Thursday, September 24, 2009

Cuti Sekolah Raya Sakan

Cuti Persekolahan Penggal Ke-3 selama 2 minggu di Victoria, Australia telahpun bermula sejak akhir minggu baru-baru ini sehingga 04/10/2009. Cuti sekolah yang amat bertuah untuk anak-anak kerana bersekali dengan musim perayaan Eid-ul-Fitr. Dengan kata lain, bercuti sambil beraya sakanlah mereka.

Namun bagi ibu bapa yang bekerja mahupun belajar, tiada bezanya sangat. Jika bercuti pun hanya sehari dua sahaja. .Kiranya ingin bercuti lebih panjang, pandai-pandailah mengambil hati majikan ataupun penyelia. Hari Raya di sini bukannya seumpama Hari Krismas yang dibenarkan bercuti panjang. Malah ada sesetengahnya langsung tidak mengetahui tentang hari perayaan umat Islam ini pun walaupun Muslim adalah komuniti beragama yang ketiga besarnya di Australia.

Rumah terbuka Jali-Zai di Hillside (Jali menghadap kamera)
Dengan bersekalinya cuti persekolahan ini, sekurang-kurangnya memudahkan ibu bapa merancang pergerakan berhari raya. Di mana-mana sahaja terdapat jemputan rumah terbuka ataupun meluangkan masa bertamu ke rumah-rumah kenalan di sekitar Melbourne. Saling ziarah menziarahi dengan semangat berhari raya.

Pada hari Isnin, Hari Raya ke-2, kami berkunjung ke rumah baru Jali-Zairiah di Hillside yang terletak bersebelahan Melbourne Airport di Tullamarine. Kedua-duanya adalah warga Melayu Singapura yang telahpun lama bermastautin di Melbourne. Mereka amat baik hati dan sentiasa berusaha mengekalkan perkenalan yang mulai terjalin secara tidak sengaja sejak setahun lepas. Bersungguh-sungguh mereka mengajak dan mengingatkan kami akan jemputan mereka. Segan juga kiranya tidak menerimanya walaupun rumahnya agak jauh, hampir 70 km dari Dandenong.
Seronok sekali dapat bertandang ke rumah mereka, apatah lagi dapat sama berkenal mesra dengan beberapa lagi keluarga Melayu Singapura. Moga perkenalan singkat itu akan terus berkekalan selamanya. Ameen.

Petang semalam, kami memenuhi jemputan Rumah Terbuka Sdr Ghaffar-Mazni di Malvern East, tidak jauh dari Melbourne City. Rumah unit yang didiaminya penuh sesak dengan para tetamu, rakan-taulan rakyat Malaysia terutama sesama belajar.

Anak-anak lelaki pantang nampak padang dan bola, jadi sahaja..
Di samping itu, anak-anak pun mempunyai impian dan perancangan bersama tersendiri. Ketika bersua seperti di Hari Raya, makan-minum bukannya keutamaan. Selepas makan sesuap dua, mereka terus lesap bersama dengan kawan-kawan sebaya. Anak-anak lelaki dengan bolanya, manakala anak-anak perempuan pula duduk bersimpuh sopan berchit-chat di satu sudut lain.

Sesekali mereka bergilir-gilir ber-sleep-over di rumah sesama rakan Dandenong. Malam tadi, Izzuddin tidur di rumah Ashraf Lajiman. Bersamanya Nazhan Hanif dan Suhair Hisham. Di rumah kami pula, rakan Solehah dan Hanisah, Sofea Hisham dan Nadhirah Hanif datang tidur bersama. Keseronokan jelas kelihatan dalam pergaulan mereka. Bergelak ketawa, bergurau senda dan berbual tiada hentinya hingga tidak disedari malam semakin larut. Bangun pagi, semuanya tampak ceria walaupun malamnya tidur lewat. Begitulah anak-anak apabila dapat bersama.
Sleep over... solat berjemaah tidak dilupakan (Nadhirah dan Sofea bersama Solehah dan Hanisah)
Mungkin selepas ini akan banyak lagi perancangan mereka. Biarkanlah, asalkan mereka gembira dan terisi masa cuti mereka dengan perkara yang berfaedah. Cuma pesan kami, jangan lupa mengerjakan solat walau di mana sahaja berada, terutama solat Subuh.

Setiap kali cuti persekolahan, biasanya kami turut sama merancang perjalanan makan angin berkeluarga samada di sekitar Melbourne mahupun melangkaui sempadan Victoria. Pada ketika musim bunga ini, beberapa tempat amat sesuai dan menarik untuk dikunjungi seperti Tessellar Tulip Festival di Silvan, Rhodendoren Garden di Olinda, Umpherstone Sinkhole di Mt Gambier dan banyak lagi.

Insya Allah, pada awal minggu hadapan kami sekeluarga akan ke Tasmania, salah satu negeri di Australia, juga sebuah pulau yang terletak di selatan benua Australia. Moga perjalanan kami nanti sentiasa di dalam pelindungan Allah SWT dan dipermudahkan olehNya dengan kutipan pengalaman yang menggembirakan. Ameen.

No comments: