Saturday, September 26, 2009

Puasa Enam

Puasa enam hari di bulan Syawal, amalan sunnah yang amat dituntut dalam Islam, iringan kepada berpuasa Ramadhan sebulan. Ganjarannya amat istimewa, khusus untuk umat Muhammad SAW.

Dari Abu Ayub Al Ansori r.a., bersabda RasuluLlah SAW mafhumnya, “Barangsiapa berpuasa Ramadhan, diikuti berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setahun penuh” (HR Muslim)

Dari Tsauban r.a. pula, RasuluLlah SAW bersabda, mafhumnya, “Barangsiapa berpuasa enam hari di bulan Syawal selepas Eid-ul-Fitr, maka seumpama berpuasa setahun penuh. Barangsiapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kali gandanya” (HR Ibn Majah)

Perkiraannya, berpuasa 30 hari di bulan Ramadhan, dicampur 6 hari di bulan Syawal berjumlah 36 hari. Digandakan 10 menjadikannya 360 hari, menyamai bilangan hari setahun. Begitulah besarnya anugerah Allah SWT. Hanya 6 hari sahaja setelah berjaya menghabiskan 30 hari di bulan sebelumnya. Amat rugi kiranya tidak direbut.

Untuk mengerjakannya, boleh dilakukan bila-bila masa selagi masih berada di bulan Syawal. Namun terlebih utama (afdhal) dikerjakan secara berturutan bermula pada 2 Syawal (orang kita kata Hari Raya Kedua… ada ke istilah ini dalam Islam?)
Imam Nawawi rahimaLlah berkata: “Afdhalnya berpuasa enam hari berturut-turut selepas Eid-ul-Fitr. Namun jika ada yang berpuasa Syawal dengan tidak berturut-turut atau berpuasa di akhir-akhir bulan, maka dia masih mendapatkan keutamaan puasa Syawal”.
Di dalam masyarakat kita dengan rumah terbukanya di merata tempat dan ceruk menyebabkan perlaksanaan puasa enam sering tertangguh atas alasan “wajib” memenuhi jemputan. Hakikatnya tidak dinafikan tetapi seringkali penangguhan ini berakhir kekecewaan atau perlaksanaan yang memeritkan.

Bukan mengata orang lain tetapi ianya pengalaman diri sendiri terutama ketika di tanah air. Hampir setiap tahun hati bertekad untuk mengerjakannya seawal mungkin, mulai 2 Syawal secara berterusan tetapi sering tidak menjadi. Alasannya sama ditambah pula dengan rasa berat untuk bangun bersahur. Akhirnya di penghujung Syawal barulah terkejar-kejar untuk melakukannya. Adakala sempat adakala tidak. Akhirnya menyesal tak sudah…

Di tahun ini tekadnya sama. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran padaNya kerana diberikan kekuatan dan dipermudahkanNya. Bermula pada hari Isnin, sehari selepas Eid-ul-Fitr, puasa enam terus dimulai. Setiap hari tanpa mengendahkan pelbagai dugaan yang timbul. Akhirnya hari ini berjaya disempurnakan. AlhamduliLlah. Hanya redha Allah SWT diharapkan, moga diterima olehNya. Ameen.

Dalam mengerjakannya, setiap jemputan yang bertali arus masih dipenuhi. Turut sama berbaris dan menyibuk mengambil juadah yang dihidangkan tetapi disuap ke mulut anak bongsu, Imran. Ada ketikanya sempat berbuka di rumah rakan yang menjemput. Adakalanya pula terpaksa mengaku diri berpuasa kerana disedari tuan rumah kita langsung tidak makan. AlhamduliLlah dibekalkan dengan juadah untuk berbuka. Terima kasih.

Bagaimana pula dengan puasa sunat yang lain, terutama Isnin dan Khamis? Mampukah diri ini istiqamah untuk melakukannya setiap minggu? Tepuk dada tanya iman… Segalanya terletak pada diri sendiri.

No comments: