Tuesday, August 25, 2009

Bermain Salji di Mt. Buller

[Maaf, foto tidak dapat diupload]
Bermain salji adalah antara agenda utama keluarga Eusni-Fahimey ketika bercuti di Melbourne. Sememangnya sengaja dipilih percutian mereka ke sini dalam musim sejuk. Ada kelainan daripada suasana panas yang biasa dialami ketika di Malaysia, secara tidak langsung memberi pengalaman baru kepada mereka terutama anak-anak yang paling teruja mengenainya.

Cadangan awal kami untuk membawa mereka bermain salji ke Lake Mountain yang terletak kira-kira 100 km sahaja dari rumah kami. Akan tetapi keadaannya amat menyedihkan, saljinya amat nipis dan adakala hanya bertompok-tompok di sana-sini. Kasihan Lake Mountain, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah hampir keseluruhan kawasannya hangus terbakar ketika kebakaran besar (inferno), Black Saturday pada awal Februari lalu, kini saljinya pula bagaikan segan untuk turun. Itulah ketentuan Allah SWT. Ada pelajaran dan pengajarannya…

Pagi Jumaat (14/08/2009) kami membuat keputusan drastik, baik ke Mt. Buller sahaja, laporan saljinya amat memberangsangkan. Biar puas hati mereka sekeluarga dan tercapai hasrat di hati untuk berguling bergolek di atas hamparan salji memutih. Mt. Buller, lokasinya jauh sedikit, kira-kira 230 km dari Dandenong. Kami perlu bertolak selepas anak-anak pulang dari sekolah, sekitar jam 04:30 petang dan bermalam di Alexandra.

AlhamduliLlah, kami tiba di Alexandra Motel Inn sekitar jam 07:30 malam setelah merentasi Maroondah Hwy yang ada ketikanya berliku-liku dalam kelam malam dengan deretan kereta yang panjang mengekori di belakang, dirasakan amat mencabar sekali.

Pagi Sabtu , keluar dari motel, kami terus bertolak ke Mt. Buller yang letaknya kira-kira 130 km. Di Mansfield, kami singgah menyewa toboggan slide serta snow pants dan snow boots di SCM Discount Ski Hire. Ramai betul pelanggannya, kebanyakkannya menyewa peralatan ski. Berdasarkan pengalaman ke Mt. Buller sebelum ini, didapati harganya lebih rendah daripada pesaingnya. Agaknya, itulah tarikannya.

Perjalanan mendaki sehingga ke Horse Hill Car Park bergerak lancar. Hampir kesemua tempat letak keretanya penuh. Cuacanya panas dan kurang terasa sejuknya. Tompokan saljinya kelihatan di merata-rata tempat. Lapisan salji di Toboggan Area-nya juga nipis, tampak jelas lapisan tanah di bawahnya tapi masih boleh untuk bermain slide. Seronok sekali anak-anak apabila dapat bermain bersama walaupun pada awalnya ada yang terasa gerun untuk mengelungsur laju ke bawah.

Dalam keghairahan mengambil foto mereka, tiba-tiba kaki saya tergelincir dan badan terhempap ke tanah. Terasa kelam seketika dunia. AlhamduliLlah hanya sedikit sahaja cederanya. Kamera di tangan tercampak, langsung tidak berfungsi lagi. Bernasib baik ada kamera Laili, masih boleh dirakamkan foto mereka.

Dari Horse Hill, kami menaiki chairlift berbayar ke puncak Mt. Buller di Spurs. Meninjau pemandangan di bawah dari chairlift, sesekali terasa gayat juga di hati. Tompokan salji di celah-celah kehijauan pokok di sekitarnya kelihatan cantik sekali.

Di Spurs, hamparan salji tebal memutih memenuhi keseluruhan kawasan, memukau pandangan. Di sesetengah tempat, kaki terjerlus tanpa disedari. Sejuknya lebih terasa berbanding ketika di Horse Hill. Suasananya tidaklah sesibuk di Blue Bullet bersebelahan Village Centre yang pernah dikunjungi dahulu, amat sesuai untuk berekreasi bersama keluarga.

Keseronokan anak-anak tiada taranya. Snow ball dibaling sesama sendiri, snow castle dibina di sana-sini, snow man juga tidak terkecuali. Adakala berguling-guling mereka penuh gembira. Di kesempatan yang ada, tidak dilepaskan peluang bermain snow tube (percuma) menuruni cerun bersilih ganti. Main… Main…. Main… tiada siapa yang melarang, malah disuruh lagi adalah…8) Langsung tidak dihiraukan kesejukan yang mula menyengat dek ais membasahi stoking dan sarung tangan serta pakaian.

Sebelum bertolak pulang, kami bersolat jamak qasar dahulu di Spurs. Wuduk diambil menggunakan air salji dan hamparan salji menjadi sejadahnya. Pengalaman yang amat berguna terutama kepada anak-anak.

Kami bertolak turun sekitar jam 03:45 petang. Singgah di Mansfield untuk menghantar barangan sewa, seterusnya meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. Sebelum tiba di rumah, kami melencung ke masjid (Isomer Islamic Society) di Wellington Rd, Lysterfield untuk solat jamak. AlhamduliLlah… selamat tiba di rumah kira-kira jam 08:15 malam dalam keadaan angin bertiup kencang.

Malah semalaman sehingga ke keesokan harinya tiupan angin kencangnya masih belum berhenti. Suasana yang amat membimbangkan untuk misi kami seterusnya, ke Phillip Island pula.

No comments: