Thursday, September 3, 2009

Sopiyuddin ke Jordan

Muhammad Sopiyuddin Zakaria adalah anak sulung Kak Long dan Abang Ya dari 9 orang adik beradik. Mereka kini tinggal di Kelantan. Juga cucu tertua Cik dan Ayah (dari 20 orang cucu) yang menetap di Terengganu.

Dua hari lepas, Sopi menelefon kami di Melbourne, memaklumkan berita keberangkatannya ke Jordan pada awal minggu hadapan. Permohonannya untuk melanjutkan pengajian di bidang Syariah selama 4 tahun di Mu’tah University telah berjaya. Tahniah Sopi. Gembiranya dia tidak terkira. Begitu juga umi dan walidnya serta seisi keluarganya.

Sebelum ini Sopi pernah mengikuti Program Diploma Tahfiz selama 3 tahun di Darul Quran (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu dan baru sahaja mendaftar masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Syariah. Setelah mendapat tawaran ke Jordan, Sopi berhenti dari USIM. Dirasakan tindakan yang tepat kerana itulah yang diidamkannya selama ini. Bukan bermaksud universiti tempatan tidak berkualiti tetapi peluang yang diperolehi tidak seharusnya dilepaskan, apatah lagi Mu’tah University adalah sebuah universiti terkenal yang telah melahirkan ramai graduan agama dunia termasuk di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Ketika berbual dengan Kak Long, terbayang rasa terkilan di hatinya kerana masih kedapatan masyarakat setempat yang memandang serong pengajian di bidang keagamaan. Terlebih pedih lagi ianya dipertikaikan oleh saudara-mara sendiri. Persoalan mereka, apakah ada peluang kerja apabila tamat nanti? Nampaknya anggapan lama yang bercambah lebih 52 tahun lalu (sebelum merdeka) masih kekal di minda mereka. Kenapa persoalan rezeki Allah di kemudian hari yang dibimbangkan? Apakah kesemua mereka yang belajar di bidang selain agama kini semuanya telah mendapat kerja?

Sesungguhnya mereka yang berfikiran seumpamanya perlu disedarkan. Insya Allah setiap orang telah ditetapkan rezekinya oleh Allah. Usahlah dirisaukan. Malah mereka yang belajar di bidang keagamaan pun telah ramai menjawat jawatan yang baik dan mampu menyara keluarga dengan penuh keselesaan. Sekurang-kurangnya mereka ini mempunyai asas keagamaan yang kukuh dalam membentuk sahsiah diri dan keluarga serta masyarakat.

Sebahagian daripada bangunan Mu'tah University
Yang paling penting bagi setiap penuntut ilmu adalah niat ikhlasnya, belajar kerana Allah SWT, bukannya kerana mengejar kerja, pangkat dan wang ringgit.

Diharapkan Sopiyuddin istiqamah dalam pengajian, berusaha dengan penuh tekun dan sentiasa mengambil peluang menceduk setiap ilmu yang ada. Tempat pengajian hanya sekadar universiti secara lahiriah tetapi universiti sebenar adalah persekitaran dan dunia di luarnya. Saling hubung kait antara keduanya bakal menghasilkan ilmu yang lebih padu dan lebih realistik dengan suasana semasa yang terlalu banyak pancarobanya.

Moga langkah yang diambil bakal membuka luas mata dan minda mereka yang mempunyai anggapan yang kolot itu. TAHNIAH Sopiyuddin. Dari kejauhan didoakan moga Sopiyuddin berjaya. Ameen.

No comments: