Thursday, August 6, 2009

TAHNIAH Ustaz Razak

TAHNIAH Ustaz (Dr) Muhammad Razak Idris yang terpilih sebagai Presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang baru untuk tempoh 2009 – 2011. Berikut sebahagian kenyataan akhbar bertarikh 04/08/2009, kutipan daripada laman web rasmi ABIM Pusat, http://www.abim.org.my/.
Bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM yang ke-38 di Dewan Besar, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jama’ah (SAMTTAJ), Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, telah menyaksikan pertukaran kepimpinan ABIM untuk sessi pimpinan 2009 sehingga 2011.
Muktamar ABIM telah sebulat suara memilih Muhamad Razak Idris sebagai presiden. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ustaz Razak yang saya kenali amat humble orangnya. Amat mudah didekati, senang membantu dan sentiasa terbuka dalam berinteraksi. Beliau baru sahaja menamatkan pengajian peringkat PhD-nya di The University of Melbourne dan telah kembali ke tanah air beberapa minggu lalu. Tidak disangka begitu cepat sekali beliau melangkah ke atas. Benarlah bak kata bidalan; tuah ayam nampak pada tajinya, tuah manusia siapa yang tahu.
Bersama Dr. Nordin Assudali ketika Open House Raya Dandenong pada tahun 2007
Selama di Melbourne, Ustaz Razak amat aktif dalam program-program kemasyarakatan terutama melibatkan kebajikan komuniti Islam dan pendidikan keinsanan Islam di kalangan keluarga Malaysia di sini.
Badan Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Insan (EHSAN) adalah antara organisasi yang diterajuinya. Pada masa yang sama bergerak aktif dalam Victoria Malaysian Post Graduate Association (VMPGA) dan beberapa badan kebajikan dan perkumpulan setempat.
Didoakan moga Ustaz terus istiqamah dalam perjuangan bersama barisan kepimpinan baru. Terus-terusan mengorak langkah menegakkan kebenaran dan keadilan berteraskan Islam. Sekaligus memacu ummah terutama di kalangan belia yang kental dan mantap jiwa keislamannya sebagai pelapis kepimpinan negara di masa hadapan. Selamat berjuang Ustaz.

No comments: