Sunday, September 27, 2009

Persediaan Open House

Pagi ini cuacanya agak sejuk. Hujan renyai-renyai turun , sesekali berserta angin bertiup lembut. Sejuknya amat terasa. Menurut laporan cuaca untuk hari ini, suhunya di sekitar 10 darjah Celcius. Wow... suhu musim sejuk.
Semalam dan beberapa hari sebelumnya pun keadaannya sama juga, Cuma suhunya lebih sedikit sehingga 17 darjah Celcius. Begitulah fenomena cuaca di Melbourne, terkenal dengan ungkapan “4 musim dalam sehari” – ada ketikanya di luar jangkaan.
Melihat cuaca hari ini, amat merisaukan fikiran. Hari ini kami, komuniti Melayu Malaysia di Dandenong akan mengadakan Open House 2009 bertempat di rumah Lajiman-Suraya. Jemputannya rakan-rakan di sekitar Melbourne, dengan jangkaan 400 – 500 orang tetamu.
Persediaannya telah pun dilakukan sejak sebulan lalu dan agihan kerja ditetapkan seminggu sebelum raya. Sumbangan dari rakan-rakan setempat amat membanggakan. 2 ekor lamb untuk BBQ, hampir 2,000 cucuk sate, nasi minyak, kari lamb, ayam masak merah dan sosej adalah antara menu utamanya. Semuanya ada penajanya. Juadah sampingan dari setiap keluarga pun pasti tidak kurang hebatnya, al-maklumlah ramai pakar masakan...8)
Barangan keperluan telah pun disediakan sejak beberapa hari lalu dengan pembahagian tugasan masing-masing. Ada yang ke Asian Groceries, Dandenong Market, Coles, Henry Seafood, Marmara Halal Meat dan pelbagai lagi.
Dan semalam, sehari suntuk kami semua berkampung di rumah Lajiman, ibarat kerja bekwah - gotong royong kahwin di kampung-kampung. Masing-masing dengan tugasan tersendiri; potong bawang, halia, ayam, daging, perut dan pedal-jantung.
Dengan diketuai oleh Sdr Mokhtar (pakar sate), kerja-kerja penyediaan ramuan, perap dan cucuk-mencucuk sate dilakukan terutama oleh kaum bapa dalam suasana menyeronokkan. Pastinya, banyak cerita dan kisah yang dibualkan sambil tangan ligat melakukan kerja. Penuh harmoni dan muhibbah sekali.
Dan pagi ini, kerja masak memasak nasi minyak, penyediaan acar dan lain-lainnya akan dimulakan oleh kaum ibu. Manakala tugasan membakar BBQ lamb, sosej dan sate pula akan dipikul oleh kaum bapa.
Moga majlis Dandenong Open House Raya 2009 pada hari ini berjalan dengan lancar. Cuacanya berubah menjadi terang dan hujannya reda di sepanjang majlis dilangsungkan dari awal tengahari sehingga lewat petang. Dan digerakkan hati setiap para jemputan untuk bertandang.
Ya Allah, permudahkanlah segalanya. Ameen.

No comments: