Wednesday, August 26, 2009

Berkunjung ke Phillip Island

Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.
Pada malam Ahad (15/08/2009), semalaman angin bertiup kencang berterusan sehingga ke pagi. Diikuti pula dengan hujan lebat turun berlarutan, tiada tanda ianya akan berhenti. Masing-masing merenung penuh gundah kerana kami merancang untuk bertolak ke Phillip Island pada paginya, bersama-sama dengan keluarga Eus-Fahimey.

Menghampiri tengahari, hujan masih lagi turun; lebat dan renyai bersilih ganti berserta angin yang adakalanya bertiup kencang. Rancangan telahpun diatur, baik diteruskan sahaja. Anggaplah ianya hujan rahmat, kurniaan dari Allah SWT setelah setiap hari perjalanan mereka selama seminggu sentiasa diiringi cuaca yang baik sekali. Kami menaruh harapan moga hujan berhenti ketika berada di Phillip Island. Ameen.

Phillip Island letaknya kira-kira 100 km dari Dandenong, satu jarak melebihi 2 marhalah yang membolehkan kami untuk bersolat jamak. Perjalanan kami melalui South Gippsland Hwy lancar meredah hujan yang berterusan turun. Melewati jam 12:00 tengahari, kami tiba di Phillip Island, berhenti seketika berhadapan jeti Marine Parade berhadapan The Narrows Bridge di San Remo untuk melihat sesi memberi makan burung pelican tetapi terlepas, sedikit terlewat dari masa yang ditetapkan. Cukuplah sekadar melihat burung berkenaan secara dekat, sekurang-kurangnya mengenalkan anak-anak dengannya.

A Maze'N Things
Melintasi The Narrows, kami singgah di Information Centre di New Haven untuk membeli cenderahati. Hajat kami untuk terus ke Wildlife Park terpaksa ditangguhkan kerana hujan masih lagi turun. Ada baiknya pergi ke kawasan tertutup dahulu dan pilihan kami adalah ke A Maze‘N Things. Pelbagai permainan menguji minda seperti puzzles, optical illusions dan maze yang ada benar-benar menenggelamkan kami semua dalam keasyikan sehingga tidak menyedari masa begitu pantas sekali berlalu.

Bersebelahan bangunan utama A Maze’N Things terdapat tempat rehat bertutup. Di situlah kami menjamu selera dengan bekal yang dibawa sambil menunaikan solat jamak. AlhamduliLlah.

Phillip Island Wildlife Park
Seterusnya kami ke Phillip Island Wildlife Park. Difahamkan para pengunjung dibenarkan memberi makan kangaroo dengan tangan sambil dikelilingi oleh haiwan berkenaan. Itulah tujuan kami, untuk memberi peluang keluarga ipar merasai pengalaman menarik yang hanya ada di bumi Australia.

Tidak mengecewakan, terdapat puluhan red dan grey kangaroo serta wallaby (kecil sedikit dari grey kangaroo) dilepas bebas di serata ceruk taman. Geli geleman terasa tapak tangan apabila lidah kangaroo yang kesat dibasahi air liurnya menjilat makanan yang disuakan. Anak-anak Eus-Fahimey; Ainul, Aiin, Arif dan Adam pada mulanya takut-takut, akhirnya merasa begitu seronok sekali. Mungkin mendapat suntikan keyakinan apabila melihat Izzuddin dan Hanisah yang telah biasa melakukannya sebelum ini. Bekalan makanan yang dibeli di kaunter tiket ketika masuk sekejap sahaja habis.

Ketika berada di taman, hujan renyai-renyai sesekali sahaja turun, memberi peluang kami menjelajah hampir ke seluruh kawasan. Najis kangaroo dan lain-lain haiwan yang dilepas bebas kelihatan bertaburan di merata tempat. Dengan keadaan tanah dan rumput yang basah, menyebabkan tapak kasut mudah sahaja dipalitinya. Sebelum keluar terpaksalah dikesat/ disental pada rumput.

Lain-lain haiwan di dalamnya tidak kurang menariknya; antaranya black swan dan emu yang dilepas bebas. Cockatoo, helang, tasmanian devil, dingo, koala dan quoil yang diletakkan di dalam sarang/ kandang. Begitu juga wombat yang biasanya lembab, aktif sekali bergerak di dalam kandangnya. Tidak terkecuali haiwan reptilia seperti ular yang diletakkan dalam petak kaca.
Walaupun haiwan di Phillip Island Wildlife Park ini tidaklah sebanyak di zoo atau wildlife park lain, namun dirasakan amat berbaloi untuk dikunjungi. Tiket masuknya juga tidaklah mahal sangat, sekitar $12.00 sahaja untuk dewasa. Akan tetapi amat menghairankan kerana ianya tidak dipromosikan di dalam makalah pelancongan Phillip Island.

Penguin Parade
Ketika matahari mula terbenam di ufuk barat dengan cahaya merah kekuningan melingkungi kaki langit, kami bergegas menuju ke Penguin Parade. Tumpuannya adalah little penguin berarak naik berderetan dari gigi laut menuju ke sarang di pinggir daratan tika siang berganti malam. Keluarga Eus-Fahimey masuk ke dalam, keluarga kami pula berangkat pulang. Dahulu kami telah pun pernah ke sana. Cukuplah sekali. Suhu persekitarannya agak sejuk dengan tiupan angin laut dan gerimis hujan yang masih turun.

Menghampiri Frankston, kami melencong ke sana, singgah sebentar di rumah Azidah untuk solat jamak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. Tidak lama selepasnya, keluarga Eus-Fahimey pula sampai. AlhamduliLlah semuanya selamat.

2 comments:

rezeki said...

Salam Ropidi dan keluarga
bagaimana ssambutan ramadhan di sana ?

ropidi said...

Salam,

AlhamduliLlah, semuanya berjalan lancar. Dengan cuaca sejuk, kurang terasa dahaganya. Masjidnya juga meriah dengan solat Tarawikh-Witir. Bazaar Ramadhan Malaysia pun ada di setiap hujung minggu.