Wednesday, August 5, 2009

Rumah Kami Rumah Sewa

Rumah sewa di Australia, khususnya di Melbourne biasanya diuruskan oleh real estate agent yang dilantik oleh pemilik rumah. Umumnya ia merangkumi proses pengiklanan, lawatan pemeriksaan, penandatanganan kontrak, pemeriksaan berkala dan pembaikan kerosakan yang dilaporkan. Hanya segelintir sahaja yang diuruskan sendiri oleh pemilik rumah.

Pemandangan hadapan rumah 2 tahun lepas, sama juga suasananya kini

Bagi kami, ianya sedikit berbeza. Pencarian penyewa dilakukan oleh agen sehinggalah kontrak pertama ditandatangani. Proses seterusnya termasuk pembaikan kerosakan dan pembaharuan kontrak tahunan dilakukan secara langsung dengan pemilik rumah kami, pasangan muda Greek yang amat baik hati dan prihatin; Anastasious dan Kristali Strydis.

Sehingga kini telahpun hampir 2 tahun kami menetap di rumah sewa mereka yang terletak di tepi Heatherton Rd, Dandenong North ini. Hampir setiap tahun pada awal Ogos, mereka bertandang ke rumah kami untuk menandatangani kontrak baru untuk setahun berikutnya.

Sesuatu yang kurang seronok bagi penyewa rumah, biasanya pembaharuan kontrak berserta dengan kenaikan sewa rumah. Pada tahun lepas, sewa rumah kami naik $15.00 seminggu, menjadikan peningkatan sewa bulanannya kepada $1,191.00. Sesuatu yang sudah dijangkakan kerana hampir kesemua penyewa lain mengalami situasi yang sama, malah ada yang lebih tinggi lagi. Pembukaan lebuhraya bertol kedua di Melbourne, Eastlink yang merintangi Dandenong antara penyebab utama kenaikan nilai hartanah (termasuk sewa) di sekitarnya.

Bersama Kristy dan Tas ketika Rumah Terbuka Raya 2007
Pembaharuan kontrak tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan telahpun ditandatangani bersama pada hari Sabtu baru-baru ini. AlhamduliLlah tiada sebarang kenaikan sewa, kekal pada kadar sama. Telah juga dipersetujui, kontrak penyambungan sewaan selepas ianya tamat akan dilakukan secara bulanan (kiranya pengajian Laili belum selesai) sehinggalah kami berangkat pulang ke tanah air. Terima kasih Tas dan Kristy.

Jika pada tahun lepas, Tas dan Kristy hanya datang berdua, namun pada tahun ini mereka bertiga, bersama anak sulung mereka yang comel, Annabelle yang baru berusia 7 bulan. Terlupa pula untuk rakamkan foto terbaru mereka. Mungkinkah pada tahun hadapan mereka datang berempat pula? Ketika rancak berbual, Kristy ada membayangkannya, malah turut meminta pandangan Laili mengenainya. Pasti sahaja jawabannya positif dan sambutannya juga positif. Moga tercapai hajat mereka berdua. Alangkah baiknya jika ada nanti yang menerima Islam sebagai anutan mereka. Siapa tahu? Ameen.

2 comments:

rezeki said...

Salam,
semoga usaha yg baik mencapai matlamatnya dan menjadikan islam sebagai agama anutan baru mereka .

- selamat menyambut 15 syaaban

ropidi 'n laili said...

Ameen.