbane.Saya mengenali Sdra lewat blog Prof Kamil.

salam.

ropidi 'n laili said...

Salam Sdra Ady

Terima kasih sudi singgah di laman blog saya. Tiada apa yang istimewa, sekadar berkongsi pengalaman dan juga sebagai kenangan selama berada di bumi Melbourne.

Emel saya ropidi567@gmail.com. Insya Allah kami sudi membantu setakat terdaya.