Wednesday, August 12, 2009

Tetamu Malaysia - Famili Ipar

Selepas solat Subuh pada pagi Ahad (09/08/2009), saya terus bergerak menuju ke Melbourne Airport. Perjalanan di pagi minggu melalui Monash Freeway (M1) lancar, tiada traffic jam di mana-mana. Cuma laluan terowongnya ditutup. Laluan alternatif di pinggir M1 berliku, ke kiri dan ke kanan bersilih ganti. Nasib baik GPS dibawa bersama, jika tidak, entahlah… kerana laluannya tidak pernah dilalui. AlhamduliLlah.

Penerbangan MAS dari KLIA yang dinaiki keluarga adik ipar, Eusni Rahayu berserta suami, Mohd Fahimey dan anak-anak; Ainul Farhah, Aiin Farhani, Muhd Arif Farhan dan Muhd Adam Haliq mendarat sekitar jam 07:00 pagi. AlhamduliLlah setibanya di kawasan menunggu, kelihatan mereka berjalan keluar dari pintu Ketibaan. Perubahan cuaca dari panas di Kuala Lumpur kepada sejuk di Melbourne sedikit sebanyak memberikan kejutan tetapi mereka telahpun bersedia dengannya.

Menurut ibu mereka, perkara pertama yang ditanya oleh Arif dan Adam adalah mana saljinya. Teruja betul mereka untuk bermain salji. Harap-harap tercapai impian mereka kerana tahun ini salji di Lake Mountain, kawasan rekreasi salji yang paling hampir dengan Dandenong kurang menjadi. Moga dimakbulkan Allah. Ameen.

Kunjungan mereka ke Melbourne sememangnya ditunggu-tunggu oleh anak-anak kami, sepupu mereka yang sebaya. Masing-masing ada pasangannya. Ainul dengan Hanisah, Aiin dengan Solehah, Arif dengan Izzuddin dan Adam pula kamcing (rapat) dengan Imran. Eloklah tu…

Sepanjang hari di rumah, masih jelas kelihatan rona mengantuk, pening dan keletihan di wajah mereka, kesan dari 8 jam di udara. Namun masing-masing seakan sayang untuk tidur kerana seronok dapat bersama. Suhu sejuk di luar rumah tidak dihiraukan. Sempat lagi mereka bermain berkejaran dan bermain selut di laman belakang. Katanya di Malaysia tidak berpeluang bermain selut…8) Petangnya mereka dibawa berjalan-jalan di sekitar bandar Dandenong dan juga ke Dandenong Plaza. Pantang berjumpa kawasan lapang, berkejaran lagi mereka hingga kepenatan.

Menjelang tengahari keesokan harinya (Isnin, 10/08/2009), menaiki Toyota Tarago (sewaan dari Hertz), mereka bertolak ke Port Campbell menyusuri Great Ocean Road yang indah dengan panorama pantai yang mengunjur sejauh ratusan kilometer sambil melihat batuan pinggir lautnya yang unik dan mempunyai sejarah tersendiri. Seterusnya bergerak pula ke Mt. Gambier di mana terletaknya Blue Lake, Sinkhole dan gua bawah tanah pada hari berikutnya sebelum bermalam di Hamilton. Pada hari Khamis pula mereka akan ke Ballarat untuk mengimbau suasana perlombongan emas seawal tahun 1850an, seterusnya kembali semula ke Dandenong.

Di penghujung minggu ini kami merancang untuk bermain salji di kawasan tanah tinggi dan juga ke Phillip Island untuk melihat deretan little penguin naik ke sarang serta merasai pengalaman kangaroo menjilat makanan dari tangan di Wildlife Park. Beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Malaysia (Khamis, 20/08/2009), mereka disarankan untuk berjalan-jalan di sekitar Melbourne.

Diharapkan mereka bergembira sepanjang percutian mereka dan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kekuatan. Juga tercapai hendaknya segala impian, harapan dan perancangan mereka dengan membawa kenangan nan indah pulang ke tanah air. Ameen.

5 comments:

bart said...

bnyk plan tu...kitorg pun plan jalan weeeknd nie..ehheheh

ropidi 'n laili said...

sorry.. terlewat bg feedback... tak sempat nak buka komputer pun.. 8).

mlm ni diaorg berangkat pulang.

rezeki said...

Salam,
Selamat menyambut bulan ramadhan al mubarak. semoga kehidupan kita sentiasa di bawah perlindungan dan kerahmatan ALLAH S.W.T

ropidi 'n laili said...

Salam,
Juga dari saya sekeluarga. Redha Allah amat diharapkan. Moga dipermudahkanNya. Ameen.

Unknown said...

Salam Abg Pidi & K Eley,
Alhamdulillah,perjalanan yang dirancang menjadi. Syukur kepadaNya kerana diberi peluang menghayati keindahan ciptaanNya dari pesisir pantai ke pelbagai formasi batu kapur,imbas kembali ke kurun 18 serta kedinginan yang mencengkam. Segalanya terpahat dalam memori dan semoga pengalaman ini mendidik anak-anak supaya sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmatNya.