Monday, December 6, 2010

Majlis Perpisahan

Semalam, bertempat di Telford Picnic Area, Braeside Park yang terletak bersebelahan Lower Dandenong Rd telah diadakan Majlis Suai Kenal dan Perpisahan, khusus untuk warga South Eastern Families Community (SEFC).

Di setiap majlis sebelum ini, kami selalunya menjadi antara penggeraknya, namun kali ini kami sekeluarga antara yang diraikan. Dengan kata lain sebagai tetamu jemputan di kalangan keluarga yang akan berangkat pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini. Insya Allah, kami dijadualkan meninggalkan bumi Melbourne/ Australia pada awal tahun hadapan.

Persekitaran Telford Picnic Area dirasakan damai sekali, terlindung dari kesibukan jalan dan bandar di sekelilingnya. Para pengunjung mulai memenuhi setiap penjuru kawasan seawal pagi lagi. Berkelompok di sana-sini, di mana –mana tempat yang teduh. Pepohonannya menghijau melatari hampir keseluruhan kawasan. Tiupan angin yang lembut terasa begitu nyaman.

Keadaan cuaca sedikit panas, suhunya melebihi 30 darjah Celcius. Mungkin kerana itulah masing-masing keluar mencari tempat yang redup dan berangin.

Lokasi pilihan penganjur amat strategik. Bangku kayu dipenuhi pelbagai juadah. BBQ bersebelahannya pula berkepulan asap dengan lamb chop dan ayam mencetuskan aroma yang membangkitkan selera. Itulah antara hidangan istimewa untuk semua.

Majlis bermula dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Zamri dari Kg VicNorth. Intipatinya berkisar peri pentingnya memupuk dan meneguhkan ukhwah Islamiah yang sedia terjalin di perantauan, berterusan selamanya. Banyak manafaatnya sebagai bekalan ke dunia nan kekal abadi nanti.

Seterusnya dijemput setiap keluarga yang bakal pulang ke tanah air menyampaikan sepatah dua kata salam perpisahan. Bila disebut dan dihitung, rupa-rupanya ramai yang akan pulang, lebih 10 keluarga; antaranya keluarga kami, Lajiman, Hilmi, Azrin, Dr. Norhana, Dr. Salmah, Dr. Radziah dan Dr. Harlina. Itupun tidak semua yang dapat hadir kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Bagi yang baru datang belajar ke Melbourne, khususnya tinggal di dalam lingkungan SEFC pula hanya dua tiga keluarga sahaja. Sememangnya itulah realitinya kini. Difahamkan, penghantaran pelajar ke Australia telah dikurangkan dan tumpuannya kini ke negara-negara Asia dan juga Eropah.

Selepas solat Zohor berjemaah, para hadirin beransur-ansur meninggalkan Telford Picnic Area.

Kepada pihak penganjur dan warga SEFC, berbanyak-banyak terima kasih kerana mengadakan majlis untuk kami. Bagai yang dilafazkan dalam sesi ucapan, kami sekeluarga memohon ampun maaf kiranya ada salah dan silap, halalkan makan dan minum dan jika berhutang, sila tuntut untuk kami langsaikan sebelum dipersoalkan di akhirat kelak.

Juga, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala-galanya yang tidak terungkap oleh kami. Sesungguhnya perkenalan, persahabatan dan persaudaraan yang terjalin amat besar nilainya, moga segalanya diredhai oleh Allah SWT. Ameen.

Moga dipanjangkan usia dan dipermudahkan segala urusan kita, di dunia dan di akhirat. Jumpa lagi.

4 comments:

iqa abd rahman said...

salam...saya pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor..kami akan mengadakan program ke melbourne pada 13-23 disember 2010 akan datang..program kami bertemakan "cultural and educational trip"..oleh itu, kami memohon jasa baik dari pihak encik untuk menerima kedatangan kami dan berkongsi tempat menarik di sekitar melbourne...saya berharap encik dapat memberi respon secepat yang mungkin..terima kasih...salam..

ropidi 'n laili said...

Salam Sdr Iqa,

Terima kasih dan selamat berkunjung ke Melbourne.

Sdr boleh menghubungi pihak VMPGA (Victoria Malaysian Postgraduates Association) di vmpgainfo@yahoo.com

Harap dapat membantu.

iqa abd rahman said...

salam encik...
kami dah menghantar email kepada Persatuan Melayu Victoria dan MASCA..tapi semuanya memberi respon kurang memberangsangkan...tiada siapa pun yang reply email kami..boleh tak pihak encik bantu kami untuk berhubung dengan mereka..lagipun tarikh program bermula sudah hampir..kami dijangka tiba di melbourne pada 14 disember 2010 (selasa)..terima kasih encik...salam..

ropidi 'n laili said...

Salam

Boleh emelkan saya, ropidi567@gmail.com tentang program sdr untuk saya forwardkan pada yang berkaitan.

Tk.