Tuesday, September 22, 2009

Beraya di Melbourne

Tahun ini merupakan tahun ketiga saya beraya Eid-ul-Fitr di Australia. Laili serta anak-anak pula tahun ke empat. Kali pertama mereka beraya di Adelaide, South Australia ketika Laili mengikuti subcourse di Flinders University pada tahun 2006. Manakala tahun 2007, 2008 dan tahun ini, 2009 kami sekeluarga beraya di Melbourne.
Sebahagian koleksi foto Raya 2009 terdapat di Album Foto Kami : Eid-ul-Fitr 2009 (kiri web) ata klik di sini.
Solat Raya
Kemeriahan beraya di perantauan tidak kurang seronoknya seumpama di tanah air. Malah dirasakan lebih meriah lagi. Bermula daripada malam raya, kami berbuka puasa dan bertakbir raya bersama beberapa keluarga Malaysia. Paginya kami bergegas ke Monash University untuk bersolat sunat bertempat di Sport Centre.
Ruangan dalam dewan penuh sesak dengan muslimin dan muslimat sehingga melimpah keluar dewan. Jemaahnya bukan hanya para pelajar Malaysia berserta keluarga tetapi terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan warna kulit. Bersama bersatu menghadap Allah SWT dalam satu akidah yang sama. Betapa indahnya Islam.
Begitu juga dengan kepelbagaian pakaian tradisional yang dipakai menggambarkan kepelbagaian budaya di Melbourne. Menariknya, pakaian baju Melayu bersamping dan baju kurung mahupun kebaya yang digayakan oleh rakyat Malaysia begitu menyerlah sekali. Bukan sahaja kerana fesyennya yang tersendiri tetapi ceria dan meriah sekali dengan warnanya yang memikat pandangan umum.
Rumah Terbuka @ Clayton
Selesai bersolat serta bersalaman dengan setiap kenalan yang ditemui, kami terus beredar ke Beddoe Ave, Clayton memenuhi jemputan Rumah Terbuka South Eastern Families bertempat di rumah Sdr Hanif-Zuraida.
Pelbagai juadah yang dihidang hasil tangan rakan-rakan Malaysia dijamah penuh berselera. Dengan menu utamanya, sate yang menjadi rebutan ramai, lain-lain juadah tradisonal Melayu seperti laksa Penang, laksa Terengganu, nasi dagang, tapai, soto, lontong dan bermacam-macam lagi tidak kurang hebatnya. Berpinar mata dibuatnya, terasa semuanya ingin dimakan... 8)
Singgah Menyinggah Hari Raya
Menjelangnya Hari Raya, komuniti Dandy Group bersepakat untuk meneruskan tradisi Singgah Menyinggah Hari Raya di kalangan ahli yang berbesar hati menerima tetamu.
Ahli konvoi pada kali ini terdiri daripada 10 buah kereta; keluarga Wafir-Suharti, Dr Abd Manaf-Dr Siti Aminah, Hisham-Zurida, Lajiman-Suraya, Hanif-Sham, Tg Rashdan-Azura-Syahril-Maizatul, Dr Faizal-Dr Rahana, Dr Zamberi-Dr Harlina, Rashdan-Rohani dan kami sekeluarga berserta Azidah.
Dari Clayton, konvoi Dandy Group mula bergerak ke rumah singgahan pertama , rumah Dr Zamberi-Dr Harlina di Blackburn South. Mee Tom Yam dan kueh keria antara yang menjadi tarikan utama.
Seterusnya konvoi bergerak ke Dandenong, ke rumah Hisham-Zurida di Olive St. Rumah terbuka yang dikongsi bersama keluarga Lajiman-Suraya dan keluarga Hanif-Sham tidak kalah dengan juadah yang begitu enak sekali, antaranya Mee Hoon Sup, Pulut Kuning dan Cendol.
Destinasi berikutnya adalah rumah Dr Abd Manaf-Dr Siti Aminah di Margaret Ct. Seronoknya, Dr Abd Manaf dan anak perempuannya baru beberapa hari tiba dari Malaysia semata-mata untuk beraya bersama keluarga yang lain di Dandenong. Hidangan utama mereka adalah pulut kuning dan pizza.
Dari Margaret Ct, kami menuju ke rumah Wafir-Suharti di Menzies Ave. Setiap tahun, yang pasti juadah yang tidak pernah ketinggalan adalah pulut durian. Peluang yang tidak patut dilepaskan. Sekurang-kurangnya hilang rindu kepada pesta durian di tanah air.
Melewati waktu Asar, konvoi bergerak ke rumah singgahan terakhir iaitu rumah kami. Ianya diadakan secara berkongsi bersama-sama dengan Azidah, Tg Rashdan-Azura dan Syahril-Maizatul. Makanan yang dihidangkan antaranya laksa Terengganu, nasi dagang, nasi impit, dendeng dan spaghetti. Hampir kesemuanya kelihatan sudah kepenatan dan ‘mengah’ dan ‘semput’ dek kekenyangan. Namun AlhamduliLlah, masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menjamah seadanya.
Dengan ruang waktu yang ada, kami sempat duduk bersama berbincang perancangan terakhir kami untuk Majlis Rumah Terbuka Raya Dandenong 2009 yang bakal diadakan pada 27/09/2009 nanti.
Umumnya, program beraya yang diadakan benar-benar dapat mempereratkan silaturrahim sesama kami. Dapat saling kenal mengenali antara satu sama lain terutama di kalangan ahli yang baru menyertai Dandy Group seperti keluarga Dr Faizal-Dr Rahana, Syahril-Maizatul dan Hisham-Zurida. Bukan sahaja bagi ibu bapa tetapi juga anak-anak yang begitu cepat sekali mesranya. Setiap rumah yang disinggahi terlebih lagi yang mempunyai ruang untuk bermain, mereka tidak melepaskan peluang untuk bermain. Begitulah anak-anak, makan-minum tolak ke tepi, asalkan dapat bermain...
Diharapkan ikatan ukhwah yang sedia terjalin akan terus berkekalan selamanya, tidak hanya ketika berada di perantauan tetapi berterusan apabila masing-masing pulang ke tanah air nanti. Insya Allah.
Malamnya kami semua tidur kepenatan. Selepas Isyak sahaja masing-masing terus mencari bantal dan selimut. Tidur lena hingga ke Subuh menyapa di keesokan harinya.

2 comments:

Anonymous said...

best dpt beraya diperantauan. lain suasana dan pengalaman.. siapa nak cube boleh s hubungi mahira holiday homes and car rental pty ltd (AUSTRALIA). mereka ada 6 buah bungalow holiday yang disewakan kpd org islam seluruh dunia. subhanaAllah facility yg disediakan amat lah baik dan puas hati. rate mereka memang competatitve. owner memang sgt baik dan helpful. servis memang yg terbaik. saya juga pernah baca ramai org comment tentang mahira holiday homes and semuanya pujian dan komen positive. mereka sgt menitikberatkan service yg baik. memang thumb up. rumah2 mereka semua sgt selesa dan dilengakapi dengan segala2 termasuk mesin basuh dan dapur. thn lepas saya ada cuba mengikut trip yg dianjurkan mereka ke NZ. wahh memang terbaikkkk.. tak rushing dan tempat penginapan , mknan semua berbaloi dengan harga yg dicaj. saya memang rekomen mereka kpd sesiapa yg mahu ke perth dan NZ. anak owner ada disini +60123360098 boleh call dan tanya. try lahhh.. memang best beraya di perth. mereka siapkan pakej ikut sembahyang terawih, sambut raya dan mcm mcm lg :)

Unknown said...

As salam, im trying to locate saudara Wafir, my golf buddy during 2009-2010. Tq. Adam