Monday, May 18, 2009

GPS Navigator - Rakan Di Jalanan

Di dalam entri sebelum inii telah disentuh tentang buku direktori jalan sebagai co-pilot ketika di jalanan. Satu lagi co-pilot yang amat popular kini adalah GPS Navigator, alat elektronik pemanduan arah bersatelit. Ianya bukan hanya digunakan oleh orang-orang persendirian sahaja tetapi juga digunakan hampir kesemua pemandu teksi, kenderaan perdagangan dan pelbagai lagi. Malah sesetengah telefon bimbit telah pun dilengkapi GPS navigation system ini.

Dengan adanya navigator, pergerakan kenderaan menjadi lebih mudah dan cepat. Cukup sekadar memasukkan alamat yang ditujui, maka jarak lokasi, anggaran tempoh masa perjalanan dan laluan yang akan ditempuhi akan dipaparkan untuk makluman. Ianya biasanya turut dilengkapi dengan beberapa pilihan setting untuk keselesaan pemandu seperti perjalanan terpantas mahupun terdekat, menghindari laluan tol dan lain-lain.

Dari masa ke semasa arahan akan diberikan sebagai panduan dan peringatan kepada pemandu. Jika tersalah jalan pun tiada masalah, navigator akan mencari laluan baru ke destinasi yang telah disetkan.

Banyak kelebihan jika memiliki navigator tetapi kekurangannya tetap ada. Yang paling ketara adalah pemandu menjadi kurang peduli akan jalan yang dilalui (walaupun versi baru dilengkapi pemberitahuan nama jalan), simpang mana yang dibelok dan apa nama tempat di sekitar laluan Yang penting sampai ke tempat yang ditujui. Bayangkan apa akan terjadi jika navigator ini meragam, boleh mati kutu dibuatnya. Justeru itulah ramai pemilik navigator masih juga menyediakan buku direktori jalan, Melway di dalam kereta sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun pengguna navigator merasa selamat kiranya navigator ada bersama, pengetahuan asas laluan yang dilalui dengan dibantu oleh common sense adalah penting. Apatah lagi jika perisian navigator yang digunakan adalah bukan versi terkini. Dikhuatiri kita akan dibawa melalui laluan lencongan yang sedikit menjauh sedangkan laluan sebenar dekat sahaja. Ianya pernah kami alami ketika merentasi Pacific Highway dari Gold Coast ke Sydney. Suatu ketika di Pacific Highway kami dilencongkan hampir 7 km melalui jalan sempit dikelilingi ladang tebu sebelum kembali ke Pacific Highway. Rupa-rupanya sebelum itu (rekod navigator kami) Pacific Highway di tempat berkenaan ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan.

Di pasaran kini terdapat pelbagai jenis navigator dijual dan semakin mendapat sambutan meluas. Harga di Australia kini dari AUD 200 sehingga mencecah AUD 500, bergantung kepada jenama, saiz (3.5” dan 4.3”) dan kelebihan yang ditawarkan. Jenama yang terkenal di Australia adalah Navman, TomTom dan Gurmin.

Sebahagian daripada navigator kini telah dipertingkatkan dengan suara pemberitahuan nama jalan (spoken street names), tambahan kepada pemberitahuan membelok dan jarak sahaja. Sesetengah navigator pula kini disertakan dengan perisian tambahan masa nyata (real time) yang boleh memberi isyarat akan kesesakan trafik jalan yang akan dilalui serta menyatakan jalan alternatifnya. Amat berguna sekali kepada yang mengejar masa dan ingin mengelakkan kesesakan. Namun harganya masih mahal.

Kami sendiri pun telahpun memiliki navigator, jenis Navman S30 (foto sebelah). Saiznya hanya 3.5” dengan fasiliti asas. Cukuplah untuk dibuat teman ketika berjalan-jalan. Ianya dibeli pada awal tahun lepas (2008) ketika emak dan abah serta ipar datang melancung ke Australia. Mereka mendarat di Gold Coast, Queensland. Di Gold Coast kami bertemu dan dari situ kami turun ke Sydney, New South Wales dan Canberra ACT sebelum kembali ke Melbourne. Dengan dipandu arah oleh navigator, bebas kami bergerak menuju tempat yang dihajati tanpa ragu tersesat jalan.

Namun terkena juga kami ketika keluar dari Darling Harbour, Sydney; kami tersilap masuk ke tengah Bandaraya Sydney. Dalam kesibukan jalan yang amat dahsyat dikelilingi bangunan pencakar langit menyayup tinggi, navigator kehilangan arah tanpa dapat mengesan kedudukan kami. Berpusing-pusing hampir sejam sebelum ketemu arah jalan ke Malaysia Hall yang ditujui yang terletak tidak berapa jauh dari Darling Harbour.
Umumnya, dengan bantuan navigator ini benar-benar memudahkan perjalanan dan pencarian kami. Bukan sahaja untuk berkunjung ke tempat-tempat pelancungan tetapi juga ada ketikanya mencari rumah kenalan yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Malah rakan-rakan di Melbourne pun semakin ramai yang memilikinya.

Mendengar khabar dari rakan-rakan di Malaysia dan yang baru kembali dari sana, navigator kini mula digunakan secara meluas di tanah air. Begitu juga beberapa orang bloggawan (bloggers) dalam web blog mereka tampak seronok sekali menggunakannya, siap menguji ketepatannya ketika melalui laluan rutin. Perisiannya pun dikatakan mudah untuk diperolehi dan sentiasa dikemaskini.

Rakan sendiri pun telahpun berpesan, pulang ke Malaysia nanti jangan lupa bawa balik navigator. Insya Allah.

2 comments:

ruslin said...

As'kum,

Saya Ruslin dari Alor Star, Kedah.

seronok baca coretan saudara di Australia.

Saya sekeluarga akan ke Melbourne pada 2/6/2009 dan bercadang nak ke Lake Mountain.

Saudara boleh aturkan perjalanan ke sana? Berapa bayarannya untuk trip ini? Keluarga saya seramai 6 adult, 2 child, 1 infant.

Kalau saudara dapat tolong, ok jugak. Ambil pakej di sana mungkin mahal lagi.

Terima kasih.

Ruslin
Malaysia

ropidi 'n laili said...

Salam Sdr Ruslin,

Selamat bercuti di Melbourne.

Tidak dapat dipastikan samada awal Jun Lake Mountain telahpun dibuka tau tidak, bergantung kepada salji yang turun. Jika turun bukalah ia. Cuba rujuk snow report di Lake Mountain web page. Maklumat semasa, sekarang ini tiada salji yang turun.

Untuk tempahan tempat bermalam, boleh dilakukan secara online, begitu juga kereta sewa (Avis, Thrifty, Hertz dan Eurocar antara yang popular). Untuk 9 orang (termasuk infant), kenderaan yang ada van 12-seater atau ambil sahaja 2 kereta sedan. Sewa sekali GPS Navigator untuk melancarkan perjalanan.

Driving lic Malaysia boleh digunakan, cuma buatkan terjemahannya dalam Bhs Inggeris.

Terima kasih..

8) ropidi.