Tuesday, August 11, 2009

Makan2 Menjelang Ramadhan

Selepas majlis Pot Luck Dandenong yang diadakan di rumah Tg. Rashdan-Azura 2 minggu lalu, ada yang merancang untuk berjumpa lagi sebelum tibanya bulan Ramadhan kira-kira 2 minggu lagi.
Uji bersama bersama suaminya, Peter dan mertuanya
Awal-awal lagi Uji (Rozlawati) yang tinggal di 8, Caroline St, Dandenong bersetuju menjadi hos. Sebenarnya telah lama Uji berserta suaminya, Peter Scully (Aussie) berhajat menjemput rakan-rakan di sekitar Dandenong untuk bertandang ke rumahnya.

Pada hujung minggu baru-baru ini (Sabtu, 08/08/2009), impian Uji menjadi kenyataan. Cuaca pada hari berkenaan amat baik sekali, panas dari pagi hinggalah ke petang. AlhamduliLlah.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Menjelang Ramadhan) atau klik di sini.

Majlisnya bermula kira-kira jam 1:00 tengahari, memberi peluang rakan-rakan dapat mengerjakan solat Zohor di rumah masing-masing. Kami sekeluarga (juga Zidah, Kak Siti, Azie dan keluarga Lajiman) datang lebih awal untuk membantu Peter dan Uji menyediakan persiapan majlis terutama mencucuk sate dan menyusun atur kerusi-meja di laman belakang rumahnya.

Sambutan rakan-rakan sekampung (Dandenong-Noble Park) serta tetamu jemputan dari Clayton, Frankston dan Glen Waverley amat baik sekali. Turut serta memeriahkan majlis adalah ibu dan bapa mertua Uji serta kenalannya. Terasa keseronokannya apabila dapat bersua muka, bertanya khabar berita dan saling berkongsi cerita. Anak-anak juga tidak kurang gembiranya bermain bersama rakan sebaya mereka.

Pelbagai juadah pot luck yang dibawa hebat-hebat belaka dan amat menyelerakan seperti roti jala, laksa Penang, rojak buah, nasi kerabu, puding, kek, buah-buahan dan bermacam-macam lagi. Paling istimewa adalah sate ayam dan BBQ lamb dengan perencahnya dibuat oleh Peter sendiri. Satenya sedap sekali, tidak kalah dengan mana-mana sate yang terkenal di tanah air. 300 cucuk sekejap sahaja habis diserbu tetamu.

Kemuncak majlis adalah tazkirah ringkas Penghayatan Ramadhan yang disampaikan oleh Ustazah Nur Hidayah, jemputan khas dari La Trobe University. Ustazah adalah pensyarah UiTM Shah Alam, juga seorang peguam syarie, empunya laman blog Sekadar Pendapat. Tazkirah yang amat baik sebagai perangsang dan persediaan sebelum tibanya Ramadhan terutama kepada yang mendambai keredhaanNya. Terima kasih Ustazah. Maaf atas kekurangan.

Sebelum melangkah pulang, masing-masing membawa bekal lebihan juadah yang berbaki. Sekurang-kurangnya dapat merasa juadah yang tidak berkesempatan untuk dijamah dek kekenyangan ataupun untuk hidangan makan malam. Tersenyum puas tuan rumah melepaskan setiap jemputan pulang.

Malamnya kami tertidur kepenatan. Kerusi-meja dan lain-lain kelengkapan majlis dibiarkan begitu sahaja di kereta, “Esok sahajalah diuruskan”. Mengikut perancangan awal, sepatutnya rakan dari Adelaide, South Australia akan bermalam di rumah kami tetapi membatalkannya di saat-saat akhir. Begitulah aturan Allah SWT. Ada hikmahnya.

Keesokan harinya selepas solat Subuh, perlu bergegas pula ke Melbourne Airport menjemput keluarga adik ipar tiba dari tanah air, datang bercuti ke Melbourne.

No comments: