Thursday, September 10, 2009

Bazaar Ramadhan

Bazaar Ramadhan amat popular di Malaysia. Ianya tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, bermusim hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Kemeriahannya amat terasa, bukan sahaja kepada penjual, terlebih lagi kepada para pengunjungnya.
Bersama Solehah di meja jualan (Foto dari Facebook Haneem Potter..Tk)
Pelbagai makanan dan minuman (juga pakaian) yang bercirikan tradisional Melayu tidak kira asalnya mudah sahaja ditemui. Malah ada yang tidak pernah didengar namanya sebelum ini pun ada dijual. Saban petang lokasi jualan diserbu penuh minat. Inilah masanya untuk mengenali dan menjamah juadah yang dirindui selama ini, terutama kepada anak perantau, jauh daripada keluarga di kampung halaman.

Fenomena seumpamanya dapat juga dirasai oleh anak-anak Malaysia di perantauan Melbourne ini. Jika pada tahun lepas, Bazaar Ramadhan Malaysia berpusat di Malaysia Hall tetapi tahun ini tiada lagi di sana. Dengan inisiatif pelajar sendiri, ianya masih diadakan di kawasan penempatan mereka yang ramai didiami warga Malaysia. Cuma ianya hanya diadakan pada setiap hujung minggu sahaja bertempat di halaman belakang rumah sewa para pelajar secara bergilir-gilir. Apakan daya kerana pada hari-hari lain pembuat makanan dan minuman sibuk dengan pengajian mereka.

Melayan pelanggan ketika bazaar di rumah Azam (Foto dari Facebook Haneem Potter..Tk)
Pada tahun lepas kami membuka gerai dendeng. Pada tahun ini ianya masih diteruskan lagi. Cuma barang jualannya diperluaskan lagi dengan turut disertai sama rakan-rakan sekampung di Dandenong, antaranya Zurida-Hisham, Sham-Hanif dan Suraya-Lajiman. Gerai Dendeng kini telahpun bertukar nama kepada Gerai Dandy. Di samping dendeng, juadah lainnya adalah nasi hujan panas, bubur lambuk, roti jala, dadih, karipap, cucur badak dan kueh-kueh raya.
Lokasi jualan kami adalah di Clayton, kira-kira 15 km dari Dandenong. Di sinilah letaknya Monash University di mana ramai komuniti pelajar Malaysia tinggal di sekitarnya, terutama adik-adik di peringkat under graduate. Mereka ini amat merindui masakan tradisional Melayu.

Selama 2 minggu berjual, sambutannya amat memberangsangkan. Terdapat hampir 10 buah gerai dibuka dengan bermacam jenis makanan dan minuman yang menyelerakan, terlebih lagi di bulan puasa ini. Dua minggu lepas ianya diadakan di rumah Sdr Hanif-Zuraida di Beddoe Ave, diikuti minggu lepas di rumah Sdr Azam dan rakan-rakan bujangnya di Stockdale Ave. Pada minggu ini pula, Insya Allah di rumah Sdr Haidar-Nor, juga di Stockdale Ave.
Di samping barangan jualan kami, turut sama dijual antaranya murtabak, nasi ayam, ikan dan ayam percik, solok lada, rojak buah, kueh ketayap, lompang, vadie, popia dan macam-macam lagi.
Sebahagian penjual dan pengunjung bazaar di rumah Hanif (Foto dari Facebook Haneem Potter..Tk)
Pengunjung yang datang tidak kurang ramainya. Tidak terhad di kalangan pelajar Malaysia dan keluarga mereka sahaja tetapi turut sama dikunjungi oleh rakan-rakan Melayu lain yang menetap di Melbourne.

Kami turut menumpang seronoknya. Bukan sahaja hasil jualan laku habis tetapi sama-sama dapat membeli-belah beberapa juadah yang amat disukai tetapi tidak berkesempatan (atau tidak tahu..8) membuatnya. Begitu juga Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran, masing-masing ada makanan kegemaran mereka yang tersendiri.

Insya Allah, Sabtu ini adalah minggu terakhir Bazaar Ramadhan di Clayton. Minggu selepasnya tiada lagi kerana berkemungkinan Hari Raya Eidil Fitri jatuh pada hari Ahad, 20/09/2009. Masing-masing sibuk pula dengan persediaan menyambut Hari Raya, termasuk mengadakan Rumah Terbuka kepada rakan taulan dan kenalan.

7 comments:

bart said...

dendeng dandenong :)

this year dendeng hulu kelang larat buat 100kg je..pencen dah utk ramadhan tahun nie

ropidi said...

kira ok le tu..

kita orang tak banyak, adalah dlm 30kg. boleh le buat beli kueh raya dan bagi duit raya kat budak berempat tu...8)

liza said said...

mesti resipi turun temurun kan, Kak Kham pun rajin buat dendeng nie, pernah rasa.. sedappppp

ropidi said...

emm..begitulah adanya..8)

kak liza apa kabor la ni? banyak ke persediaan rayanya..? pasti meriah ye raya kat malaysia... rindu nak balik kg.

Liza Said said...

Sihat alhamadullilah, raya kat sini as usual la, shopping baju budak2, shopping kuih, kemas rumah, sibuk pack baju nak balik kampung & termenung nak tinggalkan Ramadhan...this year mixed feeling, MIL side sedih sbb FIL baru passed away last Nov & joy at my side sbb my sister's engagement on 3rd raya. Tu la resam hidup, suka duka kena terima dgn redha..apa2 pun Kak Liza doakan you all di sana senantiasa berbahagia.

Umi @ Puan Nurhidayah Hashim said...

Tak sempat nak ke bazar Kg Dandy laa- sebenarnya teringin nak gi beli dendeng ni.. Hari tu, dendeng Kak Laily bagi Aisyah suka sangat-sangat..hehe.. Selamat hari Raya dari kami sekeluarga di Bundoora untuk En Pidi, kak Laile dan anak-anak. Insya Allah jumpa lagi.
-Hidayah, Aisyah dan Abahnya Hj Fairuz

ropidi said...

Salam,

Jemputlah datang ke rumah raya ni. Jangan lupa datang ke Dandenong Open House Raya pada 27/09/2009.

Salam Eid-ul-Fitr Maaf Zahir Batin untuk Ustzh sekeluarga. Moga dirahmati Allah sentiasa. Ameen.